Thursday, January 17, 2008

Jadikan taubat agenda utama tahun baru hijrah 1429

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

DALAM kemeriahan kita menyambut tahun baru hijrah 1429 dengan pelbagai azam dan cita-cita baru, kita tidak patut melupai apa yang dilalui sebelum ini. Sebagai seorang Muslim kita perlu muhasabah diri terutama sepanjang tahun lalu apakah titik hitam berupa noda dan dosa yang pernah dilakukan.

Sekurang-kurangnya hal seperti itu tidak berulang pada tahun baru ini. Kerana dosa itu menyebabkan penderitaan berkekalan terutama di akhirat. Islam adalah agama yang penuh kerahmatan kerana ia milik Allah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pengampun.

Justeru, Islam sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang terlanjur menderhakaiNya. Allah berfirman maksudnya: "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang yang beriman supaya kamu beruntung"( Surah al-Nur, ayat 31).

Anas bin Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: "Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak ada dosa" ( Hadis Riwayat Ibn Majah). Kemudian Rasulullah membaca firman Allah bermaksud": Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang menyucikan diri "(Surah al-Baqarah, ayat 222). Lalu baginda ditanya: apakah itu taubat ? Jawab baginda: "penyesalan".

Taubat adalah wajib sepanjang masa, kerana manusia tidak terlepas daripada maksiat, sekiranya ia terlepas daripada maksiat melalui anggota, ia tidak terlepas daripada angan-angan hendak berbuat dosa dengan hati.

Sekalipun ia terlepas daripada semua itu, ia tidak hilang daripada was-was dan rayuan syaitan sehingga lalai daripada mengingati Allah atau zikrullah.

Demikianlah kekurangan dan kelemahan manusia. Justeru, Islam sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk umatnya bertaubat walau sebesar mana dosanya.

Sabda Rasulullah maksudnya: "Sekiranya kamu melakukan kesalahan sehingga tinggi melangit sekalipun, kemudian kamu bertaubat, pasti Allah menerima taubatmu" (Hadis Riwayat Ibn Majah daripada Abu Hurairah).

Saidina Umar r.a berkata: "Dampingilah orang yang suka bertaubat kerana mereka orang yang berjiwa halus".

Seorang yang bertaubat sebaiknya melakukan kebaikan sebagai ganti kepada kejahatan yang dilakukan supaya dengan itu dapat menghapuskan kejahatannya. Kebaikan itu boleh berlaku dalam bentuk hati, lidah dan anggota mengikut keadaan kejahatan dilakukan.

Kalau dengan hati ialah kita berasa hina dan rendah diri terhadap Allah, maka dengan lidah, kita mengakui kejahatan dilakukan dan terus beristighfar kepada Allah seumpama dia berkata: "Hai Tuhanku, aku menzalimi diriku, ampun dosaku".

Rasulullah mengajar kita bertaubat dalam sabdanya bermaksud: "Mana-mana orang yang melakukan satu dosa, lalu dia berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia melakukan solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah, pasti Allah mengampunkan dosanya" (Hadis Riwayat al-Tayalisi dalam Musnadnya).

Sesungguhnya dosa yang dilakukan memberi kesan buruk kepada hati kita sebagai Mukmin.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila dia melakukan satu dosa, terbentuklah satu titik hitam di hatinya, jika dia meninggalkannya dan bertaubat, bersinar kembali hatinya. Jika dia menambah lagi dosanya akan menebal titik hitam di hatinya.

Apakah hakikat taubat sebenarnya? Taubat ialah penyesalan terhadap apa yang dilakukan pada masa lalu, dan meninggalkannya serta-merta dan bertekad kuat untuk tidak mengulanginya lagi pada masa mendatang.

Marilah kita menjadikan taubat sebagai agenda utama kita sempena menyambut tahun baru Islam kita pada tahun ini. Semoga kita dapat membuka lembaran hidup baru dan bersih daripada noda dan dosa.

No comments: