Tuesday, January 1, 2008

Perspektif Ikim: Prinsip saksama utuhkan sosioekonomi

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Keadilan sosial dinikmati rakyat merangsang kemajuan, pertumbuhan negara

ISLAM menganjurkan pengabdian manusia sepenuhnya kepada kehendak Allah. Manusia dengan itu dimestikan mencorak kehidupan sosio-ekonomi, bermasyarakat dan bernegara mengikut kehendak tauhid.

Pengabdian kepada Allah dalam urusan sosio-ekonomi bertujuan membimbing manusia ke arah mencapai keharmonian dan kecemerlangan bermasyarakat. Tauhid menganjurkan bahawa sistem sosio-ekonomi hendaklah mengarah kepada wujudnya suasana al-Adl wal Ihsan (keadilan dan kasih sayang).

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat adil dan kebajikan, memberi pertolongan kepada manusia, serta melarang daripada berbuat yang keji, pekerjaan yang mungkar dan kezaliman. Dia memberi kamu pengajaran, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan." – (Surah An-Nahl, ayat 90)

Prinsip keadilan dan kasih sayang menganjurkan sistem sosio-ekonomi sesebuah negara mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan dan muafakat ekonomi negara. Kedua-dua unsur itu adalah asas ke arah pencapaian perjalanan sistem sosio-ekonomi yang teratur, cekap dan progresif.

Daripada asas falsafah tauhid, beberapa prinsip umum dapat dirumuskan untuk dijadikan panduan dalam menjalani aktiviti sosio-ekonomi. Pertama, ialah prinsip keadilan sosial. Pengendalian dan mekanisme dalam mengatur kegiatan ekonomi mesti dapat menuju ke arah wujudnya keadilan sosial.

Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah negara dapat menyedia keperluan hidup asasi individu melalui pencapaian faktor berikut:

Pemuliharaan penghayatan keimanan melalui pengamalan nilai agama dalam urusan kehidupan pada peringkat individu dan masyarakat.

Menaikkan taraf daya fikir untuk semua lapisan masyarakat supaya bebas daripada buta huruf dan memiliki mutu ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan secara berkesan dengan perubahan masa.

Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradat dan bertanggungjawab semoga negara ditadbir menepati prinsip syura.

Memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat supaya mereka bebas menentu atau berusaha bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi dalam dan luar negara. Justeru, sumber harta negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem sosio-ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi kesemua lapisan masyarakat.

Negara melalui usahanya membina sebuah tamadun yang utuh supaya dapat memberi keyakinan dan sikap optimis kepada masyarakat bahawa generasi masa depan negara akan terus mengecapi suasana cemerlang. Bahkan mengikut Islam, kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.

Kedua, prinsip istikhlaf yang membicarakan kedudukan manusia daripada kaca mata Islam. Manusia mengikut Islam adalah pemegang amanah Allah dalam rangka memakmurkan dunia. Semua yang terdapat di dunia adalah hak milik Allah, hatta manusia itu sendiri.

Mereka dicipta untuk keperluan manusia. Oleh itu, manusia bertanggungjawab kepada Allah terhadap apa yang diusahakan dan dimilikinya. Prinsip itu menggaris peraturan mengenai pemilikan harta persendirian seperti berikut:

Pemilikan harta hendaklah melalui cara yang diredai Allah.

Pemilik harta hendaklah menggunakan hartanya untuk kebajikannya dan masyarakat.

Harta yang dimiliki hendaklah dibabitkan dalam kegiatan ekonomi. Pembekuan harta diharamkan oleh Islam kerana ia menimbul ketidakadilan dalam masyarakat.

Ketiga, prinsip bekerja menganjurkan kepentingan konsep bekerja dan membabitkan diri dalam kegiatan sosio-ekonomi. Pembabitan dalam kegiatan sosio-ekonomi adalah ibadat. Setiap pembabitan hendaklah diberi ganjaran setimpal.

Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah dan sektor swasta menjamin peluang pekerjaan untuk kesemua lapisan rakyat. Oleh itu, ganjaran yang diperoleh melalui pekerjaan melainkan kepada keadaan yang terkecuali seperti penerimaan harta pusaka, hadiah dan zakat. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah pendapatan yang diperoleh tanpa usaha.

Pendekatan positif Islam terhadap konsep kerja akan mengarah masyarakat kepada potensi peningkatan taraf hidup mereka yang disertai dengan keadilan pengagihan harta dan kekayaan.

Keempat, prinsip keuntungan dan kerugian. Islam menjelaskan setiap pembabitan dalam aktiviti sosio-ekonomi mesti mengakui bahawa keuntungan dan kerugian adalah perkara lumrah. Bahkan, prinsip itu adalah asas kepada muamalat dalam Islam. Berdasarkan prinsip itu, mekanisme seperti mudharabah dan musyarakah digalakkan dalam aktiviti ekonomi.

Prinsip itu untuk menjamin keadilan terlaksana dalam setiap kegiatan sosio-ekonomi. Tiada golongan sama ada pemodal ataupun penguasa mendapat tempat istimewa dalam sistem sosio-ekonomi Islam. Kedua-dua golongan memerlukan antara satu sama lain dalam membangun ekonomi masyarakat.

Prinsip itu mengajar bahawa kesemua perlu berminat dan menceburi secara langsung kerana tiada jaminan istimewa pulangan akan dibenarkan dalam sistem Islam.

Kelima, prinsip menjauhkan daripada melakukan kerosakan. Islam menganjurkan dalam kegiatan sosio-ekonomi, segala bentuk kerosakan sama ada dalam bentuk keruntuhan akhlak, kepincangan keluarga dan kerosakan alam persekitaran hendaklah dijauhkan.

Kerosakan kepada diri serta masyarakat tidak sepatut berlaku. Oleh itu, ada perkara yang diharamkan Islam seperti penindasan, penipuan, pencurian, pencemaran alam, pembaziran dan sebagainya tidak berlaku dalam sistem ekonomi Islam.

Daripada prinsip umum Islam itu pemikir Islam semasa perlu peka menjadikan prinsip berkenaan sebagai panduan dalam menyusun dan membangun sosio-ekonomi umat Islam semasa. Ini termasuk dalam penggubalan dasar dan mekanisme ekonomi sesuai perkembangan sosio-ekonomi semasa.

Seorang tokoh ilmuwan Islam, Ibn Khaldun (1332 – 1406 Masihi) banyak menyumbang kepada pemikiran ekonomi pada masa itu.

Beliau mengupas dengan mendalam isu ekonomi dalam masyarakat masa itu menyentuh beberapa aspek seperti nilai, pengagihan buruh, sistem harga, undang-undang berkaitan penawaran dan permintaan, kepenggunaan dan pengeluaran, wang, pembentukan modal, pertumbuhan penduduk, pembiayaan awam dan putaran perniagaan.

Menurut pandangan Ibn Khaldun, faktor kemajuan ekonomi sangat penting ke arah menentukan kestabilan politik sesebuah masyarakat tercapai. Beliau berpandangan, sejarah maju mundur sesebuah masyarakat ada pertalian rapat dengan pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat itu.

Beliau turut membincangkan mengenai beberapa peringkat bagaimana sesebuah masyarakat perlu lalui dalam mencapai kemajuan ekonomi. Katanya, daripada perspektif ekonomi-makro, pendapatan dan pembiayaan akan seimbang untuk sesebuah bandar dan jika kedua-dua pendapatan dan pembiayaan besar, bandar itu akan membangun.

Dalam analisis ekonomi seterusnya, Ibn Khaldun berpendapat buruh mempunyai tempat istimewa dalam teori nilai. Pendapatan kepada individu adalah daripada usaha tenaga yang disumbangkan oleh buruh berkenaan. Oleh itu pendapatan diperoleh seorang daripada sumbangan tenaganya adalah nilai buruh. Bahkan, tanpa sumbangan tenaga buruh penghasilan produk tidak akan wujud.

Beliau turut merumuskan bahawa permintaan kepada buruh meningkat jika permintaan kepada sesuatu barangan meningkat. Sektor awam mengikut Ibn Khaldun adalah sektor yang utama kepada pasaran buruh.

Ibn Khaldun turut meyakinkan jumlah penduduk menyumbang kepada kemajuan ekonomi sesebuah negara. Justeru, setiap penduduk melalui pembahagian pengkhususan bekerja berdasarkan kemahiran masing-masing adalah penyumbang penting kepada kemajuan ekonomi.

Walaupun peranan sektor awam penting kepada sesebuah ekonomi, Ibn Khaldun menganjur kepada campur tangan sektor awam yang minimum dalam urusan ekonomi negara. Walaupun demikian, beliau berpandangan sektor awam berperanan mengawal kejatuhan aktiviti perniagaan sektor swasta dan menerus pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Justeru, dalam usaha memantapkan prestasi sektor swasta, kadar cukai yang hendak digubal oleh kerajaan perlu teliti semoga semangat keusahawanan sektor swasta tidak terjejas. Jika semangat keusahawanan sektor swasta terjejas, keadaan ekonomi akan turut mengalami masalah dan jumlah cukai yang mampu dipungut kerajaan akan menurun.

Pandangan pemikir seperti Ibn Khaldun perlu wujud di kalangan ilmuwan Islam masa kini. Dengan berpandukan prinsip umum Islam yang dapat diambil daripada sumber asas Islam iaitu al-Quran dan hadis Nabi SAW, ilmuwan Islam perlu memahami perkembangan semasa sosio-ekonomi.

Gabungan kemampuan ilmuwan Islam memahami al-Quran dan hadis Nabi SAW dengan perkembangan sosio-ekonomi adalah usaha utama masa kini untuk mengembali keagungan Islam dan kemajuan umatnya.

Menguasai asas Islam secara mendalam sepatutnya merangsang ilmuwan Islam menterjemah prinsip Islam dalam penyusunan kehidupan dan menguasai perkembangan semasa isu sosio-ekonomi negara. Islam perlu membimbing hakikat semasa. Ia bukan slogan untuk dilaungkan saja.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: