Wednesday, January 2, 2008

Iqra: Tanam akhlak al-Quran, hadis melalui Di Sebalik Diri

Judul: Di Sebalik Diri

Penulis: Mohd Shukri Hanapi

Penerbit: Must Read Sdn Bhd

Harga: RM21.90

Pengulas: Hasliza Hassan

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi kelapangan kepada orang dengan harta bendamu, tetapi kamu dapat memberi kelapangan dengan muka berseri-seri dan budi pekerti yang baik." (Hadis riwayat Abu Ya’la)

Akhlak Islam adalah berdasarkan kepada model insan kamil yang ada dalam diri Rasulullah SAW yang menterjemahkan pengertian akhlak al-Quran dalam kehidupan yang realistik.

Hakikatnya, perkara yang diperakukan baik oleh al-Quran dan hadis, maka ia adalah baik sepanjang zaman dan tempat. Begitu juga dengan akhlak manusia yang dijelaskan dalam al-Quran, ia tidak hanya baik pada masa lalu atau masa sekarang.

Justeru, dalam membina modal insan berkeperibadian mulia, manusia perlu menanamkan akhlak al-Quran supaya nilai yang baik itu terpancar daripada perbuatan serta gaya hidup seharian mereka hingga menjadi contoh kepada orang lain.

Buku Di Sebalik Diri hasil tulisan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba, menyentuh mengenai sifat baik dan buruk dalam diri manusia yang disebutkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Buku ini membolehkan kita membuat perbandingan antara sifat yang sepatutnya wujud dan dipupuk dalam diri kita dengan sifat yang kita amalkan dalam kehidupan harian.

Matlamatnya, supaya kita akan lebih mengenali siapa diri sekali gus melahirkan insan baru dengan peribadi lebih baik. Tambahan dengan kedatangan tahun baru 2008, memperbaiki diri menjadi satu permulaan yang baik.

Buku Di Sebalik Diri dibahagikan kepada 29 bab, 15 bab menceritakan mengenai sifat mahmudah (sifat terpuji) dan selebihnya adalah sifat mazmuhah (sifat terkeji) yang perlu dijauhkan manusia supaya kehidupan mereka sentiasa mendapat keredaan Allah.

Keseluruhan kandungan buku menyentuh akhlak terpuji dan terkeji yng digariskan dalam al-Quran seperti istiqamah, sabar, memberi maaf, amanah, menepati janji, tolong menolong, berbuat baik kepada ibu bapa dan berbudi bahasa.

Sifat negatif yang perlu dijauhkan ialah fitnah, khianat, hasad dengki, sombong, pemarah, riak dan rasuah.

Perlu disedari, akhlak dan tingkah laku kita banyak dipengaruhi nilai yang diyakini dan ia akan menjadi sebahagian daripada keperibadian.

Sifat sabar susah dimiliki dan sukar pula mengamalkannya tetapi al-Quran memberi panduan untuk membantu memudahkan manusia memperoleh sifat sabar. Antaranya, yakin bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan akan mendapat ganjaran baik daripada Allah.

Banyak lagi cara memperoleh sikap sabar yang dijelaskan dalam Buku Di Sebalik diri menjadikan ia buku yang perlu dibaca dalam usaha kita memperbaiki diri serta mengelakkan daripada perbuatan yang boleh menjerumuskan kita kepada perbuatan dibenci Allah.

Kebelakangan ini pelbagai cara digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendedahkan keaiban keaiban orang lain termasuk menggunakan teknologi canggih seperti internet, telefon bimbit dan rakaman klip video.

Soal mendedahkan keaiban orang lain dipandang berat oleh Islam. Malah, Islam melarang kita mencari keaiban orang lain dan mendedahkannya sesuka hati.

Banyak perkara dibincangkan dalam buku setebal 173 halaman ini yang boleh dijadikan ingatan untuk diri sendiri supaya terpancar keperibadian yang digariskan al-Quran dan hadis.

No comments: