Saturday, January 12, 2008

Debat uji kekuatan hujah peserta

Oleh Hasliza Hassan

Pasukan UM tewaskan Usim dalam pertandingan anjuran Ikim dengan markah 74.86

MELIHAT mutu persembahan, hujah dilontarkan serta kepetahan menyusun kata-kata, sukar untuk meramal pasukan mana yang akan diumumkan sebagai johan Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institut Pengajian Tinggi anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang berlangsung di Dewan Besar Ikim, Selasa lalu.

Pasukan debat Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang bertemu pada peringkat akhir pertandingan itu menunjukkan mereka sudah membuat persediaan rapi bertemu lawan masing-masing.

Pelbagai senjata daripada contoh yang bersifat global, petikan kata-kata tokoh terkemuka dan rujukan ayat al-Quran serta hadis Rasulullah SAW digunakan kedua-dua pasukan untuk menyerang serta memperkukuhkan benteng pertahanan mereka.

Namun, adat bertanding, ada menang dan ada yang kalah. Tetapi itu tidak bermakna yang kalah tidak bagus, cuma mungkin ada kelemahan atau kesalahan tidak disengajakan menyebabkan mereka mendapat markah kurang berbanding yang menang.

Hakikat itu diakui hakim bahagian pengisian, Datuk Dr Abdul Halim Ismail, yang berpendapat kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dari segi isi yang dibahaskan, begitu juga darjat bicara semua pendebat.

Bagaimanapun katanya, pendebat sepatutnya memantapkan hujah mereka dengan menjelaskan lebih lanjut tindakan mengenai mekanisme atau tindakan yang boleh dilakukan bagi meyakinkan kenapa cadangan mereka itu betul dan wajar diterima.

"Jika pendebat kata cadangan mereka itu perlu, apa hujahnya. Jika tidak perlu, apa pula hujahnya. Apabila diberi hujah, apa pula cara untuk memastikan ia boleh dilaksanakan. Maknanya, dalam menyampaikan hujah, ia perlu jelas," katanya.

Dr Abdul Halim dalam komennya memberi maklum balas terhadap pasukan Usim yang bertindak sebagai pencadang kepada tajuk Malaysia Memerlukan Mufti Negara dengan menegaskan pencadang sepatutnya menunjukkan mekanisme bagaimana perlantikan Mufti Negara boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, perubahan positif yang bakal berlaku jika Malaysia mempunyai Mufti Negara juga tidak diketengahkan pihak pencadang sedangkan usul mengenainya jika dibuat dengan berkesan mampu menguatkan hujah mereka.

Pasukan debat UM yang mendapat 74.86 markah memiliki kelebihan kira-kira setengah markah saja untuk memusnahkan harapan Usim yang mendapat 74.43 markah diumumkan sebagai johan Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institut Pengajian Tinggi kali kelima itu.

Dengan kemenangan itu, pasukan debat UM menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, buku terbitan Ikim dan sijil penghargaan. Naib johan menerima hadiah wang tunai RM10,000, buku terbitan Ikim dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga menjadi milik pasukan debat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bertindak sebagai pembangkang, mengalahkan pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tajuk yang didebatkan ialah Kesepakatan Adalah Kekuatan Bagi Negara Islam Bukan Kekayaan.

Tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM5,000, manakala tempat keempat menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta buku terbitan Ikim dan sijil penghargaan.

Pendebat dari UM, Azri Zahier Azmi dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institut Pengajian Tinggi. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,000, buku terbitan Ikim dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan Pengerusi Ikim, Tan Sri Ahmad Sarji. Hadir sama, Ketua Pengarah Ikim, Syed Ali Tawfik Al-Atas.

Sementara itu, dari aspek penggunaan bahasa, hakimnya, Sallehuddin Abg Shokeran memuji kemampuan pendebat kerana berjaya membuatkan khalayak seronok mendengar serta mengikuti hujah mereka.

Katanya, cara mudah untuk mengukur sama ada bahasa digunakan mereka baik atau tidak ialah berdasarkan reaksi khalayak kerana tumpuan mereka akan mudah beralih jika tidak berminat dengan apa yang diperkatakan pendebat.

"Jika khalayak tekun mendengar, itu memberi gambaran bahasa digunakan mudah difahami dan mampu menarik perhatian. Debat adalah wacana intelektual dan memerlukan bahasa yang baik bagi menyuburkan minat khalayak.

"Kedua-dua pasukan akhir debat kali ini mempunyai kekuatan hampir sama dari aspek bahasa. Beza markah pun tidak banyak, hanya titik perpuluhan memisahkan mereka. Tahniah kepada pendebat kerana berjaya menguasai penggunaan bahasa dengan baik," katanya.

Selain bahagian pengisian yang mewakili 50 markah dan bahasa 25 markah, persembahan pendebat dari segi gerak badan dan lontaran suara ketika berdiri di pentas menyampaikan hujah turut diberi perhatian.

Hakim bahagian persembahan, Asa'ari Mat Noh, berkata walaupun ada kalanya peserta nampak gemuruh, mereka berjaya menyorokkan perasaan itu melalui gerak badan serta tangan yang menarik.

Beliau berkata, ada ketika di mana pendebat tersasul menyebut perkataan atau cuba membaca ayat al-Quran namun, langkah pantas seperti meminta maaf serta mengulang semula perkataan itu menutup ruang bagi beliau memotong markah mereka.

"Sebab tersasul kerana terlalu emosi. Kita faham apabila masing-masing hendak menyampaikan macam-macam dalam masa lapan minit saja. Jika boleh pendebat mahu menggunakan perkataan ekonomi, tetapi malangnya tidak ada.

"Cuma ada juga yang terlalu laju, tidak ada koma, tidak ada noktah. Lagi satu, penyampaian secara berlagu saya berharap dapat dibuang sama sekali kerana ia tidak berlaku dalam debat bahasa Inggeris. Ini ingin saya betulkan," katanya.

Sebanyak 16 pasukan institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan debat Kefahaman Islam Antara Institut Pengajian Tinggi yang menggunakan kaedah liga bermula 10 Disember lalu.

Selain empat kumpulan yang berjaya ke peringkat separuh akhir, pasukan lain yang bertanding ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Seterusnya, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Universiti Industri Selangor (Unisel).

Pada 2003, johan dimenangi pasukan debat UIAM, 2004 menjadi milik UUM, 2005 (UM) dan tahun lalu dijuarai UMS.

No comments: