Sunday, January 20, 2008

Ulul Albab: Mewujud kedamaian antara Islam, Barat

Oleh Abdulrahman Haqqi

Bangsa maju perlu buang sikap menunjuk kuasa, memperakui hak kemanusiaan

DIALOG antara elemen masyarakat antarabangsa seperti Forum Perikatan Ketamadunan (AoC) di Madrid, Sepanyol, Isnin lalu sangat penting, kebelakangan ini. Menerusi dialog seperti itu, permasalahan berbangkit antara masyarakat antarabangsa lebih mudah diselesaikan daripada bergantung kepada kekerasan dan kekuasaan. Sepatutnya kekerasan dan kekuasaan pada hari ini ditiadakan dalam hubungan masyarakat dunia.

Forum yang dihadiri beberapa ketua negara serta 50 menteri luar, pemimpin politik, masyarakat serta agama termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Prof Ekmelleddin Ihsanoglu itu, diadakan untuk mencari jalan merapatkan jurang yang semakin membesar antara negara dan budaya di seluruh dunia serta mewujudkan perkongsian baru dalam menggalakkan persefahaman sejagat.

Perkara ini juga menjadi satu daripada sebab tema Religion: Politic of Peace and Conflict dipilih dalam Oxford Roundtable ke-20 yang akan diadakan pada 14 hingga 19 Julai di Oxford, United Kingdom di mana penulis dijemput untuk menghadirinya.

Seperti dilaporkan media massa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang hadir dalam forum berkenaan sebagai seorang daripada ahli panel berkata: "Masalah yang terus meracuni Afghanistan, Iraq, Bukit Golan, Lubnan dan Palestin adalah kesan sikap menunjuk kuasa dan penghinaan yang dirasai umat Islam adalah punca sebenar yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Barat."

Kesan sikap menunjuk kuasa menjadi punca masalah yang dihadapi umat manusia pada hari ini dan masa lalu bahkan ia telah menjadi sunnatullah dalam sejarah tamadun manusia. Sikap yang berpaksikan bisikan iblis untuk menjauhkan manusia dari jalan yang lurus yang ditetapkan Allah SWT. Dia berfirman maksudnya: "Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain daripada dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedari." (Surah al-An'am: 123)

Tuduhan, anggapan dan andaian yang tidak berasas Barat ke atas Islam dan umat Islam adalah punca berkekalan ketegangan antara mereka. Dan penyebab utama adalah 'kumpulan berpengaruh' di Barat yang sememangnya inginkan ketegangan berlanjutan agar mereka dengan agendanya sendiri kekal mencengkam umat manusia dengan mengabui mata agar melihat yang benar menjadi batil dan yang batil menjadi benar.

Perdana Menteri dalam forum di Andalusia, syurga dunia Islam yang hilang itu memberi contoh kumpulan berpengaruh di Barat mahu masyarakat Islam, ketika mereka membangun dan maju, mengasingkan agama daripada kemasyarakatan. Mereka ingin melihat umat Islam menganggap agama sebagai soal peribadi yang amat kurang berkaitan dengan negara atau masyarakat... Tidak mungkin umat Islam melihat agama sebagai hal peribadi.

Itulah yang dihadapi umat manusia pada hari ini sehingga masyarakat antarabangsa beranggapan bahawa punca ketegangan dunia adalah Islam dan umatnya. Sungguh suatu anggapan yang sangat hina seperti dikatakan Perdana Menteri dalam penyataan beliau "penghinaan yang dirasai umat Islam adalah punca sebenar yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Barat," yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dengan ikonnya, George W Bush.

Bagaimanapun, masih ada elemen masyarakat antarabangsa yang mempunyai fikiran waras. Eramuslim pada 13 Januari lalu melaporkan bahawa satu lagi tokoh yang meyakini bahawa peristiwa serangan 11 September di Amerika Syarikat (AS) adalah perbuatan perisikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika dan Mossad Israel. Keyakinannya itu berdasarkan kepada pendedahan sejumlah ejen perisikan pelbagai negara.

Dalam akhbar Corriera della Sera, Cossiaga mengatakan, meskipun Osama bin Laden mendakwa bertanggung jawab atas serangan itu, tetapi sekarang, semua ejen perisikan di Eropah dan AS meyakini bahawa serangan September Hitam adalah serangan dirancang CIA dan Mossad.

Serangan 11 September 2001, kata Cossiaga, bertujuan menjadikan negara Islam sebagai kambing hitam dan untuk mendapatkan sokongan menghancurkan Iraq dan Afghanistan.

Sejak peristiwa itu, Cossiaga menyatakan keraguannya bahawa serangan itu dilakukan oleh kelompok Islam. Pernyataan Cossiaga dikutip dalam buku Webster Tarpley yang bertajuk 9/11 Synthetic Terror Made in the USA, berbunyi: "Dalang di sebalik serangan itu sudah pasti seorang dalang yang canggih, yang memiliki pengaruh yang kuat, bukan hanya dalam merekrut sumber manusia yang fanatik yang mahu melakukan kamikaze, tetapi memiliki anggota yang mempunyai keahlian khusus." Beliau berkata, serangan 11 September tidak akan berjaya jika tidak berhasil menembus radar dan pihak berkuasa penerbangan.

Begitulah yang berlaku dalam sejarah pergulatan antara yang hak dan yang batil dalam mempengaruhi minda dan hati manusia. Yang hak hanya memerlukan keterbukaan hati manakala yang batil menggunakan semua cara untuk kepentingannya. Yang hak tidak pernah memaksa kehendaknya manakala yang batil paksaan adalah kekuatannya. Yang hak selalu menempuh jalan fitrah, suci dan mensucikan manakala yang batil selalu menempuh jalan najis yang kotor dan mengotori.

Dalam kisah kaum Tsamud, Nabi Salleh AS dan pengikutnya sebagai umat yang hak dianggap: "Mereka berkata: Kami berasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pingikutmu. Nabi Salleh berkata: "Perkara yang menyebabkan mujur dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dialah yang menentukannya, bukan aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)." (Surah al-Naml: 47)

Dalam kisah kaum Sodom, Nabi Lut AS dan pengikutnya sebagai umat yang hak diperlakukan: "Maka kaumnya tidak menjawab selain berkata: "Usirlah Lut dan pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwa dirinya bersih suci." (Surah al-Naml: 56)

Bahkan dalam kisah Nabi akhir zaman, Muhammad SAW pun kita mendapati pertembungan antara hak dan batil yang tidak kalah serunya dalam perkara andaian, anggapan dan tuduhan yang menjurus kepada fitnah. Al-Quran mengkisahkan maksudnya: "(Mereka bukan saja menyifatkan al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penya'ir." (Surah al-Anbiya: 5)

Dalam ayat lain dikisahkan maksudnya: "Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila." (Surah al-Hijr: 6)

Abu Jahal sebagai ikon dalam pertembungan antara Islam dan penduduk Makkah menjadikan seluruh hidupnya untuk memerangi Muhammad dan pengikutnya.

Abu Jahal yang berani mencuba untuk membunuh Nabi Muhammad dengan tangannya sendiri apabila dia melihat baginda sedang bersujud di hadapan Kaabah dan mahu menghempapnya dengan batu besar. Bagaimanapun, dia lupa bahawa Muhammad kekasih Allah SWT yang sudah pasti tidak akan dibiarkan binasa.

Abu Jahal yang bersungguh-sungguh untuk meneruskan peperangan Badar walaupun kafilah Abu Sufyan sudah terselamat daripada kepungan tentera Islam. Dia dengan cita-cita dan dendam kesumat ingin menumpaskan tentera Islam yang hanya 313 orang berbanding 1,000 bala tenteranya yang menyaksikan pihaknya tewas.

Dalam era Madinah, Baginda mengetuai sebuah kuasa politik yang setaraf dengan Makkah walaupun tidak belum setanding. Makkah tetap menjadi pusat penentangan terhadap Islam. Selepas kekalahan dalam Perang Badar, orang Quraisy bertekad untuk menebus kekalahan mereka dan membela kematian pemimpin dan sanak saudara mereka. Bagi mereka, Madinah dan Rasulullah SAW mesti dihapuskan buat selama-lamanya.

Namun demikian, selepas kegagalan demi kegagalan berlaku dalam percubaan melenyapkan Islam dan menghapuskan Rasulullah; akhirnya mereka terpaksa menerima Islam, Rasulullah dan pemerintahan Baginda di Madinah sebagai suatu realiti di mana di penghujung sejarahnya ketika itu semua memeluk agama Islam. Allah SWT berfirman maksudnya: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (ketika engkau berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia sangat-sangat menerima taubat." (Surah al-Nas: 1-3)

Kejayaan Rasulullah akan menjadi inspirasi kepada kita dalam berinteraksi dengan Barat yang dikuasai oleh 'kumpulan berpengaruh' di mana baik buruk hasil interaksi berkenaan terpulang kepada kumpulan ini. Jika baik maka baiklah hasilnya dan jika buruk maka buruklah hasilnya.

Dalam menangani keburukan hasil daripada peranan kumpulan berpengaruh ini, sesungguhnya kita tidak melupakan firman Allah yang maksudnya: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksanya." (Surah al-Anfal: 25). Jika kita tidak memantau gerak geri kumpulan berpengaruh dengan saksama, bukan hanya mereka yang menerima padahnya tetapi kita semua juga akan terkena tempiasnya. Wallahu a'lam.

No comments: