Wednesday, January 9, 2008

Bersama Yapeim: Skim Ar-Rahnu pikat bukan Islam

YaPEIM menjalankan kajian tingkah laku sosial terhadap penggunaan perkhidmatan skim Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) membabitkan sejumlah 1,321 responden dan hasil kajian mendapati pengguna terbesar skim Ar-Rahnu adalah orang Melayu.

Tetapi kajian itu juga mendapati skim berasaskan hukum syarak ini mula mendapat perhatian orang Cina dan India. Jika usaha promosi dan menjelaskan perbezaan antara skim Ar-Rahnu dengan skim pajak gadai konvensional dibuat dengan berkesan, sudah pasti mereka memilih skim ini kerana kelebihannya tersendiri.

Sebahagian besar daripada penggadai adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang 21 peratus berpendapatan kurang daripada RM500, kurang RM1,000 (39.8 peratus), kurang RM1,500 (22.7 peratus), antara RM1,500 hingga RM2,000 (8.3 peratus) dan selebihnya mendapat pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000.

Sebahagian besar mendapat pendidikan sehingga tahap sekolah menengah saja menyebabkan mereka hanya bekerja di sektor awam atau swasta dengan menjawat jawatan kumpulan sokongan. Begitu juga yang bekerja sendiri seperti tukang rumah, mekanik, pesawah, penoreh getah, nelayan dan tukang jahit, pendapatan mereka adalah kecil.

Keadaan berkenaan ditambah dengan bilangan anak yang dianggap sederhana besar iaitu antara satu hingga lima orang dan sebahagiannya pula mempunyai jumlah yang besar iaitu antara enam hingga 14 orang.

Jika diperhatikan, perbezaan antara pendapatan dengan perbelanjaan kelompok itu ketara sekali.

Kajian mendapati hanya 33 peratus daripada responden yang membuat tabungan atau simpanan.

Ini bermakna sebahagian besar tidak membuat tabungan atau simpanan sebaliknya menggunakan semua pendapatan untuk perbelanjaan.

Kajian juga mendapati masyarakat mengetahui kewujudan skim mikro kredit ini daripada penganjur skim iaitu YaPEIM dan pelaksana skim. Bagaimanapun, maklumat yang dikemukakan pihak pelaksana skim belum begitu berkesan.

Penggadai masih menggunakan maklumat daripada sumber lain seperti rakan, saudara mara, poster, media cetak dan media elektronik.

Daripada aspek kefahaman mengenai skim mikro kredit ini, sebahagian besar daripada responden menyatakan mereka memahami bahawa skim ar-Rahnu adalah skim pajak gadai yang mengikut kehendak syarak.

Mereka yang membuat gadaian, memilih skim ar-Rahnu kerana kelebihannya berbanding pajak gadai konvensional.

Faktor yang menjadi tarikan utama skim ini ialah:

l Caj perkhidmatan yang rendah

l Tiada unsur riba

l Barang kemas yang disimpan selamat

l Tiada unsur penipuan ketikas membuat timbangan

l Tempoh membayar balik munasabah

Kajián juga mendapati responden melakukan kegiatan menggadai dalam skim ini benar-benar yakin ia membantu mereka, terutama apabila memerlukan wang segera bagi tujuan mendesak.

Ini terbukti apabila 44.8 peratus responden yang membuat gadaian menyatakan masalah mereka dapat diatasi menerusi skim ini. Ini membuktikan mereka yang membeli seterusnya memiliki emas menjadikan barang kemas sebagai simpanan untuk hari yang mendesak dan memerlukan wang.

Lebih daripada itu, simpanan dalam bentuk barang kemas juga digunakan bagi tujuan produktif seperti pendidikan anak dan perniagaan. Bagi mereka yang mempunyai anak bersekolah atau sudah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, simpanan dalam bentuk barang kemas penting, terutama apabila tiba musim persekolahan.

Keperluan sekolah seperti baju, beg, yuran dan buku, menghambat ibu bapa menunaikan tanggungjawab mereka. Oleh itu, bagi yang berpendapatan tetap atau tidak tetap, ini memaksa mereka menggunakan simpanan berbentuk barang kemas dan memanfaatkan skim ini untuk memenuhi keperluan berkenaan.

Skim Ar-Rahnu juga penting kepada peniaga kecil yang sukar mendapatkan pinjaman institusi kewangan. Peniaga kecil ini menjalankan kegiatan perniagaan secara kecil-kecilan seperti membuka warung makanan dan minuman, kedai menjahit pakaian dan menjual pelbagai produk di pasar malam.

Lazimnya mereka akan menggadaikan barang kemas untuk tujuan modal pusingan perniagaan dan menebusnya semula apabila memperoleh keuntungan.

Satu lagi dapatan daripada kajian ini ialah impak skim kepada saiz lingkaran pasaran iaitu satu kawasan yang menguasai sesuatu pusat pasaran. Kajian mendapati lingkaran pasaran skim Ar-Rahnu dalam lingkungan jejari 0 hingga 20 kilometer kerana 83 peratus daripada responden tinggal dalam lingkungan itu.

Keadaan ini membawa implikasi bahawa di luar daripada lingkungan, skim ini kurang memberi impak kepada sosial. Mereka sudah tentu akan memikirkan soal kos ke pusat bandar atau ke kaunter Ar-Rahnu yang kebanyakan ditempatkan di pusat bandar.

Hasil kajian juga memberi gambaran lebih banyak kaunter Ar-Rahnu perlu di buka untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan masyarakat setempat. Setidak-tidaknya kaunter Ar-Rahnu perlu diwujudkan di pekan kecil setiap daerah di negara ini.

Jelas daripada hasil kajian, Skim Ar-Rahnu mampu dijadikan sebagai satu daripada Skim Mikro Kredit yang boleh memberi jaminan kepada sama ada peminjam wang atau mereka yang meminjam wang.

Emas sudah terbukti boleh dijadikan sebagai sandaran dalam urusan peminjaman wang, namun usaha ini akan gagal jika institusi kewangan atau pihak mempunyai wang tidak melaburkan wangnya untuk tujuan itu.

Pelaburan kewangan perlu diadakan khususnya sebagai modal pusingan kepada kaunter Ar-Rahnu yang dibuka. Dianggarkan sejumlah RM3 juta hingga RM4 juta diperlukan untuk setiap kaunter Ar-Rahnu sebagai modal pusingan.

Oleh kerana skim Ar-Rahnu mampu menjadi satu Skim Mikro Kredit membantu golongan berpendapatan rendah dan tidak layak mendapatkan pembiayaan institusi kewangan, maka strategi membangunkan ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan hidup masyarakat perlu diwujudkan.

Kerjasama serantau untuk meningkatkan kecekapan skim ini perlu dibincangkan secara berterusan supaya skim Ar-Rahnu benar-benar memberi impak kepada masyarakat.

No comments: