Sunday, January 13, 2008

Ulul Albab: Pemikiran hebat, berzikir mesti saling melengkapi

Oleh Abdurrahman Haqqi

Kemajuan tidak kekal lama jika meminggirkan agama

DI HADAPAN kita ada dua senario yang tidak ada senario ketiganya. Senario pertama berkaitan dengan zikir dan senario kedua berkaitan dengan fikir di mana zikir tanpa fikir tidak akan ke mana dan fikir tanpa zikir akan sesat dan membinasakan.

Apa yang paling disukai oleh sepasang kekasih ketika mereka sedang memadu kasih sayang sehingga kehidupan mereka terasa indah dan bermakna? Walaupun banyak jawapan yang mungkin kita dapati, cuba kita pusatkan jawapannya kepada saling mengingati. Seorang kekasih akan gembira dan senang hati jika mereka selalu mengingati dan diingati oleh kekasih mereka di mana dengan ingatan itu mereka akan berasa senang hati pula untuk meneruskan aktiviti kehidupan mereka dengan penuh himmah dan keceriaan. Inilah natijah konsep zikir dalam Islam. Ketika kita mencintai Allah, kita akan selalu mengingati-Nya dan ketika itu jualah yang kita ingati yakni Allah akan mengingati kita dan apabila Allah mengingati kita maka semua naungan dan pertolongan Allah akan kita peroleh. Allah SWT berfirman maksudnya: "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku mengingatimu." (Surah al-Baqarah: 152)

Apabila kita mencintai sesuatu maka kita akan selalu berfikir agar kecintaan kita itu selalu memberikan kebaikan kepada kita. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mengekalkan percintaan berkenaan. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mencari kepelbagaian agar percintaan itu akan selalu hidup dan berkembang. Inilah konsep fikir dalam Islam. Ketika kita mengharapkan keredaan Allah, kita akan selalu menggunakan akal fikiran bagaimana mendapatkan, menambahtumbuhkan dan mempelbagaikannya. Itulah hakikat yang kita simpulkan daripada 17 ayat al-Quran (sama dengan 17 raka'at yang kita lakukan sehari semalam untuk solat) yang menegaskan mengenai perkara tafakur atau fikir.

Dua senario di atas adalah sifat masyarakat ulul albab yang digariskan al-Quran dalam ayatnya yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah Ali 'Imran: 190-91)

Dalam ayat di atas perkataan yang digunakan adalah kata jamak bagi 'orang yang menyebut dan mengingati Allah'. Ini mengisyaratkan kepada kita bahawa ia adalah galakan secara kolektif dalam berzikir dan bertafakur walaupun pada asasnya ia ditujukan kepada individu.

Berzikir dalam pengertian terminologi dihadkan kepada ucapan lisan untuk menyebut dan mengingati Allah zikr al-lisan. Bagaimanapun, sebenarnya ia lebih luas daripada itu. Ia boleh menjadi zikr al-qalb atau zikir hati dan juga zikr al-jawarih atau zikir anggota badan. Pembahagian zikir seperti ini tersirat dalam ayat di atas pada kalimat "ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring".

Ketika kita mengucapkan dengan lisan lafaz 'la ilaha illallah' maka ia disebut zikr al-lisan. Ketika kita dalam hati menegaskan lafaz itu menjadi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, maka ia disebut zikr al-qalb. Dan akhirnya ketika kita menjelmakan menerusi anggota badan dalam beribadah, bermu'amalat, bermunakahah, dan perundangan yang hanya ditujukan kepada Allah semata-mata dan tidak dipesongkan kepada tuhan lain, maka ia disebut zikr al-jawarih.

Agar zikir kita sempurna maka ketiga-tiga perkara di atas mestilah ada dan diambil kira, maka fadilat zikir bagi individu dan masyarakat yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya akan dinikmati.

Al-Quran menegaskan bahawa dengan zikir, hati kita akan tenteram dan damai dalam ayatnya bermaksud: "(iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'du: 28)

Dengan berzikir maka kita sedang menumbuhkembangkan keimanan kita. Nabi bersabda maksudnya: "Nyanyian dan permainan hiburan yang melalaikan menumbuhkan kemunafikan dalam hati, bagaikan air menumbuhkan rumput. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran dan zikir menumbuhkan keimanan dalam hati sebagaimana air menumbuhkan rumput." (Hadis riwayat al-Dailami)

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa berzikir adalah satu proses penyembuhan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan maksudnya: 'Menyebut-nyebut Allah adalah suatu penyembuhan dan menyebut-nyebut mengenai manusia adalah suatu penyakit (penyakit akhlak).'

Bahkan ditegaskan dalam sebuah hadis bahawa perbezaan orang yang hidup dan yang mati adalah zikir. Sabda Junjungan seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim maksudnya: 'Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati.'

Justeru, zikir adalah penyelamat manusia daripada seksa neraka jahanam seperti yang terkandung dalam hadis bermaksud: 'Tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya daripada azab Allah selain zikrullah.' (Hadis riwayat Ahmad)

Jika kita secara sepintas memerhati ucapan 'Tuhanku, semakin Aku berilmu semakin bertambah kejahilanku, tambahkanlah kejahilan kepadaku,' sudah tentu kita akan terperanjat kerana ia bertentangan dengan doa yang selalu kita baca, rabbi zidni 'ilman atau Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. Tapi jika kita perhatikan ucapan berkenaan dengan saksama maka kedua-duanya tidak berbeza dari segi isinya walaupun bahasanya memang berbeza. Inilah hasil daripada proses berfikir yang dilakukan akal manusia.

Ada 17 ayat al-Quran yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan yatafakkarun al-Quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Semua yang manusia ciptakan sejak Nabi Adam hingga ke hari ini bahkan sampai kiamat kelak adalah hasil daripada penggunaan fikiran manusia.

Dengan adanya fikiran dan menggunakannya maka seorang manusia itu disahkan hidup. Dengan meminjam ada yang ditemui bapa falsafah sains moden Rene Descartes (1596-1650) dalam Cogito ergo sum atau 'aku berfikir maka aku wujud, hidup', kita boleh menggunakannya dalam membentuk masyarakat yang makmur, bukan yang membinasakan.

Descartes adalah seorang ahli matematik yang berupaya membangun falsafah seperti konstruksi matematik. Oleh itu, dia memulakannya dengan suatu keraguan dan melanjutkannya dengan metod matematik. Dengan ini, terbentuklah suatu falsafah baru. Dia memulakan dengan langkah seorang skeptis dan keluar daripada keraguan sebagaimana yang dilakukan oleh Augustine. (A Kamil 'Meragukan Kesangsian Dsecartes')

Dengan metod pemikiran di ataslah, tamadun Barat secara amnya dibangunkan hari ini. Sayangnya mereka mengetepikan senario zikir sehingga apa yang terjadi sekarang adalah penciptaan permusuhan di kalangan masyarakat dunia yang mana yang ada pada diri mereka adalah siapa bersama kami adalah teman kami dan siapa yang menentang kami adalah musuh kami.

Masyarakat dunia sememangnya memikirkan kemakmuran manusia tapi tidak berpandukan zikir oleh itu mereka sesat dan menyesatkan. Sebagai contoh, mereka pada tahun 1980-an telah menghamburkan wang sebanyak AS$4,000 bilion untuk membangunkan projek pembunuh mereka sendiri yang bernama senjata nuklear sejak Perang Dunia Kedua. Senjata nuklear berkenaan cukup untuk membunuh AS$58 bilion orang yakni 12 kali ganda jumlah penduduk dunia waktu itu. Dan pada saat itu, biaya yang dikeluarkan untuk seorang tentera adalah AS$25,000 manakala untuk pendidikan hanya AS$450. Untuk operasi kapal induk Amerika Syarikat diperlukan biaya AS$550,000 sehari manakala 14,000 orang mati kebuluran di Afrika. (Laporan dibuat oleh bekas pegawai Perlucutan dan Pengawasan AS, Ruth Sivard dalam 'Pengeluaran sosial dan ketenteraan dunia 1985') Inilah akibat daripada fikiran manusia yang tidak berlandaskan zikir.

Berfikir dalam ajaran Islam lebih baik daripada ibadah seperti dalam hadis tafakur sa'ah khairun min 'ibadah sanah atau berfikir sejenak adalah lebih baik daripada setahun ibadah. Oleh itu, orang yang berfikir mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Mereka selalu dimotivasi dalam al-Quran dengan seruan untuk berfikir kerana dengan berfikir maka ilmu pengetahuan diperoleh. Dengan ilmu pengetahuan yang semakin tinggi sebagai hasil daripada proses pemikiran maka ia menjadi penimbang aras tamadun dan budaya yang mencakupi aktiviti berfikir, berperasaan dan berkemahuan. Pada tahap ini, kegiatan berfikir (tafakur), pengajian (mutala'ah) dan penyelidikan (tadabbur) semakin subur yang ditujukan untuk usaha pemenuhan keperluan material mahupun spiritual.

Dalam memperingati Maal Hijrah 1429 sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk selalu berzikir dan berfikir demi mencapai kemakmuran bukan untuk memporak perandakan bangunan yang sudah kita bina dengan megah dan indah. Kita mesti kembali kepada ajaran al-Quran yang menggariskan masyarakat ulul albab yang mempunyai sifat zikir dan fikir.

Akhirnya, menerusi zikir dan fikir yang diterapkan dalam masyarakat maka kita akan memperoleh apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita. Allah berfirman maksudnya: "Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya: 'Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan'. (Surah Ali 'Imran: 195) Wallahu a'lam.

No comments: