Monday, January 7, 2008

Banyak hikmah, pahala kekal wuduk

Oleh Zahari Hasib

UMUMNYA kita beranggapan wuduk wajib apabila hendak mendirikan solat saja atau dengan lain perkataan, berwuduk itu hanya pada saat kita akan menunaikan sembahyang, tanpa wuduk sudah tentu tidak boleh menunaikan solat.

Bagaimanapun tidak ada pula yang dapat merasakan wuduk perlu menjadi suatu daripada kebiasaan, kerana kita kurang mengetahui bahawa mengekalkan wuduk mempunyai banyak hikmah dan pahala tersembunyi.

Menurut riwayat yang sahih, Nabi Muhammad SAW adalah contoh nabi yang paling banyak mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Khalifah Umar al-Khattab pun sering berwuduk sebelum melangkah untuk memulakan perjalanan. Sebaik saja dilantik menjadi khalifah, Umar al-Khattab terus mengambil wuduk lalu mendirikan solat sunat dua rakaat.

Saidina Abu Bakar seorang khalifah Islam yang terbilang pernah ditanya seseorang mengenai perbuatannya mengambil wuduk pada saat akan menunggangi unta, lalu Saidina Abu Bakar menjawab: “Dengan berwuduk ketika akan melakukan perjalanan, dengan izin Allah kita akan terhindar daripada sebarang musibah dan kemalangan.”

Banyak riwayat serta hadis yang menerangkan betapa besarnya fadilat dan keberkatan wuduk, sehingga kita perlu mengakui pentingnya mengekalkan wuduk dan tidak hanya menjadikannya kewajipan untuk menunaikan solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dan dalam melakukan wuduknya itu dia berserah semata-mata hanya kepada Allah, lalu dia pula mematuhi segala rukun tertibnya yang betul, maka nescaya akan keluarlah segala dosa-dosanya daripada seluruh jasad hatta sekalipun dosa yang ada tersangkut pada celah kukunya pun akan mengalir jatuh bersama air wuduk itu.” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasai)

Tidak dinafikan cabaran bagi kita untuk bangun pagi dan berwuduk bagi menunaikan solat Subuh kerana lebih enak meneruskan tidur tetapi Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dengan cara sempurna di awal pagi yang dingin maka pahala baginya dua kali ganda.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Hadis sahih juga menerangkan bahawa kebiasaan mengambil wuduk pada tiap hari lima kali (kerana keperluan untuk solat lima waktu untuk sehari semalam) mempunyai manfaat yang baik dari segi kesihatan.

Berwuduk secara tidak langsung membantu kita membersihkan seluruh anggota terpenting seperti muka, kedua tangan, pertengahan kepala, kedua telinga serta kedua kaki daripada segala kekotoran yang tidak disangkakan.

Lantaran itu, daripada penglihatan fizikalnya, orang yang rajin serta tekun menunaikan solat secara tetap dan berkekalan akan kelihatan bersih berseri wajah, anggota tangan dan kakinya.

Ini bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan bagi mereka yang sering kali berwuduk dan menunaikan solat itu ialah seperti seseorang yang mandi lima kali sehari di sebatang anak sungai, maka sudah barang tentu badannya akan bersih dan suci sepanjang waktu.”

Diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab, aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang berwuduk lalu selepas memperlengkapkan wuduknya dia mengucap dua kalimah syahadah pula, maka di akhirat nanti akan dibukakan lapan pintu syurga lalu malaikat akan mengiringnya masuk daripada mana-mana saja pintu yang dikehendakinya.”

Demikian besar dan pentingnya wuduk daripada kaca mata Islam tetapi sehingga ini mungkin tidak ramai antara kita yang mahu mengambil faedah dan keberkatan daripadanya, padahal kebiasaan mengekalkan diri dalam keadaan berwuduk bukan sesuatu yang sukar dilakukan.

Pernah terjadi satu peristiwa di mana Saidina Ali, menantu kepada Nabi Muhammad SAW pada ketika beliau sedang mengambil wuduk, tiba-tiba datang seorang Quraisy yang berniat hendak mencuri barangan diletakkannya di pinggir tiang masjid.

Tetapi dengan tidak semena-mena apabila terpandang Saidina Ali sedang mengambil wuduk, si Quraisy itu menjadi gementar lalu tidak jadi hendak mengambil barangan Saidina Ali, sebaliknya dia terus beredar pulang meninggalkan masjid. Keesokan harinya si Quraisy itu datang menemui Saidina Ali lalu mengakui niat jahatnya semalam dan bermohon untuk memeluk Islam.

Demikianlah beberapa petikan riwayat, kisah serta hadis yang memperkatakan mengenai hikmah dan fadilat terkandung dalam wuduk, yang meskipun kelihatan amat kecil tetapi sebenarnya sangat berperanan lebih-lebih lagi bagi umat Islam.

Pentingnya wuduk itu, solat seseorang tidak akan diterima Allah jika wuduknya tidak menepati rukun tertib. Kepentingan wuduk juga dapat kita lihat apabila Allah mewajibkan kepada kita bertayamum jika darurat serta ketiadaan air. Kita juga akan mendapat pahala sunat memegang dan menyentuh Al-Quran dalam keadaan berwuduk.

No comments: