Friday, January 11, 2008

Memperbaiki kehidupan dituntut syarak

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Proses hijrah perlukan ummah muhasabah diri atasi permasalah bagi cipta kejayaan

KITA panjatkan rasa syukur kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk bersama melangkah ke tahun baru 1429 hijrah dengan himpunan semangat dan kekuatan membina lembaran kehidupan sebagai insan mukmin yang beriman dan beramal salih.

Perpindahan Rasulullah SAW dan umat Islam dari Makkah ke Madinah menjadi lambang dan obor setiap insan mukmin bagi menterjemah apa yang tersirat di sebalik penghijrahan yang banyak mencatat kemenangan Islam.

Muhasabah diri setiap dari umat Islam sebenarnya menjadi asas yang kuat bagi menangani apa juga permasalahan diri yang timbul untuk disesuaikan dengan konteks hijrah itu sendiri. Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW.

Baginda SAW membuat perancangan cukup teliti bagi memilih tempat yang difikirkan sesuai untuk berhijrah memandangkan keadaan semasa umat Islam Makkah yang kian tertekan dengan ugutan dan ancaman kafir Quraisy.

Biarpun perintah untuk berhijrah datangnya daripada Allah, tetapi Rasulullah SAW tidak menggantung harapan penuh kepada pertolongan Allah tanpa mengambil tindakan perlu bagi memastikan kejayaan proses penghijrahan ini.

Baginda SAW memilih Ali bin Abi Talib untuk menggantikan Baginda di tempat tidur, sementara Abu Bakar pula dipilih sebagai teman sepanjang berhijrah. Abdullah bin Urqith berperanan sebagai penunjuk jalan ke Madinah, Abdullah bin Abu Bakar sebagai penyampai berita, manakala Asma' binti Abu Bakar pula menjadi penghantar makanan kepada Baginda dan Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur.

Tindakan Rasulullah SAW dan peranan yang dimainkan beberapa individu itu sebenarnya menepati perintah Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: "Orang lelaki mukmin dan orang perempuan mukmin sesetengah mereka menjadi penolong kepada setengahnya, menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Islam mahukan semua umatnya melakukan perubahan ke arah yang terbaik. Caranya sudah tentu dengan meningkatkan azam dan kekuatan untuk sentiasa bersedia menerima dan menghadapi cabaran dengan dada terbuka, yakin qada' dan qadar Allah serta boleh menerima konsep takdir dengan rela.

Biarpun kini Islam tidak lagi menuntut umatnya melakukan penghijrahan dalam konteks perpindahan geografi, dalam keadaan fitrah manusia, penghijrahan tetap dituntut dalam aspek kehidupan seperti meningkatkan amal ibadat, kualiti diri, mutu kerja, perhubungan dan muamalat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Islam itu ialah orang yang menyelamatkan orang Islam lain daripada bencana lidah dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang ditegah oleh Allah daripada melakukannya."

Hijrah sebenarnya mengajak manusia supaya taat kepada perintah ketua, selagi apa yang disuruh itu tidak melanggar batas syariat. Apabila bertemu perancangan manusia dan Allah, sudah pasti ketetapan Allah akan menjangkau kehendak manusia.

Pada masa itu, pasti akan musnah segala helah dan tipu daya musuh Allah yang sentiasa ingin mengambil peluang memperdaya manusia daripada mengingati segala kekuasaan dimiliki Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu." (Surah Muhamad, ayat 7)

Seseorang yang pada awalnya begitu lemah imannya kemudian berubah menjadi seorang yang taat kepada suruhan agama dikatakan sudah berjaya melakukan penghijrahan pada dirinya.

Penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah mempereratkan hubungan sesama manusia menerusi persaudaraan kaum Ansar dan Muhajirin yang diikat atas dasar akidah yang kukuh sehingga sanggup melakukan pengorbanan besar bagi membolehkan mereka hidup dalam suatu rumpun masyarakat disegani.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Demi Allah sesungguhnya negeri Makkah adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling aku suka ialah Makkah dan sekiranya aku tidak dihalau nescaya aku tidak akan keluar dari bumi ini."

Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW membangunkan masyarakat dan negara Madinah berteraskan apa yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah, merangkumi tiga aspek iaitu hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan umat Islam dengan bangsa lain seperti Yahudi, Rom dan Parsi.

Hijrah juga mempunyai hubungan rapat dengan semangat jihad dalam diri Rasulullah SAW dan umat Islam secara keseluruhannya. Jihad itu bukanlah berbentuk kekerasan, tetapi beristiqamah dengan rundingan, perbincangan dan berfikiran terbuka dalam dakwah jihad.

Rasulullah SAW sudah membuktikan bahawa Islam bukannya agama pembangunan rohani dan metafizik, tetapi Islam mampu mentadbir penduduk dunia dengan sistem lebih teratur. Rasulullah SAW, sahabat dan mujaddid Islam yang muncul hingga zaman Uthmaniyyah berjaya menterjemahkan banyak perintah Allah dalam kehidupan seharian.

Keyakinan umat Islam sejak era Rasulullah SAW, Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat sesungguhnya berjaya menghasilkan kecemerlangan dalam sistem pemerintahan, pentadbiran dan ketamadunan hidup masyarakat pada suatu ketika dulu.

Kejayaan ini berkat rasa optimis dan keyakinan bahawa kuasa dan ketetapan Allah adalah mengatasi segala-galanya seperti firman Allah yang bermaksud: "Janganlah kamu berasa lemah semangat dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamu adalah kaum yang cemerlang jika kamu benar-benar beriman." (Surah al-Imran, ayat 39)

No comments: