Thursday, January 17, 2008

Personaliti: Prinsip kongsi rezeki dorong kejayaan

Oleh Hasliza Hassan

Syed Mokhtar Albukhary guna nikmat Tuhan untuk faedah orang ramai timba ilmu

DENGAN hanya satu soalan iaitu bagaimana begitu prihatin dengan amalan perniagaan dan kebajikan, maka terbongkarlah rahsia tokoh perniagaan terkenal dengan imej dermawan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang dipilih Tokoh Maal Hijrah 1429, baru-baru ini.

Persoalan mengenai siapa sebenarnya Syed Mokhtar yang begitu berahsia orangnya kerana jarang mahu ditemu ramah mengenai hal peribadi, akhirnya didedahkan pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), minggu lalu.

Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tidak pernah cerita mengenai kisah saya secara terbuka, tetapi hari ini Datuk (sambil merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin) bagi semangat pada saya," katanya sambil ketawa kepada pihak media yang sabar menanti kira-kira 45 minit di Bilik Sidang Media PICC untuk menemu ramah beliau.

Menurut anak kelahiran Alor Star, Kedah itu, jiwa dermawan dalam dirinya dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat.

Menceritakan mengenai latar belakang dirinya, Syed Mokhtar berkata, kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960-an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970-an selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20-an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970-an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu.

Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, tiada bantahan daripada Syed Mokhtar.

"Masa saya bawa balik pendapatan pertama, ibu saya beritahu RM750 kita guna untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibu saya untuk beri orang yang kurang kemampuan.

"Dari situ jiwa sudah dibendung ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan saya diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini saya masih beri kepada 15 keluarga berkenaan.

"Kawan saya, Syed Abdullah yang ditugaskan menghantar wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Malah, lori dan syarikat beras saya masih beroperasi di Kedah," katanya.

Beralih babak seterusnya, Syed Mokhtar membuka rahsia yang pasti mengejutkan umum apabila memberitahu beliau sempat tamat pendidikan Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.

Namun, semangat menimba pengetahuan tetap subur dalam jiwanya dan semangat itulah yang mendorong beliau menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat, malah Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996.

Matlamat penubuhan yayasan itu memenuhi aspirasi orang tua, terutama ibunya yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri, malah bagi membangun ummah serta membantu golongan tidak berkemampuan.

"Saya tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, tetapi saya diberi peluang dalam bidang perniagaan. Saya fikir, jika saya tidak berpeluang, saya perlu beri peluang itu kepada orang yang tidak ada kemampuan. Daripada situ saya beri budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.

"Kita gajikan cikgu satu jam RM40 untuk ajar budak ini dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Syukur, pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran," katanya.

Kecintaan Syed Mokhtar dalam menimba ilmu jelas sekali apabila beliau turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.

Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.

Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Malah, beliau mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.

"Saya dapat banyak bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan saya dapat rezeki. Saya ikut nasihat ibu, setengah kena bagi balik. Daripada situ dapat keinsafan.

"Keinsafan itu juga mendorong saya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa," katanya.

Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah. Katanya, semua yang dilakukan bukan saja-saja, tetapi demi membantu mereka yang memerlukan.

Bertindak daripada gerak hati juga katanya, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.

Hartawan berusia 57 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.

Apa yang diyakininya, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Justeru, katanya, untuk soalan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.

"Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.

"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung.

"Itulah sedikit sebanyak kisah saya yang tidak pernah diceritakan sebelum ini. Cuma saya nak betulkan sikit, ketika dibaca mengenai diri ketika pengumuman Tokoh Maal Hijrah 1429 Hijrah, tinggi saya dikatakan enam kaki tiga inci. Buang tiga inci kerana tinggi saya enam kaki saja," katanya ketawa ketika mengakhiri bicara dan disambut tepukan pihak media.

PROFIL

NAMA: Syed Mokhtar Albukhary Syed Nor AlBukhary
LAHIR: 1951
ASAL: Alor Star, Kedah
ISTERI: Puan Seri Sharifah Zarah Albukhary
ANAK: Empat (dua lelaki dan dua perempuan)

PEMBABITAN PERNIAGAAN

1971: Memulakan perniagaan daging di Alor Star, Kedah.

1973: Menceburi perniagaan pengangkutan.

1974: Membeli kedai pertama di Jalan Telok Wan Jah, Alor Star.

1975: Mengasaskan Shah Enterprise dan memohon lesen Lembaga Padi dan Beras Negara.

1976: Memulakan operasi di Jalan Telok Wan Jah.

1977: Menubuhkan syarikat pertama di luar Kedah - Bukhary (KL) Sdn Bhd.

1978: Menyertai delegasi Pernas ke Pesta Perdagangan Canton, China.

1990: Memulakan perniagaan beras di Johor.

1996: Menubuhkan Yayasan Albukhary.

No comments: