Tuesday, January 15, 2008

Ufuk Minda: Isyarat dari langit dedah fenomena alam

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PERKHABARAN dari langit bermaksud wahyu diturunkan menerusi malaikat kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada manusia. Allah berlaku adil kepada manusia kerana tanpa perkhabaran dari langit manusia akan tercari-cari petunjuk mengenai alam, ciptaan-Nya dan kehidupan manusia.

Perkhabaran dari langit tidak saja membawa kisah Nabi dan manusia terdahulu untuk dijadikan ibrah atau iktibar, tetapi terkandung prinsip, peraturan, suruhan dan cegahan kepada manusia.

Allah memberitahu manusia mengenai batasan dan potensi manusia. Perkhabaran dari langit bermaksud membimbing manusia menjadi hamba dan khalifah yang memahami peranan dalam mengurus diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam.

Perkhabaran dari langit (al-Quran) juga memberikan pedoman dan petunjuk manusia mengenai sains. Aspek mengenai astronomi, fizik, geografi, geologi, biologi, lautan, perubatan, fiziologi, embriologi dan sains umum dinyatakan melalui isyarat dan pedoman.

Apabila manusia menjadikan perkhabaran dari langit sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupan di bumi, ia membayangkan kedekatan hubungan manusia dengan Allah sebagai pencipta dan pengurus alam ini dan seluruh isinya. Darinya petunjuk dan kebenaran dari Allah dilihat, kekuasaan daripada Allah dirasakan dan ketentuan-Nya dinikmati dan dilalui.

Dalam bidang ilmu fizik, sejak 23 abad lalu seorang saintis Greek, Democritus membina teori mengenai atom iaitu partikel yang paling kecil sekali.

Ia juga pandangan saintis Arab mengenai dharrah. Tidak ada partikel lain sekecil atom. Tetapi al-Quran menolak teori atom dengan menyatakan partikel sekecil atom pun boleh terpecah dua.

Dalam Surah Saba' , ayat 3 menyebut, "Tidak ada tersembunyi daripada-Nya seberat zarah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada yang lebih kecil daripada itu dan yang lebih besar, melainkan dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuzh)". Allah mengetahui semua benda, yang tersembunyi apa lagi yang nyata, lebih kecil daripada atom atau lebih besar daripadanya. Kajian saintifik terkini menunjukkan ada yang lebih kecil daripada atom boleh wujud.

Dalam bidang geografi al-Quran memberikan beberapa perisyaratan menarik mengenai air. Dalam Surah Ar Rum, ayat 24, Allah memberi perisyaratan mengenai hujan. "Dia menurunkan hujan dari langit lalu menghidupkan bumi dengan air itu selepas matinya. Sesungguhnya benar-benar ada tanda bagi kaum yang menggunakan akalnya". Perisyaratan al-Quran didapati tepat dengan data terkini khususnya berkaitan ilmu hidrologi atau pun air.

Bidang geologi atau kaji bumi juga bidang disentuh oleh al-Quran. Dalam surah an Nabaa', ayat 6-7 Allah menyatakan dengan jelas, "Bukankah Kami menjadikan bumi sebagai hamparan. Dan gunung-ganang sebagai pasak?". Maksud awtad atau pasak memberi makna saintifik bahawa gunung ganang memberi asas keseimbangan bumi. Seorang saintis Barat bernama Frank Press menyatakan bahawa gunung-ganang memainkan peranan untuk menstabilkan bumi.

Ilmu biologi juga menjadi sentuhan al-Quran. Dalam Surah Al Anbiyaa' (Nabi-nabi) ayat 30, Allah berfirman , "Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Dan mengapakah mereka tidak juga beriman?"

Kajian saintifik menunjukkan sitoplasme, asas kepada sumber sel di bentuk 80 peratus air. Penyelidikan moden menyebutkan kebanyakan organisme mengandungi 50 peratus ke 90 peratus air dan setiap benda yang hidup memerlukan air untuk hidup dan wujud.

Ilmu botani atau kajian tumbuhan berkait juga dengan perisyaratan daripada Allah. Dalam Surah Taahaa , ayat 53 Allah memberi perisyaratan, "Maka kami tumbuhkan daripada air hujan itu berjenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam".

Malah dalam Surah Ar Ra'd (Guruh) ayat 3, Allah berfirman, "Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan". Yang dimaksudkan 'berpasang-pasangan' ialah jantan dan betina, pahit dan manis, putih dan hitam, kecil dan besar dan sebagainya.

Dalam Surah Yasin, ayat 36, Allah menyatakan, "Maha Suci Allah yang menciptakan pasangan semuanya, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa yang mereka tidak ketahui".

Perisyaratan daripada Allah ini terkandung sesuatu yang logik dan saintifik. Bagi manusia yang mempunyai daya renung yang tinggi akan timbul keinsafan bagaimana perkhabaran daripada langit iaitu wahyu memberikan kunci kepada manusia mengenai alam kejadian termasuk manusia.

Keupayaan akal manusia dan pancaindera adalah terbatas. Akal yang membolehkan manusia hanya alat yang terbatas fungsinya. Sedangkan alam luas tidak terbatas sifatnya. Jangkauan fikir dan kaji selidik hanya mengetahui perkara asas bagi membolehkan kehidupan berlaku.

Menerima perkhabaran dari langit sebagai sesuatu yang diimani adalah penting terutama bagi manusia di bumi.

Akal yang dijadikan alat dipandu oleh perkhabaran dari langit bakal menjadikan penerokaan manusia mengenai alam dan Penciptanya menjadi lebih baik dan sempurna.

Kalau tidak manusia tidak dapat memahami maksud sesuatu yang nyata dan maksud sesuatu yang ghaib.

Al-Quran sebagai kunci pedoman manusia memahami alam nyata dan alam ghaib adalah penting bagi manusia kerana darinya terdapat petunjuk saintifik memahami alam, angkasa lepas, bumi dan manusia dan maksud sebenar manusia di ciptakan dan maksud sebenar rahmah dan nikmah dilimpahkan.

No comments: