Saturday, January 5, 2008

Harta lebih berkat melalui amalan zakat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

HARTA yang sering menjadi rebutan setiap manusia dianggap sebagai lambang kesenangan dalam kehidupan seseorang hingga hari kiamat. Atas persepsi itulah maka orang akan sanggup bekerja siang dan malam hanya untuk mendapatkan harta.

Bahkan ada segelintir umat Islam sendiri yang sanggup menghalalkan cara atau mengetepikan hukum ketetapan Allah SWT demi memperoleh harta. Lanjutan itu, maka timbullah pelbagai gejala tidak sihat seperti rasuah, penipuan, ragut, riba, perjudian, pelacuran dan lain-lain.

Padahal, harta benda sebenarnya tidak lebih sekadar perhiasan kehidupan dunia saja. Al-Quran menegaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu perhiasan penghidupan dunia, tetapi amal kebajikan itu lebih baik ganjarannya di sisi Tuhan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Oleh kerana lupa kepada Allah SWT (yang memberi harta), maka mereka mencari, memburu, mengusahakan dan mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah hidup di dunia ini tidak berakhir dan dapat hidup bersama harta yang dimilikinya

Sikap sebegini sebenarnya mengundang kutukan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi tiap-tiap orang yang pengumpat, menghina, yang mengumpulkan harta dan menghitungnya, disangkanya hartanya itu mengekalkannya.” (Surah al-Humazah, ayat 1-3)

Sesungguhnya Islam tidak pernah sama sekali menghalang seseorang itu mencari harta. Malah, itu adalah keperluan yang dituntut oleh sesiapapun demi kehidupan yang sewajarnya. Cari dan burulah seberapa banyak harta, namun perlu diingat bahawa penentu segala kejayaan dan kekayaan bukan kerana kepandaian seseorang atau kerajinan dan ketekunan bekerja tetapi Allah SWT.

Bila ada keyakinan yang mantap, sudah tentu hati akan senantiasa ingat kepada Allah yang Maha Pemberi Kurnia dan kehidupan di akhirat nanti. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah apa yang diberikan Allah kepada kamu di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian kamu daripada (kenikmatan) dunia, dan berbuatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu.” (Surah al-Qashas, ayat 77)

Sebagai seorang Muslim, hendaklah sentiasa berhati-hati dalam mencari harta kekayaan dan apabila sudah diperoleh, maka harta itu hendaklah diurus sebaiknya supaya tidak mendapat kemurkaan Allah SWT.

Hal menguruskan harta benda ini, Mohammad Ali Al-Hamidi dalam bukunya Jalan Hidup Muslim mengklasifikasikan manusia kepada empat golongan iaitu kikir atau kedekut dengan hartanya, boros mengguna hartanya, sombong dengan hartanya dan cermat, hemat serta teratur dalam mengurus hartanya.

Islam hanya membenarkan manusia berada dalam golongan keempat saja. Lantaran golongan itu saja yang menyedari dan mengakui bahawa harta benda dimiliki sebenarnya adalah kurniaan Allah SWT.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang sedar hakikat itu seharusnya melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dengan melipatgandakan ketaatan kepada-Nya dan memperguna harta di jalan yang diredai Allah SWT.

Al-Quran juga menyatakan bahawa harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan sebahagiannya untuk keperluan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari di mana tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah, golongan orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Menafkahkan harta bermakna kita membersihkan harta daripada kepunyaan orang lain dan mengikis sifat bakhil, kedekut, mementingkan diri sendiri dan sombong. Rasulullah SAW menerangkan melalui sabda baginda yang bermaksud: “Siapa yang mengeluarkan zakat dan menjamu tamu dan menunaikan amanat, maka ia telah terpelihara dari kebakhilan dirinya.”

Masih ada segelintir umat Islam yang enggan mengeluarkan dan menghulurkan sebahagian hartanya kepada orang lain atau pihak yang memerlukan. Pada anggapan mereka, apabila harta diberikan kepada orang lain, hartanya akan susut, terkikis dan habis.

Anggapan itu salah sama sekali. Yakinlah, bahawa apabila harta dikeluarkan di jalan Allah SWT dengan penuh keikhlasan, Allah akan melipatgandakan lagi hartanya. Demikianlah janji Allah SWT yang tidak boleh diragui.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, adalah seperti satu biji (benih) yang menumbuhkan tujuh tangkai, di tiap-tiap satu tangkai ada seratus biji, dan Allah akan menggandakan kepada siapa yang Ia kehendaki; dan Allah itu Luas (pemberian-Nya), amat Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta kerana sedekah dan tiada seseorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman melainkan Allah menambah kemuliaannya.”

Bagi orang yang percaya dengan janji Allah SWT, sudah tentu berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dengan harta dimilikinya dengan cara bersedekah, mengeluarkan zakat, membantu kaum fakir miskin atau anak yatim serta dalam hal memberi manfaat yang tidak bertentangan syariat Islam.

Namun perlu diingat, dalam memberi atau bersedekah, mestilah sesuatu yang baik dan yang kita sayangi. Kalau memberi sesuatu kepada orang lain yang sudah tidak dapat dipakai atau dimakan, maka kesannya sangat buruk.

Si penerima tentunya merungut dan tidak senang hati. Dengan itu juga kemungkinan besar hubungan antara kedua belah pihak menjadi semakin renggang dan terputus. Lantaran itu, Allah mengarahkan supaya bersedekah sesuatu yang elok dan si penerima merasa gembira.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pilih yang tidak baik buat kamu dermakan dia pada hal kamu tidak akan menerima dia melainkan dengan memejam mata padanya, dan ketahuilah bahawa Allah itu Kaya, Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Di samping itu, dalam menggunakan harta untuk kepentingan peribadi atau keluarga, Islam melarang keras seseorang itu bersifat membazir atau boros. Sifat demikian tidak menunjukkan rasa syukur kepada Allah, mensia-siakan harta tanpa memberi faedah sedikitpun serta terkeluar daripada akhlak seorang Muslim.

Orang yang suka membazirkan hartanya, bermakna sudah mengikut kehendak hawa nafsu serta termakan bisikan syaitan. Akibatnya, mendapat kemurkaan Allah seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Makanlah yang baik-baik daripada apa yang telah Kami berikan rezeki kepadamu, dan janganlah melampaui batas. Sebab hal yang demikian menyebabkan murka-Ku kepadamu. Barang siapa yang mendapat murka-Ku, nescaya dia menjadi binasa.” (Surah Toha, ayat 81)

Orang yang beriman dan mempunyai harta seharusnya bijak mengguna dan menyalurkannya dalam rangka beribadat, memburu pahala dan keredaan Allah SWT. Janganlah kita menjadi orang yang dimurkai kerana mendapatkan harta dan menyalurkannya pada tempat yang tidak diredai Allah SWT.

No comments: