Thursday, January 31, 2008

Hak Muslim: Bekas suami tiada alasan elak nafkah anak

SAYA bercerai dengan suami sembilan tahun lalu. Sejak bercerai, bekas suami tidak pernah memberi nafkah untuk dua anak kami yang masih belajar. Beliau bekerja sebagai arkitek di syarikat swasta dan sudah berkahwin lain. Saya meminta nafkah anak daripadanya secara baik tetapi biasanya perlu memaksa dengan cara anak menghubunginya berkali-kali barulah beliau memberikan wang. Kini, beliau sering menghina mengatakan saya pengemis dan tidak tahu malu menyuruh anak meminta wang daripadanya. Saya beritahu beliau saya akan menuntut nafkah anak di mahkamah tetapi beliau mengatakan akan menuntut kembali hak jagaan anak kerana saya tidak mampu menyara mereka. Adakah suami boleh menggunakan alasan itu untuk mendapatkan hak jagaan anak? Saya tidak mahu kehilangan anak tetapi tidak mampu menampung keperluan mereka. Jika saya ingin menuntut nafkah anak, berapakah jumlah yang perlu saya tuntut? Tolonglah nasihatkan saya.

Ibu tunggal,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

SEMOGA puan diredai Allah serta cekal mendidik anak menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat. Persoalan puan ialah bekas suami enggan memberikan nafkah kepada anak walaupun diminta beberapa kali.

Apabila diberitahu puan akan menuntut nafkah di mahkamah, beliau mengatakan akan menuntut hak jagaan kerana puan tidak berkemampuan menyara anak. Puan perlu memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah.

Selagi puan tidak mendapatkan perintah mahkamah, bekas suami tidak berasa berkewajipan membayar nafkah itu. Menurut hukum syarak, orang berkewajipan menyara nafkah anak adalah bapa dan bukannya ibu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Antara lain ia bermaksud, bapa wajib membiayai nafkah anaknya dengan sebab kelahiran anak dinasabkan kepada bapa itu melalui akad nikah sah di antara ibu dan bapanya. Ia juga berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya." (Surah al-Talaq, ayat 6)

Al-Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam Mughni Al-Muhtaj menghuraikan pengertian ayat itu sebagai, "bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga sebagai kewajipan memberi nafkah kepada anaknya."

Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (selepas ini dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anaknya sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.

Tidak timbul isu sama ada anak di bawah jagaan puan atau orang lain, bekas suami tetap bertanggungjawab menanggung nafkah anak. Seksyen 73(1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya. Berdasarkan nas dan peruntukan undang-undang itu, puan boleh memohon nafkah anak di mahkamah.

Isu bekas suami akan menuntut hak jagaan kerana puan tidak berkemampuan menyara mereka, tidak relevan. Hak jagaan akan hilang jika puan hilang kelayakan menjaga anak seperti mengabaikan kebajikan mereka, menjalani kehidupan tidak mengikut lunas Islam dan alasan lain digariskan hukum syarak.

Alasan bekas suami sebenarnya hendak menghalang puan memperoleh perintah kekal nafkah anak yang akan mengikatnya melaksanakan perintah itu.

Pernyataan tuntutan puan perlu menghuraikan anggaran perbelanjaan bulanan anak merangkumi makan minum, pakaian, perubatan, persekolahan dan kebajikan mereka. Setiap perbelanjaan perlu disokong dengan resit pembayaran serta saksi yang mengetahui berkaitan tuntutan bagi menguatkan keterangan di mahkamah kelak.

Namun, nafkah anak tidak mempunyai kadar tertentu. Ia berdasarkan konsep cukup menurut adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah.

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya." (Surah al-Talaq, ayat 7)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa Hindun Uthbah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut. Dia tidak memberi perbelanjaan kepadaku dan anakku kecuali setakat apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya." Sabda Rasulullah SAW kepada Hindun: "Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Sayyid al-Bakri dalam I'aanah al-Talibin menghuraikan maksud hadis sebagai, "wajib memberi makan kepada anak sekadar yang cukup kenyang bagi kesempurnaan hidup dan tidak wajib berlebih sangat atau sampai kepada kemewahan yang berlebihan. Selain makan minum dan pakaian termasuk juga perubatan, persekolahan dan sebagainya."

Puan perlu mengemukakan kepada mahkamah kemampuan bekas suami untuk menanggung nafkah anak dengan menyenaraikan sumber kewangan beliau seperti pendapatan tetap melalui penyata gaji bulanannya serta jumlah harta alih atau harta tidak alih yang beliau miliki seperti rumah, tanah, saham dan wang tunai.

Semua sumber boleh diperoleh daripada majikannya atau Lembaga Hasil Dalam Negeri. Mahkamah kebiasaannya akan menilai kemampuan bekas suami dibandingkan dengan keperluan anak sebelum memerintahkan jumlah nafkah yang wajib dibayar oleh bekas suami kepada mereka. Moga puan berkeyakinan untuk meneruskan tuntutan nafkah anak selepas ini.

INFO

Peruntukan undang-undang

Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anak sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.

Seksyen 73(1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya. Berdasarkan nas dan peruntukan undang-undang itu, bekas isteri boleh memohon nafkah anak di mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot. com/ dan sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: