Saturday, January 26, 2008

Dialog wadah satukan masyarakat

Oleh Hasliza Hassan

Matlamat perbincangan mesti jelas untuk beri manfaat kepada orang ramai

DIALOG antara agama perlu sebagai landasan untuk mengenali, mempelajari serta mencari titik pertemuan antara pelbagai agama supaya lahir keharmonian dan kesepakatan yang membawa kebaikan kepada seluruh masyarakat.

Pensyarah (bidang Perbandingan Agama), Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzaman, berkata ia perlu dilakukan mengikut etika, dengan formula, sistem dan kaedah betul serta persiapan rapi.

Beliau yang banyak terbabit dalam dialog antara agama di dalam dan luar negara berkata, tujuan dialog antara agama juga hendaklah jelas supaya hasilnya nanti benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak terbabit.

"Untuk berdialog kita perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibincangkan. Dialog antara agama boleh dilakukan dalam konteks etika di mana kita menjalinkan kerjasama pada peringkat kemanusiaan, tetapi tidak dalam perihal teologi.

"Malah, pemilihan perkataan antara agama dan antara kepercayaan juga memberi perbezaan besar. Pada saya, antara kepercayaan atau interfaith memberi makna lebih luas dan lebih layak dijadikan landasan untuk berbincang.

"Perkataan antara agama akan memberi maksud sempit di mana perbincangan bakal menjurus kepada perbezaan, sedangkan tujuan kita ialah mencari maklum balas yang dapat memberi kebaikan serta manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.

Katanya, apa yang dilihat ialah selepas cadangan penubuhan Majlis Antara Kepercayaan (IFC) yang menimbulkan pelbagai reaksi, semua usaha ke arah mengadakan dialog menjadi berat dan susah untuk dilaksanakan.

Dr Kamar Oniah berkata, IFC yang sepatutnya menjadi wadah untuk menghasilkan kebaikan sebaliknya digunakan pihak tertentu bagi mencapai agenda tersembunyi mereka, yang jauh tersasar daripada matlamat berdialog iaitu untuk berbincang.

Justeru, beliau menegaskan dialog antara agama jika ingin diadakan perlu bersandarkan kepada matlamat yang jelas dari segi topik perbincangan, kaedah bagaimana ia wajar dilaksanakan dan siapakah yang patut terbabit dalam perbincangan itu.

Perkara itu disampaikan beliau pada Muzakarah Ke Arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang membicarakan mengenai Isu Tumpuan dalam Dialog Antara Agama dan Peradaban: Pengalaman Semasa Umat Islam.

Muzakarah sehari itu bertujuan mengetengahkan persoalan mengenai agama dan peradaban yang sesuai dibahaskan dalam ruang lingkup masyarakat dan negara yang memiliki masyarakat pelbagai agama dari sudut pandangan umat Islam sebagai langkah awal membentuk persepakatan.

Pada majlis itu, Dr Kamar Oniah turut menceritakan pengalaman beliau membentangkan kertas kerja atau berdialog di luar negara kerana katanya, berdasarkan sambutan yang diterima membuktikan masyarakat bukan Islam sebenarnya bersedia mendengar pandangan orang Islam.

Sementara itu, Pengerusi Muslim Profesional Forum, Dr Mazeni Alwi, berkata umat Islam tidak boleh takut atau gentar apabila berhadapan dengan kritikan daripada bukan Islam yang bermaksud untuk melemahkan mereka.

Sebaliknya, umat Islam perlu menghadapinya dengan yakin kerana Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam perlembagaan negara dan kelebihan itu sepatutnya memberi kekuatan kepada mereka terutama ketika berdepan dengan kritikan.

"Kenapa hendak gusar dengan kritikan, kita perlu bersikap terbuka. Lihat kritikan itu dan jika ada kelemahan atau yang tidak betul mengenai kritikan yang dilemparkan, kita terangkan dengan baik kepada mereka.

"Kadang kala kita perlu letak diri di tempat mereka, barulah kita boleh tengok pandangan mereka. Yang tidak betul kita terima dan yang betul, kita jelaskan. Jangan emosi dalam mempertahankan diri yang dikritik kerana emosi boleh bawa kesan negatif dan merugikan Islam itu sendiri," katanya.

Dr Mazeni turut mendedahkan bahawa wujud tanggapan seolah-olah Islam sekarang ingin mendominasi, merampas hak bukan Islam dan menghapuskan ciri masyarakat majmuk daripada mereka yang melihat keistimewaan itu daripada kaca mata hak asasi manusia sejagat.

Sedangkan hakikatnya kata beliau, Islam sekarang berdepan dengan pelbagai ancaman serta serangan hebat daripada kecanggihan teknologi maklumat hari ini yang tidak boleh disekat dan ditambah dengan sikap umat Islam sendiri yang menimbulkan banyak kekeliruan terhadap agama.

Katanya, kemasukan idea liberal yang tidak sealiran dengan Islam yang mudah diterima pakai generasi hari ini bukan saja menjadi ancaman, malah menyukarkan lagi usaha mengadakan dialog dengan agama lain kerana itu bukan gambaran Islam sebenar.

"Kata makin lama Islam dominasi, tetapi tengok amalan orang Islam makin terhakis. Perkara ini membimbangkan dan perlu diberi perhatian. Sekarang orang Islam sudah terima idea liberal dan mempersoal idea serta ciri agama Islam yang dipakai sejak merdeka.

"Malah, orang biasa boleh bagi terjemahan baru agama. Memang sedap didengar kerana kena dengan konsep kebebasan beragama, tetapi yang menjadi mangsa ialah pandangan Islam yang menjadi pegangan sejak dulu hingga sekarang," katanya.

Katanya, konsep moden iaitu agama harus di rumah dan tidak ada tempat dalam masyarakat juga adalah isu semasa yang memerlukan tumpuan semua pihak kerana ia akan membuka lebih banyak masalah serta kekeliruan jika dibiarkan begitu saja.

Dr Mazeni berkata, umat Islam tidak boleh berkompromi mengenai kebenaran Islam dalam usaha menangani serangan terhadap Islam dan kekeliruan yang ditimbulkan melalui kritikan pihak tertentu yang tidak senang dengan Islam.

Beliau berkata, umat Islam tidak perlu rasa malu jika dikatakan tidak moden kerana apa yang diamalkan sejak dulu adalah sunnah Rasulullah SAW yang kebenarannya datang daripada Allah dan diterima sebagai petunjuk sepanjang zaman.

"Walaupun diasak dari pelbagai penjuru oleh golongan sekular yang tidak sukakan Islam, kita perlu hadapi dan tidak boleh lari. Kita kena faham orang lain berhak buat kritikan tetapi jangan sampai kritikan itu mempengaruhi kita.

"Sebaliknya, kita perlu jelaskan kepada mereka dan yang penting, kita faham Islam untuk diri kita sendiri dan kemudian fahamkan orang lain bahawa Islam tidak begitu. Jika mereka kata Islam lapuk dan jumud, itu yang kita cuba fahamkan dan terangkan dengan betul kepada mereka," katanya.

No comments: