Sunday, January 13, 2008

Iman, akhlak terpuji perkukuh ikatan hidup bermasyarakat

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISLAM diutuskan ke alam semesta untuk membentuk umat yang bersatu, bertoleransi dan saling bergandingan untuk meneruskan kehidupan ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat. Sebab itu, salah satu misi utama Rasulullah sebaik saja Baginda menjejakkan kaki di Madinah ialah mempersaudarakan golongan Ansar di Madinah dengan Muhajirin dari Makkah yang amat memerlukan perlindungan dan bantuan selepas mereka berhijrah.

Sejurus selepas menubuhkan sebuah negara Islam di Madinah, Baginda merangka Piagam Madinah dengan matlamat mencipta keharmonian politik dengan kesejahteraan hidup bermasyarakat majmuk. Masyarakat Madinah adalah contoh terbaik mengenai kerukunan hidup bernegara. Piagam Madinah bertindak sebagai medium menyatukan pelbagai golongan, ras, suku dan agama sebagai sebuah masyarakat majmuk yang harmoni sepanjang sejarah.

Dalam konteks ini, Islam memainkan peranan penting dalam membangunkan peradaban terbilang seperti dibuktikan generasi Rasulullah dan sahabat. Iman, amal dan akhlak adalah ramuan utama melonjakkan generasi terdahulu ke arah kegemilangan dan kesejahteraan hidup.

Iman aset terpenting untuk menumbuhkan kesedaran beragama dan berakhlak dalam realiti kehidupan. Keyakinan kepada Allah mencetuskan keinsafan dalam jiwa seseorang Muslim. Iman menciptakan kedamaian dan ketenteraman jiwa. Dengan cara itu, Muslim akan lebih mendalam penghayatannya terhadap Islam di samping lebih luhur keperibadiannya yang kemudian berupaya membangun masyarakat harmoni.

Muslim yang mantap imannya dan terpuji akhlaknya pantang berbuat sesuatu yang mengeruhkan keharmonian masyarakatnya. Sedangkan amalan jenayah, rasuah dan sikap prejudis di dalam sesuatu masyarakat berpunca daripada ketiadaan iman yang mapan.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan. (Surah al-A’raf, ayat 96)

Maksud ayat suci di atas secara umum menegaskan bahawa tegaknya sesebuah peradaban kerana tonggak iman, amal dan akhlaknya bertapak kukuh dalam kehidupannya. Sebaliknya hancurnya sesebuah peradaban kerana masyarakatnya menghadapi krisis iman, amal dan akhlak.

Dalam konteks yang lebih luas, Islam adalah al-Din yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah, maka Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya. Sedangkan Islam ialah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam seperti firman Allah dalam surah al-Anbia, ayat 107 maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.”

Rasulullah adalah teladan dan contoh terbaik sehingga berjaya mencipta masyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa iaitu Islam, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin untuk hidup bersatu di bawah naungan pemerintahan Baginda. Perbezaan akidah tidak menyebabkan permusuhan antara kaum, sebaliknya mereka saling bekerjasama membangunkan Madinah ketika itu.

Ini selaras firman Allah dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Islam tidak melarang umatnya daripada mengadakan hubungan diplomasi dengan kaum lain dalam perkara yang membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia sejagat asalkan mereka bukan daripada orang yang memusuhi Islam. Di samping itu, Islam memerintahkan umatnya supaya menonjolkan akhlak terpuji dan terbaik kepada kaum lain supaya dapat diserlahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi di samping dapat membuka pintu hati orang bukan Islam mengenai keindahan dan kesejahteraan Islam itu sendiri.

Ini tidak bermakna bahawa Islam memerintahkan umatnya supaya memaksa seluruh warga manusia agar menganut Islam dalam kehidupan mereka, sedangkan Allah menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam Islam seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 256 maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

Pengertian ayat suci itu menjelaskan bahawa antara asas Islam ialah tidak adanya paksaan. Yang perlu ialah memberikan penerangan dan dakwah i dengan cara baik dan bijaksana serta dengan contoh amalan baik menurut ajaran Islam sebenarnya.

Inilah rahsia sebenar kejayaan generasi Rasulullah dan selepasnya dalam membentuk masyarakat majmuk yang bermuafakat. Lebih-lebih lagi pada era globalisasi yang sedikit sebanyak mencabar umat Islam untuk bersama-sama dengan umat manusia lain bekerja keras untuk mencipta kesatuan yang utuh dan juga kecemerlangan dalam pelbagai bidang hidup.

No comments: