Saturday, January 26, 2008

Perbincangan agama elak salah faham penganut

KEPERLUAN dialog antara agama hari ini dikaitkan dengan corak kehidupan manusia yang lebih pluralistik akibat arus globalisasi kerana kebanyakan negara didiami masyarakat pelbagai dan sebahagian besar mengamalkan demokrasi yang menonjolkan hak asasi beragama.

Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohd Farid Mohd Sharan berkata, kebebasan beragama memerlukan interaksi di kalangan penduduk berbilang agama.

Beliau berkata, timbulnya masalah baru seperti ekstremisme agama serta sesetengah pihak yang bertindak atas nama agama menyebabkan berlaku salah faham yang mendatangkan kesan buruk kepada hubungan antara agama.

Justeru, dialog sama ada pada peringkat dalaman antara penganut agama dan dengan agama lain perlu untuk menjelaskan kedudukan sebenar kefahaman agama bagi mengelak salah faham atau tuduhan tidak berasa yang dilontar terhadap agama itu sendiri.

“Walaupun faktor yang membawa kepada tindakan oleh sesetengah penganut agama itu dapat difahami, tetapi ia memberi kesan buruk kepada hubungan antara agama dan perkara itu hanya dapat dijernihkan menerusi dialog di mana perkara sebenar dapat dijelaskan.

“Dialog seperti ini mungkin bukan cerminan bentuk interaksi antara agama yang berlaku dalam sejarah dan tamadun lalu, tetapi ia adalah keperluan semasa yang tidak dapat dinafikan kepentingannya,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Dialog Antara Agama dan Peradaban: Perspektif Agama dan Tamadun berkata, dalam konteks Malaysia, isu mengenai pentadbiran agama dan pelaksanaan undang-undang memberi kesan terhadap agama seperti pembinaan kuil, sistem Mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah.

Katanya, perkara itu memerlukan tindakan proaktif daripada kelompok agama untuk duduk berbincang dan menawarkan penyelesaian terhadap masalah itu dengan cara bijaksana bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terjamin.

Dr Mohd Farid berkata, dialog antara agama boleh berlaku dalam dua peringkat iaitu peringkat lebih khusus dengan tujuan menjelaskan kebenaran agama masing-masing bagi mengelak salah faham daripada penganut agama lain.

Katanya, asas kepada dialog khusus ialah untuk menjalin persefahaman dengan menjelaskan lebih lanjut mengenai kepercayaan serta kefahaman agama masing-masing bukan bertujuan mengubah doktrin agama.

Pada peringkat itu, dialog perlu diwakili ilmuwan yang berwibawa daripada pihak yang menyertainya dan oleh mereka yang benar-benar arif serta faham akan tajuk perbincangan.

Peringkat kedua, dialog yang menumpukan terhadap penyelesaian masalah semasa yang berkait dengan urusan pentadbiran agama dan masalah agama yang mana tujuannya untuk menjamin kelangsungan keharmonian serta kehidupan bersama.

Selalunya, masalah yang timbul memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup bermasyarakat termasuk membincangkan masalah yang dihadapi setiap agama supaya dapat mencari titik persefahaman bagi mengatasi masalah itu.

Dr Mohd Farid berkata, walaupun dialog antara agama dapat membantu terutama dalam menyelesaikan masalah membabitkan salah faham dan mengatasi masalah dihadapi setiap agama secara bersama, ia perlu dilaksanakan dengan bijak.

Beliau berkata, dalam keghairahan mengadakan dialog antara agama, ada perkara yang perlu dielakkan antaranya, kecenderungan untuk menyamakan kebenaran antara agama dengan fahaman pluralisme agama.

“Kita tidak menentang pluralisme agama jika ia bermaksud kehidupan bersama pelbagai penganut agama dalam satu wilayah untuk hidup dalam satu harmoni. Malah, keterbukaan itu sudah wujud dalam Islam sejak dulu.

“Pluralisme yang ditolak ialah kefahaman bahawa semua agama sama dari aspek kebenaran dan tidak ada agama boleh mendakwa kebenaran lebih daripada agama lain. Sebaliknya, prinsip harus dipegang seperti dianjurkan al-Quran, bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku,” katanya.

Katanya, satu lagi perkara yang perlu difahami semua pihak ialah masalah yang berlaku antara agama sebahagiannya bukan disebabkan ajaran agama tetapi kelemahan dan kejahilan penganutnya memahami agama masing-masing.

No comments: