Monday, January 21, 2008

Islam Hadhari ramuan pacu gemilang

Oleh Ghafani Awang Teh

Peningkatan ekonomi, pendidikan berkualiti paksi kecemerlangan ummah, negara

ISLAM sebenarnya agama yang cemerlang dan gemilang. Ini adalah berdasarkan sejarah perjuangan rasul silih berganti yang menyeru manusia menjadi insan cemerlang dan salih berlandaskan piawaian ditetapkan Allah SWT.

Kitab suci al-Quran yang menjadi rukun iman kepada orang Islam juga hebat. Dasar pengajaran kitab suci daripada Rasul terdahulu seperti kitab Zabur Nabi Daud, Taurat Nabi Musa, Injil Nabi Isa, dan Suhuf Nabi Ibrahim diteruskan dalam al-Quran mengikut keperluan dan kesesuaian umat zamannya.

Allah memberi peringatan bahawa umat berilmu mempunyai kelebihan darjat daripada mereka yang tidak berilmu (az-Zumar: 9), manusia adalah sebaik-baik kejadian (at-Tin: 4), umat Islam adalah umat yang terbaik ( Ali-Imran : 103), Islam adalah agama membawa rahmat kepada manusia (al-Anbiya':107), umat Islam hendaklah menjadi teladan kepada umat yang lain (al-Ahzab:21).

Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir berjaya membentuk ummah yang cemerlang dan salih. Permulaan baik yang diasaskan Rasulullah itu diteruskan pula oleh Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Umaiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan Kerajaan Othmaniah Turki sehingga mencapai zaman ketamadunan Islam yang cemerlang dan gemilang.

Bagaimanapun, selepas itu pengaruh negara Islam kepada ekonomi dan politik dunia terus merosot. Negara Islam gagal mempertahankan hak dan mencipta semula kegemilangan ummah seperti dituntut ajaran Islam.

Berdasarkan pemerhatian pencapaian negara maju, ternyata wujud kaitan yang kuat bahawa kejayaan dalam ekonomi dan pendidikan akan meningkatkan kegemilangan sesebuah negara.

Kajian Goldman Sachs Group iaitu syarikat perunding kewangan terkenal dunia, pada 2003 menyenaraikan 20 negara menguasai ekonomi dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

KDNK secara mudah adalah kaedah pengukuran nilai pengeluaran, perbelanjaan dan pendapatan penduduk sesebuah negara dalam tempoh tertentu. Dalam penyenaraian ini, tujuh negara atau kumpulan tujuh negara maju menduduki tangga teratas terkaya iaitu Amerika Syarikat (AS$11.7 trilion), diikuti Jepun (AS$4.4 trilion), China (AS$1.7 trilion), Britain (AS$1.7 trilion), Perancis (AS$1.5 trilion), dan Itali (AS$1.2 trilion).

Antara negara Asia lain yang termasuk dalam kumpulan 20 negara itu ialah India, Korea Selatan dan Taiwan. Menurut Goldman Sach, dalam tempoh 50 tahun akan datang, tujuh negara terkaya itu akan terus mengekalkan kesinambungan menguasai ekonomi dunia yang diramalkan China akan menjadi saingan terbesar kepada Amerika Syarikat dan Jepun.

Sebagai perbandingan kita lihat pencapaian Malaysia. Menurut Wikipedia yang memetik beberapa sumber, KDNK Malaysia bagi 2005 ialah bernilai AS$290 bilion iaitu menduduki tangga ke-34 di dunia. Bagaimanapun, pencapaian Malaysia dianggap terbaik di kalangan negara Islam dibandingkan sebahagian negara lain.

Berdasarkan statistik penguasaan ekonomi dunia itu jelas menunjukkan tidak ada negara Islam dikelompokkan dalam senarai 20 negara terbaik ekonomi. Negara yang menguasai ekonomi dunia bererti mereka menguasai pertumbuhan perdagangan, perusahaan, pertanian, telekomunikasi, sains teknologi, pendidikan, pertahanan dan sebagainya.

Wujud kaitan yang kuat bahawa kehebatan pendidikan mempengaruhi kegemilangan ummah. Badan penarafan universiti antarabangsa iaitu Times Higher Education Supplement (THES) pada 2005 dan 2006, menyenaraikan 200 universiti terbaik dunia.

Dalam penarafan universiti itu, sekali lagi menunjukkan tidak ada universiti dari negara Islam dikelompokkan dalam 200 universiti terbaik dunia.

Sudah menjadi lumrah dunia moden hari ini bahawa negara yang menguasai ekonomi dunia menjadi negara berpengaruh dan berwibawa menentukan hala tuju iklim politik dunia. Kita boleh melihat bagaimana sebarang keputusan Kumpulan Tujuh negara kaya mengenai ekonomi menjadi rujukan penganalisis ekonomi untuk meramalkan prestasi masa depan ekonomi antarabangsa.

Berdasarkan statistik ekonomi dunia dan pendidikan, jelas menunjukkan prestasi negara Islam dalam perlumbaan menguasai ekonomi dan pendidikan ketinggalan jauh berbanding negara maju. Ini jelas melambangkan negara Islam tidak mampu bersaing mencapai kecemerlangan seperti diharapkan dalam al-Quran.

Umat Islam gagal membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah umat terbaik dunia, umat yang tinggi darjat, menjadi umat contoh, pembawa rahmat kepada manusia sejagat. Inilah cabaran dan ujian berat umat Islam untuk merealisasikan ajaran Islam.

Sebagai renungan, kita perhatikan peringatan Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersiap sedialah kamu dengan kekuatan yang mampu dan dengan kekuatan berkuda (mekanisma canggih). Dengannya kamu menghancurkan musuh Allah dan musuh kamu," ( al-Anfal: 60).

Persoalan besar timbul apakah kita sudah membuat perancangan dan persiapan rapi untuk melaksanakan peringatan Allah itu.

Dalam usaha meningkatkan persaingan ummah pada peringkat tempatan dan antarabangsa, maka kerajaan sudah mengenal pasti beberapa bidang yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan. Bidang itu ialah mewujudkan ummah yang beriman dan bertaqwa, keutuhan budaya dan moral, kerajaan adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, membela hak kumpulan minoriti dan wanita, menguasai ekonomi, menguasai ilmu pengetahuan, mewujudkan kehidupan berkualiti, mewujudkan alam semula jadi yang baik dan menguasai pertahanan.

Bidang inilah yang dinamakan pendekatan Islam Hadhari sebagai ikhtiar dan ijtihad kerajaan untuk membangunkan kekuatan ummah. Sepuluh pendekatan Islam Hadhari yang ada sekarang bukanlah kekal selama-lamanya.

Kita yakin pada masa akan datang pendekatan Islam Hadhari ini mungkin ditambah dan diubah suai bagi memenuhi keperluan perubahan dunia dan masyarakat.

Bagaimanapun, ada pihak tertentu di negara ini mempertikaikan pendekatan Islam Hadhari, malah menganggapnya ajaran baru dan sesat. Kita percaya mereka yang mengkritik pendekatan Islam Hadhari adalah mereka yang tidak celik akal mengenai kelemahan umat Islam untuk bersaing pada peringkat tempatan, apatah lagi pada peringkat antarabangsa.

Apa yang nyata, pendekatan Islam Hadhari adalah langkah positif. Pendekatan Islam Hadhari bertindak sebagai ramuan dan pemacu untuk mempertahankan dan meraih semula kegemilangan ummah.

Bagaimanapun kejayaan besar pendekatan Islam Hadhari berkait rapat dengan keikhlasan, kesepakatan dalam perancangan, kesungguhan dalam pelaksanaan, serta pembabitan menyeluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Penulis ialah panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: