Thursday, January 3, 2008

Kemiskinan Sudan cetus kesedaran

Oleh Hasliza Hassan

“KERJA amal dan sukarela menjadi dua kegiatan yang tidak boleh tegak dengan sendirinya tanpa ada sifat kemanusiaan dan ia pula tidak bermakna sekiranya kita melakukannya.

Itulah yang ingin dipromosikan Presiden Islamic Relief Worldwide (IRW), Dr Hany El Banna, kepada masyarakat seluruh dunia supaya setiap individu, jabatan kerajaan, pihak swasta, orang kaya dan pemerintah membabitkan diri dalam kerja sukarela atau aktiviti amal.

Beliau yang ditemui selepas sesi ceramah kemanusiaan anjuran Islamic Relief Malaysia Berhad dan Muslim Profesional Forum Berhad di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur, baru-baru ini berazam meneruskan misinya menyedarkan masyarakat dunia mengenai pentingnya sumbangan mereka dalam kerja sukarela.

“Saya yakin anda, saya dan semua adalah contoh nilai sebenar masyarakat. Kita semua adalah aset dalam masyarakat dan setiap harapan atau mimpi tidak akan menjadi nyata tanpa kita semua. Kitalah yang akan menggerakkan usaha membantu mereka yang mengharapkan pertolongan.

“Duit ialah alat untuk mencapai matlamat, tetapi kerja sukarela ialah kreativiti untuk menolong orang yang memerlukan. Kreativiti ini yang perlu difahami supaya usaha membantu melalui kerja amal itu benar-benar mencapai matlamatnya,” katanya.

Dr Hany yang juga pengasas bersama IRW, pertubuhan bermatlamat membantu masyarakat miskin dan menderita itu berkata, ramai yang ingin melakukan kerja amal, tetapi tidak semua berjaya melaksanakan usaha itu dengan berkesan.

Justeru katanya, IRW cuba membuka jalan supaya pihak yang terbabit dalam aktiviti amal atau sukarelawan dapat mengembangkan usaha itu melalui monopoli positif supaya setiap sumber yang ada dapat dimanfaat oleh semua, bukan kumpulan tertentu saja.

Pada masa sama katanya, beliau mahu memberi imej baru kepada perkataan monopoli yang selalunya membawa konotasi negatif sebagai penguasaan mutlak oleh seseorang atau satu kumpulan saja.

“Sebabnya kerja amal memberi pengertian luas, bukan hanya untuk pihak tertentu membantu golongan tertentu saja. Kerja amal untuk semua orang membantu semua yang memerlukan bantuan. Maknanya semua ada hak untuk membuat kerja amal.

“Cuma, apa yang berlaku, ada kalanya manfaat daripada kerja amal itu diperolehi kumpulan tertentu saja. Jadi ia tidak mencapai maksud kerana kerja amal ialah untuk membantu semua orang dan tidak sepatutnya dimonopoli sesetengah pihak saja hingga ada yang dipinggirkan,” katanya.

Katanya, jangan kerana melihat orang lain menghulurkan bantuan, semua pihak ingin tampil membuat sumbangan tetapi sebenarnya tidak memahami apakah pembabitan mereka itu sesuai atau sebaliknya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pihak yang menganjurkan kerja amal bersatu dan berinteraksi sesama mereka supaya tidak berlaku persaingan dalam aktiviti amal hingga mencalar matlamat asalnya iaitu untuk meringankan beban pihak yang menghadapi kesulitan hidup.

Pembabitan Dr Hany secara langsung dalam aktiviti amal bermula apabila beliau menubuhkan IRW, pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di United Kingdom yang ditubuhkan pada 1984 bertujuan membantu dan membangunkan masyarakat Muslim antarabangsa.

Graduan patologi itu mengikuti persidangan perubatan di Sudan pada 1983 dan kebetulan rakyat negara itu yang mengalami kebuluran. Kemiskinan dan desakan hidup yang disaksikan mendorong beliau menubuhkan IRW sebagai pertubuhan membantu mereka yang memerlukan bantuan.

IRW memberi bantuan kepada pihak yang berhadapan dengan bencana dan kecemasan melalui galakan pembangunan ekonomi dan sosial melalui kerjasama dengan masyarakat tempatan tidak mengira bangsa dan agama.

Bidang yang menjadi tumpuan IRW ialah bekalan air dan aspek kebersihan, kepentingan anak yang kehilangan keluarga, asas penjagaan kebersihan, pendidikan, aktiviti menjana pendapatan dan projek wakaf.

Ternyata usaha serta kesungguhan beliau memimpin IRW dalam kerja amal mendapat pengiktirafan apabila anak kelahiran Mesir itu menerima anugerah Order of the British Empire daripada Ratu Elizabeth II pada 2004 dan Anugerah Ibn Khaldun kerana kecemerlangannya menggalakkan Persefahaman Antara Budaya dan Kepercayaan Global.

Sebagai menghargai kerja serta pengaruhnya, UK Muslim Power 100 menganugerahkan beliau Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat tahun lalu. Kini usaha beliau sudah meneroka 35 negara menerusi IRW yang sentiasa bersedia menghadapi bencana dan kecemasan.

Memiliki kelulusan dalam bidang perubatan dari Universiti Al-Azhar Mesir dan menamatkan pengajian dalam bidang patologi foetal di Universiti Sekolah Perubatan Birmingham, Dr Hany adalah ilmuwan contoh dalam dunia sukarelawan.

Berdasarkan ceramah bertajuk Monopoli Positif Sektor Amal yang disampaikan, usaha beliau kini ditumpukan bagi menyatupadukan pelbagai pertubuhan sukarelawan supaya berkongsi matlamat bagi mengelak wujud monopoli dalam usaha membantu pihak yang memerlukan.

Katanya, semua pihak perlu faham bahawa mereka dihubungkan melalui satu matlamat iaitu untuk membantu pihak yang memerlukan dan sewajarnya tindakan yang dilakukan tidak terbabas daripada tujuan asal.

Beliau berkata, persaingan tidak sihat hanya akan menghancurkan usaha murni mereka sebaliknya persaingan sihat dengan berkongsi sumber serta matlamat akan memudahkan kerja mengagihkan bentuk bantuan mengikut keperluan kumpulan sasar.

“Jika semua pihak ingin membantu masyarakat di satu tempat yang sama dan memberi kemudahan sama, kerja amal itu terhad kepada satu perkara saja. Tetapi jika mereka membahagikan tugas serta sumber yang ingin disumbangkan, lebih banyak pihak akan mendapat manfaat.,”katanya.

Beliau berkata, ini tidak bermakna mereka tidak boleh pergi ke satu kawasan bencana pada masa sama, tetapi pergi dengan kepelbagaian. Mungkin pertubuhan A membawa bekalan perubatan, manakala pertubuhan B pula bawa keperluan asas seperti makanan serta pakaian.

“Dengan cara ini, barulah hasrat itu mencapai matlamat. Jika semua datang bawa makanan, bagaimana dengan keperluan perubatan atau kemudahan asas lain. Ini yang dikatakan monopoli positif,” katanya.

Dr Hany berkata, pertubuhan amal bertaraf antarabangsa atau kerajaan sesebuah negara yang ingin menghulurkan bantuan juga perlu bersedia memberi kepercayaan kepada pihak tempatan untuk melakukan kerja menyalurkan bantuan kerana mereka lebih faham situasi berlaku di negara mereka.

Beliau berkata, ada sesetengah pertubuhan amal tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan dan mahu usaha memberi bantuan dilakukan sendiri. Bagaimanapun disebabkan tidak arif dengan keadaan yang berlaku, kedatangan mereka gagal memberi impak sepatutnya.

Katanya, semua itu perlu diberi perhatian pertubuhan atau pihak yang ingin menyalurkan bantuan terutama di negara asing yang berhadapan dengan bencana alam, musibah atau peperangan.

“Begitu juga dengan pihak yang mempunyai dana, tetapi tidak mempunyai pengalaman melakukan kerja amal. Adalah lebih baik mereka menyumbangkan wang itu kepada pihak yang pakar supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan,” katanya.

No comments: