Thursday, January 10, 2008

Wajib bayar mutaah walaupun isteri tuntut cerai

SAYA ingin kemukakan beberapa soalan berkaitan hak yang diberikan kepada bekas suami iaitu:

l Apakah bekas suami wajib membayar mutaah, edah dan nafkah kepada isterinya selepas cerai sedangkan isteri yang menuntut cerai? Apakah nafkah tertunggak juga wajib dibayar sedangkan tiada perintah mahkamah sebelum ini?

l Apakah bekas suami boleh menuntut haknya terhadap kereta dibeli menggunakan nama isteri, tetapi bayaran bulanan dibayar oleh suami sedangkan selepas bercerai, kereta itu diambil isteri dengan alasan menggunakan namanya.

l Sebelum bercerai, isteri menuntut supaya baki bayaran hantaran dijelaskan sebagai syarat untuk melepaskan segala kelengkapan rumah yang dibeli suami, namun atas dasar keselesaan anak, suami memulangkan semula kelengkapan rumah, walaupun baki hantaran sudah dijelaskan. Bagaimanakah untuk mendapatkan semula barang itu memandangkan bekas isteri enggan memulangkan barang berkenaan? Apakah barang itu dikira sebagai harta sepencarian

Bekas suami,

Kuala Lumpur.

Menjawab persoalan pertama, bekas suami tetap wajib membayar mutaah kepada bekas isterinya walaupun perceraian dituntut oleh isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mutaah (pemberian sagu hati) dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib ke atas orang-orang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 241)

Ulama Shafie juga menyatakan mutaah sebagai harta wajib dibayar oleh lelaki kepada isterinya yang diceraikan. Hanya nafkah edah yang wajib dibayar kepada bekas isteri iaitu selama tempoh tiga kali suci bekas isteri daripada haid atau jika dia hamil, tempohnya sehingga dia melahirkan kandungannya.

Selepas tempoh edah itu, nafkah bulanan seperti masih suami isteri yang sah tidak wajib dibayar. Menurut kitab al Ahwal as Sakhsiyah oleh Muhammad Abu Zahrah, semua fuqaha setuju nafkah bagi isteri yang dalam edah talak raji’i (talak yang boleh dirujuk) adalah wajib.

Jika talak tiga, fuqaha setuju diberi nafkah jika dia hamil, tetapi jika tidak hamil, mazhab Syafie berpendapat tidak berhak mendapat nafkah edah, tetapi berhak mendapat tempat tinggal saja.

Berkaitan nafkah tertunggak, Dr Abd Karim Zaidan dalam kitabnya al Mufassal Fi Ahkam al Mar’ah menyatakan, pendapat jumhur wajib beri nafkah kepada isteri apabila wujudnya sebab kewajipan itu dalam apa bentuk.

Ia menjadi hutang dari waktu suami enggan membayar nafkah tanpa perlu ada perintah mahkamah atau keredaan keduanya sebelum itu. Dalam masalah anda, nafkah tertunggak wajib dibayar, walaupun tiada perintah mahkamah sebelum bercerai.

Mengenai kereta pula, suami boleh menuntut hak terhadap kereta itu kerana apa-apa harta yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan adalah harta sepencarian. Walaupun kereta didaftarkan atas nama isteri, tetapi ia bukanlah syarat mutlak menjadikan kereta itu hak milik isteri sepenuhnya.

Hal ini kerana suami turut memberikan sumbangan dengan membayar ansuran bulanan kereta itu. Ia selaras firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah an Nisaa’, ayat 32)

Anda perlu membuat permohonan injunksi dengan kadar segera di Mahkamah Syariah untuk menegah bekas isteri daripada melupuskan atau memindah milik kereta itu sehingga kes harta sepencarian diselesaikan. Oleh itu, anda perlu membuktikan di mahkamah kelak berkaitan pembayaran bulanan anda sumbangkan ketika memiliki kereta berkenaan.

Sebarang harta termasuk kelengkapan rumah yang dibeli dalam tempoh perkahwinan adalah harta sepencarian. Namun, anda sudah memulangkan kelengkapan itu kepada bekas isteri. Walaupun ketika memulangkan kelengkapan demi keselesaan anak, ia dikira sebagai pemberian daripada anda kepada bekas isteri.

Ia dianggap sebagai hibah iaitu pemberian daripada pemilik barang di mana pada mulanya bekas isteri memberikan kepada anda dengan syarat baki hantarannya dijelaskan, tetapi anda memulangkan semula kepadanya selepas menjelaskan baki hantaran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang lelaki yang sudah memberikan satu pemberian atau sudah menghibahkan satu hibah menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang dihibahkan kepada orang lain, kecuali penarikan balik oleh bapa terhadap pemberian yang diberi kepada anaknya.”

Merujuk masalah anda, anda menyatakan sudah memulangkan kepada bekas isteri dan bukannya memberikan harta itu kepada anak anda. Oleh itu, anda dianggap memberikan hak anda kepada bekas isteri dan ia tidak boleh dituntut kembali.

Jelaslah, kerana anda sudah memulangkan kepada bekas isteri, anda hendaklah menunaikan janji itu. Jika anda ingin menuntut kembali, ia boleh dianggap sebagai mengingkari janji. Orang yang mengingkari janjinya boleh dikira sebagai munafik dan orang munafik dilaknat Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka.” (Surah an Nisaa, ayat 145)

Jika anda tetap yakin pemberian itu adalah kerana salah faham dan sebagainya, anda boleh menuntutnya dan membawa keterangan serta bukti yang menyokong tuntutan anda.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: