Saturday, January 5, 2008

Kejujuran atasi amalan buruk bekerja

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Individu berkhidmat secara ikhlas dapat keuntungan hidup di dunia, akhirat

PENEKANAN terhadap integriti amat diambil berat pihak kerajaan dan pelaksanaannya diperluaskan kepada semua kementerian serta jabatan kerajaan. Hasilnya, pelan dan institut integriti diwujudkan sebagai langkah proaktif dalam memastikan semua penjawat awam mempunyai sifat mulia ini.

Walaupun istilah ini agak baru dalam dunia perkhidmatan, asasnya sudah lama diguna pakai dalam sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan Islam sejak zaman kepemimpinan Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara Islam Madinah yang kemudian diteruskan Khulafa al-Rasyidin dan pemerintah Islam selepasnya.

Untuk merealisasikan pelaksanaan integriti dalam diri tiap manusia sama ada pemimpin negara, ahli politik, pegawai atasan malah kakitangan bawahan, memerlukan satu tarikan dan kesedaran mendalam tercetus daripada kesucian hati serta jiwa yang sentiasa berpaksikan kepada keluhuran akhlak dan budi pekerti.

Di samping penguatkuasaan undang-undang melalui hukuman kepada perlakuan salah laku penjawat awam ini, setiap individu perlu memastikan suasana persekitarannya juga baik supaya penghayatan integriti dapat dijayakan dengan sempurna.

Setiap individu mesti dididik supaya sentiasa bercakap benar, menjauhi percakapan dusta dan sentiasa berada dalam lingkungan orang yang benar. Hal ini diperintahkan Allah SWT dan sentiasa digalakkan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah kamu bersama-sama dengan orang yang benar. (Surah al-Taubah, ayat 119)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang Mukmin diperintahkan melazimkan diri untuk duduk bersama-sama kebenaran yang pastinya dipimpin oleh orang yang sentiasa bercakap benar dalam setiap tindakan.

Justeru, setiap individu Muslim juga digalakkan untuk tidak mendekati golongan yang zalim, malah cenderung hati kepada mereka juga tidak dibenarkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nescaya kamu akan disimbah dengan api neraka. (Surah Hud, ayat 113)

Zalim seperti diketahui umum membawa maksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Justeru, berkawan dan mendampingi orang yang tidak berpaksi kepada kebenaran adalah sangat dilarang, dibimbangi akan turut sama terjebak melakukan perkara dilarang agama.

Ulama tafsir menyebut, cenderung kepada orang zalim maksudnya bergaul dengan mereka serta meredai perbuatannya, akan tetapi jika bergaul dengan mereka tetapi tidak meredai perbuatan zalim itu dengan maksud supaya mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri, maka dibolehkan.

Merujuk kepada ayat surah al-Taubah itu, kitab Nuzhatul Muttaqin ada menukilkan kesimpulan pendapat ulama bahawa benar yang dimaksudkan ayat itu ialah amalan bertepatan dengan kehendak syarak. Ia juga boleh diertikan dengan sama dan tepatnya amalan zahir dan batin, rahsia dan terang-terangan, manakala lawan kepada benar ialah dusta.

Untuk pengertian lebih luas, benar bukan sekadar apa yang dilafazkan di bibir mulut, tetapi merujuk kepada persoalan apa yang tersembunyi dalam hati. Tidak dikira benar jika di mulut melafazkan kebenaran, tetapi berpura-pura di dalam hati kononnya memaparkan keikhlasan.

Inilah inti pati sebenar akhlak dan nilai tasauf dalam kerangka tasawwur Islam. Berbeza dengan etika dan moral menurut perspektif barat yang lebih menjuruskan apa dipertontonkan dalam bentuk zahir, tetapi Islam melihat dalam konteks lebih menyeluruh merangkumi antara yang zahir dan batin.

Justeru, pastinya Allah SWT tidak melihat kepada gambaran luaran, bentuk fizikal dan rupa paras, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati itu yang akan menjadi penilaian utama.

Benar juga adalah satu sifat yang boleh mendorong manusia untuk ikhlas melakukan sebarang tindakan. Dorongan dalaman yang kuat pasti akan mengindahkan lagi realiti yang zahir. Inilah sukar dijelmakan dalam keadaan zaman yang mementingkan material, mengejar pangkat dan kedudukan.

Maka setiap individu perlu mendidik diri dan dididik secara berterusan untuk merealisasikan akhlak mulia ini dalam usaha mengejar keuntungan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Konsep integriti menekankan kepada pembentukan sikap ikhlas dan jujur dalam melaksanakan sesuatu kerja, menjadikan sifat ini sebagai penawar paling berpengaruh untuk mengatasi permasalahan etika tidak bermoral dalam perkhidmatan.

Banyak gejala negatif seperti rasuah, pecah amanah, ponteng kerja, salah guna kuasa dan harta kerajaan, mengadu domba dan sebagainya pasti dapat diatasi. Selagi modal insan tidak dididik melalui pendekatan sufi ini, selagi itulah jalan penyelesaian masalah tiada bertemu noktahnya.

Berhubung kemuliaan sifat benar, contoh teladan sudah ditunjukkan lebih awal oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pimpinan kerajaan Islam Madinah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa ke syurga, seorang lelaki yang sentiasa bercakap benar pasti akan ditulis oleh Allah SWT sebagai seorang ahli kebenaran. Sesungguhnya dusta pula membawa kepada kerosakan, dan ia akan membawa ke neraka, dan seorang lelaki yang sering berdusta pasti akan ditulis di sisi Allah SWT sebagai pendusta." (Hadis Muttafaq alaih)

Hadis ini sebagai penggalak dan perangsang untuk melazimkan diri dengan kebenaran dan kebaikan, pada masa sama sebagai ancaman kepada sifat bohong dan kejahatan.

Imam al-Nawawi menjelaskan, seseorang yang sering melakukan amal sama ada baik atau buruk pasti akan dilihat oleh orang ramai walau cuba disembunyikan, dan individu itu akan dicop berdasarkan perlakuan yang dipaparkan itu.

Saidina Ali bin Abi Thalib meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya benar itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keresahan."

Orang yang bercakap benar pastinya tenang dalam pertuturan kerana tiada pembohongan yang ingin disembunyikan berbanding dengan orang yang berbohong akan sentiasa keluh kesah, gundah gulana, berdebar-debar dalam percakapan kerana sedang menyimpan rahsia yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.

Menjadi kebiasaan, apabila pembohongan terserlah, ketika itu mulalah pelbagai helah dan alasan dikemukakan untuk mempertahankan diri, namun akhirnya kepalsuan akan terdedah juga.

Merealisasikan akhlak yang baik dalam kehidupan sehari-hari baik sebagai individu atau pekerja kepada majikan, perlu dijadikan agenda utama dalam melahirkan penjawat yang ikhlas dan amanah.

Penekanan terhadap konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka perlu sering diulangingatkan kepada semua masyarakat supaya dapat mewujudkan situasi dunia perkhidmatan lebih telus, bersih dan berkualiti. Ia perlu dijayakan supaya sifat ini menjadi budaya dan rutin yang berterusan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepadamu." (Surah Hud, ayat 111)

Matlamat akhir untuk membentuk sebuah kerajaan yang baik dan mendapat pengampunan Allah SWT pasti dapat direalisasikan jika semua anggota masyarakat dapat menjunjung kebenaran dalam kehidupan.

Ketika itulah nanti pintu keampunan dan keberkatan akan dibuka seluasnya oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya yang bermaksud: "Jikalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami itu, maka kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka itu." (Surah al-A'raf, ayat 96).

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan

No comments: