Sunday, January 27, 2008

Ulul Albab: Hanya iman dapat selesai konflik Palestin

“Correct or wrong is my country” adalah slogan kebangsaan dalam politik perjuangan Barat untuk membela dan mempertahankan negara. Slogan ini pun yang dilaungkan masyarakat antarabangsa dengan sedar mahupun tidak dalam membela dan mempertahankan Israel sebagai negara penjajah. Apapun yang dilakukan Israel terhadap bangsa jajahannya Palestin, masyarakat antarabangsa membisu seribu bahasa. Dan apapun yang dilakukan masyarakat antarabangsa yang berkaitan dengan Israel, ia hanyalah lipstik belaka.

Beberapa hari lalu terjadi permulaan aksi pembunuhan perlahan-lahan terhadap penduduk Palestin berjumlah 1.5 juta orang di Gaza menerusi 'hukuman kolektif' haram Israel yang membuat sekatan ke atasnya. Gaza ditutup dari semua perhubungan, maka kebuluran, kegelapan dan keperitan bermaharajalela di kalangan penduduk Muslim di sana.

Solidariti untuk membela mereka pun datang dari masyarakat antarabangsa jalanan. Ratusan ribu orang melakukan tunjuk perasaan di merata tempat dari Beirut sampai ke Stockholm. Mereka menyeru untuk menarik sekatan berkenaan. Kemudian ia diikuti pihak rasmi masyarakat antarabangsa yang pada akhirnya membuat sidang tergempar pada 22 Januari lalu di New York. Pada sidang berkenaan satu teks kompromi yang dirangka 14 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung gesaan menamatkan krisis kemanusiaan di Palestin berjaya diusulkan.

Israel akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa supaya membuka pusat lintasan Gaza apabila membenarkan kemasukan terhad bahan bakar bagi satu-satunya loji tenaga elektrik di Semenanjung Gaza yang mula tiba di wilayah dikuasai Hamas sehari kemudian.

Bagaimanapun, Khalid Mish'al, Ketua Biro Politik Hamas, menegaskan bahawa pengembalian bekalan elektrik berkenaan adalah sebagai "Langkah membenarkan bagi keadaan yang salah." Dia mengisyaratkan bahawa penduduk Gaza ini tidak memerlukan keputusan seperti itu, akan tetapi mereka sedang menunggu penghapusan sekatan yang berlangsung sejak lapan bulan lalu.

Sememangnya drama berdarah perjuangan saudara kita di Palestin penuh dengan ketidakpastian dan tentangan yang luar biasa. Jika negara jajahan zaman dulu, mereka berjuang untuk memerdekakan diri dari satu-satu penjajah dan penjajah yang lain tidak mencampurinya tapi bangsa Palestin berjuang untuk merdeka daripada semua bangsa bukan hanya Israel. Dulu penjajahan adalah idea satu-satu negara untuk menjajah negara lain tapi Palestin adalah idea semua negara untuk menjajah satu negara dalam konspirasi Balford 1919 yang dilaksanakan pada 1948 dengan berdirinya negara Israel.

Malangnya, saudara kita bangsa Palestin belum pernah berhasil dalam perjuangan kemerdekaannya atau mungkin tidak akan pernah berhasil jika kita melihat rapuhnya perpaduan mereka. Perbalahan antara Fatah dan Hamas adalah buktinya dan kesengsaraan bangsa Palestin secara keseluruhan adalah hasilnya.

Banyak sudah dilakukan masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan konflik Israel dan Palestin tapi tiada hasilnya, malah Israel lebih kukuh dan kuat bahkan dia menjadi pengimport senjata terbesar keempat dan memiliki senjata nuklear 'Yahudi'. Sebaliknya Palestin semakin mundur dan lemah bahkan yang berjuang dengan sebenar-benar perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel hanya Hamas. Oleh itu, Gaza yang dikuasainya menjadi mangsa.

Fahmi Huwaidi, penulis pojok Arab yang tidak asing bagi penulis sejak lebih 20 tahun lalu, menulis dalam akhbar al-Sharq al-Awsat pada 4 Januari lalu: “Tema negara Palestin adalah pembohongan tahun baru ini yang dibahas dalam piagam kesefahaman dalam persidangan Annapolis. Sebahagian pihak menilai janji ini sebagai ubat bius yang mujarab.”

Menurutnya lagi, “Negara yang diinginkan Palestin adalah yang berdiri di atas tanah dan wilayah di mana mereka sejak awal sudah ada di sana, harus berdaulat. Sementara negara yang diinginkan Israel adalah negara anak patung yang memenuhi kepentingan Israel. Ia adalah ucapan Simon Perez agar Israel tetap menjadi negara Yahudi secara moral dan demografi. Israel memerlukan negara Palestin di sampingnya. Ia diyakini Sharon dan Bush yang dijanjikan pada 2002 akan didirikan negara Israel dan Palestin.

Negara Palestin yang diinginkan Israel mencakupi beberapa hal: dibebaskan daripada dosa sejarah, lembarannya harus bersih secara moral, pendirian negara sebagai alasan untuk melepaskan hak kembali Palestin ke kampung halaman mereka dan negara Palestin itu harus menjadi pintu masuk bagi Israel ke dunia Arab.

Adapun sifat negara Palestin seperti diinginkan Israel adalah; harus didirikan hingga di wilayah jajahan 1967 dengan syarat tidak menghilangkan permukiman yang terdiri daripada 150 permukiman dan dihuni setengah juta orang. Permukiman ini berada di atas sumber air dan tanah subur di Tebing Barat dan sangat memungkinkan bagi Israel untuk menguasai 85 peratus air di wilayah itu.”

Katanya lagi: “Di samping itu Israel akan memberikan ganti rugi kepada Pihak Berkuasa Palestin tanah dengan luas yang sama dengan di gurun Naqab sebagai bahagian daripada pertukaran tanah yang sayang sekali diterima oleh Abu Mazen kerana Israel sudah menjajah wilayah Palestin pada 1967 seluas 6,000 kilometer persegi, padahal wilayah yang diberikan Israel itu tidak layak dihuni sebab sebagai wilayah pembuangan sisa nuklear.

“Lebih daripada itu, negara Palestin diinginkan Israel hanya sebagai tempat pengasingan yang dikelilingi permukiman Yahudi. Negara itu juga tidak memiliki senjata dan tidak memiliki kedaulatan di darat, laut dan udara dengan pengertian semua pintu gerbangnya dikuasai Israel.”

Siapa yang mahu dan rela mempunyai negara semacam itu? Oleh itu, Hamas berazam untuk tetap meneruskan perjuangan dalam mendirikan negara Palestin yang berdaulat penuh dan bukan negara anak patung yang akan mengikuti telunjuk Israel.

Walaupun ada yang berharap negara Palestin akan wujud pada akhir 2008 seperti dijanjikan dalam persidangan Annapolis yang baru lalu tapi kalau mahu belajar dari sejarah Israel sepatutnya harapan itu mesti dikuburkan. Terbukti Yishak Rabbin memungkiri janjinya menarik diri dari kota-kota Tebing Barat pada 1995. Kemudian penggantinya Simon Perez mengingkari adanya kesepakatan masalah penarikan ini. Dan masih banyak pengalaman berharga daripada sikap Israel yang tidak pernah konsisten dengan janjinya.

Lebih penting daripada itu, Israel tidak menepati janji Mei 1999 yang seharusnya menjadi akhir fasa peralihan ditetapkan kesepakatan Oslo I pada September 1993 dan Oslo II September 1995 yang menjanjikan pengisytiharan negara Palestin. Setiap perjuangan mempunyai cabaran masing-masing sama ada cabaran dalaman mahupun luaran. Seandainya setiap pejuang menyedari mengenai satu hakikat yang mesti dijunjung tinggi dalam perjuangan mereka, sudah pasti cita-cita mereka untuk memenanginya akan tercapai. Ketahuilah, hakikat itu adalah perpaduan.

Perpaduan adalah senjata paling ampuh bagi menentang musuh. Tanpa perpaduan setiap perjuangan akan menjumpai kekalahan. Perpaduan utama yang perlu dimiliki umat Islam khasnya bangsa Palestin adalah negeri Islam adalah perpaduan kebangsaan yang berasaskan iman. Dan dengan iman itu mereka semua bersepakat bahawa matlamat mereka adalah negara Palestin dan siapapun penghalangnya mesti disingkirkan.

Dengan mengutamakan iman, umat Islam tidak akan kalah dan mereka akan sentiasa berada di tempat yang tinggi. Allah berfirman maksudnya: "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran: 139)

Sayyid Qutb ketika menjelaskan ayat ini berkata: “Masalah yang mula-mula sekali terlintas di dalam ingatan dengan membaca arahan Allah melalui ayat ini ialah masalah jihad dalam bentuk perang. Tetapi arahan ini sebenarnya mempunyai hakikat dan jangkauan lebih jauh lagi.

Arahan ini menggambarkan bagaimanakah mestinya sikap seseorang beriman itu terhadap segala sesuatu; bagaimanakah semestinya perasaan, konsep dan penilaiannya terhadap masalah, terhadap peristiwa dan terhadap individu manusia, pada keseluruhannya.

Arahan ini juga menggambarkan perasaan mulia dan agung, yang mestinya menjadi pegangan orang beriman dalam menghadapi setiap kemungkinan; iaitu dalam menghadapi setiap realiti, setiap nilai dan setiap orang manusia, perasaan mulia dan agung memegang iman dan nilainya yang mengatasi segala bentuk nilai yang datang daripada sumber lain.

Perasaan agung dan mulia dalam menghadapi seluruh tenaga yang menyeleweng daripada panduan iman, dalam menghadapi seluruh nilai yang tidak bersumberkan iman, menghadapi adat resam yang tidak berpandukan iman, menghadapi undang-undang yang tidak berorientasikan iman dan menghadapi segala macam bentuk realiti yang tidak dihayati iman.

Perasaan agung dan mulia di dalam keadaan hidup masih lemah, pengikut masih kurang, wang masih kering itu sebenarnya sama saja bentuknya dengan perasaan agung dan mulia ketika sedang berada di puncak kekuatan, pengaruh dan kekayaan.

Rasa agung dan mulia yang tidak mengenal mundur bila berhadapan kekuasaan yang ganas, dengan tradisi sosial yang pincang, dengan perundangan yang batil dan dengan realiti yang popular dan disukai masyarakat, tapi bertentangan dengan konsep iman.”

Dalam konflik Palestin dan Israel apa sikap yang harus dilakukan? Penulis seperti juga Fahmi Huwaidi dan mungkin anda menilai bahawa tidak ada jalan serius untuk menyelamatkan keadaan ini selama barisan Palestin terpecah seperti sekarang. Semua tindakan hanya perangkap Israel sebagai 'Bangsa Pilihan Allah'. Wallahu a'lam.

No comments: