Thursday, January 10, 2008

Hijrah bukti kebijaksanaan Rasulullah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

HIJRAH bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilakukan nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat seperti firman-Nya yang bermaksud: “Selepas Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Selain Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Begitu juga Nabi Noh yang diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah SAW berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan dan keimanan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Mereka menghadapi apa saja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan hati yang teguh. Hijrah Nabi SAW dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah SAW, bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah SAW menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, wajar umat Islam mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah adalah milik semua makhluk diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.

Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan sama rata untuk bersama mendiami alam ini di samping memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107)

No comments: