Friday, January 11, 2008

Ilmuwan Islam: Ilmuwan Islam manfaat sumber alam jana elektrik

MANJIL terkenal sebagai bandar berangin di Iran kerana kedudukannya di kawasan rekahan pergunungan Alborz yang menjadi laluan tiupan angin menuju banjaran Qazvin. Walaupun berada di kawasan pergunungan, Manjil kaya anugerah alam seperti tanahnya yang subur untuk pertanian.

Manjil juga terkenal sebagai pengeluar buah zaitun bermutu menjadikan bandar yang sentiasa dihiasi warna lampu neonyang menjadi tumpuan pelancong asing.

Episod kesembilan dokumentari Ilmuwan Islam terbitan TV3 yang disiarkan jam 7.30 malam ini memberi tumpuan kepada bandar Manjil yang tidak lagi bergantung kepada sumber tenaga fosil seperti petroleum dan gas bagi mendapatkan tenaga elektrik.

Tenaga elektrik Manjil juga bukan berpunca daripada kuasa hidro, walaupun terdapat sebuah empangan di bandar itu. Sebaliknya, bandar itu menggunakan sumber alam untuk menjana tenaga elektrik, menjadikannya contoh bandar yang mesra alam.

Penduduknya bergantung kepada kipas gergasi di puncak bukit sekitar bandar berangin ini sebagai punca tenaga elektrik.

Tiupan angin kencang berterusan hingga mencapai kelajuan 90 kilometer sejam di kawasan tinggi Manjil membolehkan bandar itu mendapat bekalan tenaga daripada kira-kira 80 kipas gergasi yang berperanan sebagai penjana elektrik.

Ia menukar tenaga kinetik daripada tiupan angin kepada tenaga mekanikal bagi menghasilkan kuasa elektrik antara 250 hingga 660 kilowat.

Tenaga elektrik itu ada di antaranya dihantar terus ke kilang sekitar Manjil atau di simpan di stesen jana kuasa untuk disalurkan ke rumah penduduk bandar itu.

Penonton Ilmuwan Islam akan dibawa melihat kipas gergasi yang dikembangkan daripada teknologi kincir angin oleh saintis Eropah.

Hakikatnya, ciri asas kincir angin bermula di Iran dan diperkenalkan oleh dunia Islam ke Eropah.

Iran adalah negara pertama selepas masihi yang membangunkan teknologi kincir angin dan sejarah merakamkan ia bermula di wilayah Baluchistan, terletak di selatan Iran.

Pada kurun ke-7 masihi, teknologi kincir angin dari Iran dibawa masuk ke negara Arab.

Penerokaan mengenai ilmu kejuruteraan yang dipaparkan Ilmuwan Islam membuktikan kemampuan umat Islam membangunkan teknologi berasaskan alam sekitar dan menjadi permulaan kepada perkembangan teknologi terkini yang banyak memberi kebaikan kepada umat sejagat.

Ia juga sebagai isyarat bahawa kebijaksanaan memanfaatkan sumber alam tidak terbatas kepada sesuatu kaum atau umat, sebaliknya terletak kepada nilai ilmu mereka seperti dibuktikan kajian yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia memanfaatkan kuasa matahari.

No comments: