Thursday, January 31, 2008

Dialog perpaduan hapuskan prasangka Barat terhadap Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISLAM adalah al-Din yang menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan umat. Islam sejak awal menganjurkan umatnya supaya bertoleransi dan bekerjasama dengan sesama manusia untuk memakmurkan bumi Allah ini.

Bumi Allah ini bukan milik persendirian individu tertentu atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum sebaliknya, bumi Allah umpama hidangan istimewa yang disediakan Allah untuk dinikmati bersama semua makhluk-Nya.

Allah menjelaskan matlamat itu dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Dalam konteks hubungan antara Muslim dengan masyarakat bukan Islam, Islam tidak melarang umatnya menjalinkan hubungan intim dan berdiplomasi dengan kaum lain dalam perkara yang membawa kebaikan dan maslahah kepada umat manusia sejagat asalkan mereka bukannya daripada golongan yang memusuhi Islam.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya memelihara hubungan baik dan jalinan persahabatan dengan kaum lain selaras firman-Nya yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Ayat itu menggariskan prinsip ajaran Islam yang menyentuh kod etika hubungan umat Islam dengan bukan Islam. Kod etika itu suatu penegasan daripada prinsip Islam bahawa perbezaan suku bangsa, warna kulit, bahasa dan keyakinan keagamaan antara umat manusia adalah rencah kehidupan yang tidak dapat dielakkan dan dihindari.

Perbezaan keyakinan agama tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk mewujudkan suatu suasana hidup yang rukun, damai dan bersaudara.

Dalam kes ini, Rasulullah SAW kerap menziarahi orang sakit biarpun berlainan kaum, mahupun agama dan tidak ketinggalan pernah bangkit menghormati jenazah seorang Yahudi yang diusung ke kubur.

Apabila ditanya sahabat, Baginda SAW menjelaskan bahawa si mati itu adalah manusia yang wajar dihormati. Malah, perbezaan agama, kaum atau keturunan tidak akan menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum. Sebaliknya, mereka saling bantu membantu, bekerjasama dan berganding bahu untuk membangunkan Madinah ketika itu.

Di bawah naungan Islam, orang Yahudi dan Nasrani dapat menikmati kebebasan maksimum dalam menjalani kewajipan agama masing-masing sama seperti kebebasan yang diperoleh umat Islam. Perbezaan akidah atau agama bukanlah satu penghalang besar ke arah mewujudkan hubungan kemanusiaan lebih harmoni dan akrab.

Pendek kata, semangat toleransi beragama dianjurkan Islam bukanlah toleransi yang bersifat pasif, tetapi toleransi bersifat aktif dan konstruktif. Dengan kata lain, toleransi dianjurkan Islam ialah toleransi berpaksikan kewajipan moral untuk menegakkan kebajikan dan keadilan tanpa diskriminasi agama.

Rasulullah SAW sentiasa membuka pintu dialog antara agama dengan tujuan mencari kebenaran dan membina kerjasama. Ia dilakukan dengan penuh hikmah dan adab kesopanan Islam. Bahkan, orang bukan Islam yang mengunjungi Rasulullah SAW dianggap sebagai tetamu yang perlu dihormati.

Dalam Islam, faktor sebenar yang menjadi batu pemisah dalam pergaulan hidup bermasyarakat dan keharmonian sejagat bukanlah perbezaan keyakinan agama atau perbezaan kebangsaan, sebaliknya disebabkan sikap permusuhan terhadap Islam dan umatnya.

Perlu disedari selama ini Barat memang sering salah faham dan berprasangka buruk terhadap Islam dan umatnya sehingga mereka berani melabelkan Islam sebagai radikal, ganas, ekstrem, fanatik, militan dan sebagainya.

Contohnya, Judith Miller dalam majalah Foreign Affair terbitan 1993, berprasangka buruk mengenai Islam sebagai The Challenge of Radical Islam. Begitu juga majalah Time edisi 15 Jun 1992 yang memuatkan artikel penuh dengan prasangka buruk dengan judul The Sword of Islam.

Berdasarkan realiti ini, maka tidak ada jalan lain bagi umat Islam untuk menghapuskan prasangka buruk dan salah faham Barat itu melainkan melalui jalan dialog persefahaman yang dilandaskan semangat kepercayaan, toleransi dan sikap terbuka untuk saling menghormati kepelbagaian agama, budaya dan bangsa yang mewarnai hidup ini.

Dialog diperlukan pada masa kini untuk menghapuskan prasangka buruk dan salah faham di samping meredakan ketegangan dan konflik berpanjangan yang wujud antara Barat dan Islam. Untuk merealisasikan tujuan itu, pihak Barat perlulah ikhlas dan sanggup bersedia untuk sama-sama menjayakan misi dialog dengan mengetepikan segala kepentingan politiknya yang menjadi hambatan besar ke arah kejayaan diharapkan.

Jika tidak, misi dialog hanya sia-sia saja kerana dialog menuntut kesamarataan, kesediaan dan sifat tolak ansur antara dua pihak. Jika Barat merasakan dirinya lebih kuat dan masih menampakkan kekuasaannya serta mengukuhkan cengkamannya ke atas sesebuah negara yang lemah, maka nisbah kejayaan dialog amat tipis sekali.

Apalah gunanya dialog jika Barat masih lagi mengekalkan kuasanya untuk menjajah Iraq, menzalimi rakyat Palestin, Afghanistan, Kashmir dan sebagainya. Apakah umat Islam di negara itu harus berdiam diri sambil terus mengemis untuk berdialog sedangkan pada masa yang sama Barat masih terus membantai, menyerang dan menzalimi mereka?

Oleh sebab itulah, sudah menjadi kewajipan umat Islam di negara berkenaan untuk mempertahankan agama dan tanah air mereka dengan seruan jihad apabila kehormatan tanah air dan kesucian agama diceroboh dan dinodai.

Pada saat itu, jihad menjadi fardu ain kepada setiap orang Islam negeri itu. Jadi, tidak timbul persoalan bahawa umat Islam itu bersifat ganas, radikal atau militan kerana mereka hanya mempertahankan hak mereka yang dirampas.

Islam pada dasarnya amat menganjurkan dialog persefahaman antara umat manusia yang menghuni alam ini, tetapi biarlah berdasarkan semangat persaudaraan, toleransi dan bersikap terbuka untuk sama-sama mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan hidup sejagat.

No comments: