Thursday, January 24, 2008

Personaliti: Minat dorong Mohd Hariri ceburi debat

Oleh Hasliza Hassan

Kehebatan pelajar Usim berhujah pikat hadirin walaupun gagal jadi pemidato terbaik

KEPETAHAN melontar hujah dengan susunan kata-kata lembut membidas pihak lawan serta senyuman yang tidak pernah lekang menjadikan kehadiran pendebat dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd Hariri Mohamad Daud menjadi perhatian hadirin.

Walaupun gagal meraih kedudukan sebagai Pendebat Terbaik pertandingan Akhir Debat Kefahaman Islam antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) baru-baru ini, kehebatan beliau tetap diperakukan.

Pada pusingan separuh akhir, bukan saja tepukan gemuruh diberikan setiap kali beliau selesai berhujah, malah rakan pendebat lain dilihat akan datang kepadanya untuk mengucapkan syabas sebaik tamat sesi pertandingan.

Tidak keterlaluan dikatakan mungkin ada antara mereka yang meramalkan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mempunyai peluang cerah diumumkan sebagai Pendebat Terbaik pada pertandingan menyaksikan 16 kumpulan pidato bertanding.

Ditanya kepada yang empunya diri, Mohd Hariri berkata, memang beliau mendapat maklum balas positif serta keyakinan daripada rakan sepasukan berdasarkan persembahan ditampilkan pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, beliau akur dengan pemilihan juri kerana mereka lebih arif dan apa yang berlaku sedikit pun tidak memberi kesan mendalam kepada dirinya yang sudah terbabit dalam pertandingan debat sejak di sekolah menengah lagi.

"Harapan untuk menjadi Pendebat Terbaik memang ada, tetapi itu bukan matlamat. Jika dipilih ia adalah rezeki dan jika tidak, saya berpuas hati dengan pencapaian saya dan pasukan kerana berjaya hingga ke peringkat akhir.

"Pembabitan saya dalam debat lahir daripada minat dan ternyata bidang ini banyak membantu membina keyakinan diri selain mendedahkan saya kepada cabang ilmu lebih luas. Tajuk debat pelbagai dan ini memerlukan pemidato lebih banyak membaca," katanya.

Selain itu katanya, pendebat perlu banyak berlatih untuk meyakinkan pendengar terhadap hujah diberi dan peluang menyertai pertandingan debat memberi peluang kepadanya membina rangkaian rakan di kalangan pendebat daripada IPT lain.

Bercita-cita menjadi ahli akademik selepas tamat pengajian nanti, Mohd Hariri turut bergiat aktif sebagai pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pernah duduk di kerusi Yang Dipertua MPP Usim bagi sesi 2006-2007 lalu.

Sebagai bekas Yang Dipertua MPP Usim, beliau gembira kerana dapat berbakti kepada rakan pelajar serta pihak universiti dalam usaha merealisasikan visi serta misi Usim melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, juga menyerlah dari aspek kepemimpinan.

Katanya, setiap orang mempunyai bakat kepemimpinan serta minat masing-masing dan bagi dirinya minat menyertai kegiatan kokurikulum serta semangat memimpin lahir sejak sekolah, kemudian dipupuk dan dikembangkan hingga ke hari ini.

"Ketika remaja, ibu bapa banyak mengatur hidup saya. Mereka menentukan apa yang perlu dibuat dan pelajaran apa perlu diambil. Namun, dari segi kegiatan kurikulum mereka memberi kebebasan dan sentiasa menyokong minat saya.

"Apabila sudah melanjutkan pengajian di universiti, ibu bapa memberi kebebasan saya untuk menentukan hala tuju, tetapi mereka sentiasa memberi dorongan serta sokongan. Pencapaian saya hari ini adalah berkat doa ibu bapa saya juga," katanya.

Kata anak kedua pasangan Mohamad Daud Othman dan Salmah Mohd Zahari itu, fizikal tubuh badannya mungkin kecil, tetapi jiwanya besar dan berbekalkan jiwa yang besar itu beliau menempuh pelbagai ujian bergelar pemimpin.

Dipilih sebagai Yang Dipertua MPP berdasarkan undi tertinggi yang diterima pada pilihan raya 2006, Mohd Hariri berkata, pemimpin perlu ada dua kekuatan iaitu kekuatan ilmu dan kekuatan sahsiah kerana ia akan menjadi perkara yang dilihat pada diri pemimpin itu.

Justeru katanya, tugas pemimpin bukan saja memandu pengikutnya, tetapi mereka juga perlu memenuhi tugas lebih utama iaitu mempersiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu, membina personaliti dan memiliki akhlak yang boleh dijadikan contoh teladan.

Katanya, pemimpin yang baik lebih dikenali kerana karakter serta personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mendengar serta mengikut cakapnya. Pada masa sama, pemimpin perlu ada nilai tambah iaitu ilmu pengetahuan yang luas.

"Saya banyak gunakan pengalaman ketika menjadi ketua kelas di sekolah dan Naib Presiden MPP ketika melanjutkan pengajian peringkat diploma di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (Kusza), di Terengganu untuk menjadi pemimpin berkesan.

"Antara pendekatan yang saya gunakan ialah meluaskan empayar persahabatan. Saya bergaul dengan semua lapisan pelajar di kampus kerana saya yakin apabila kita dekat dengan mereka, lebih mudah untuk berhubung.

"Sebaliknya, jika kita berlagak sombong orang pun menyampah. Oleh itu, mesti eratkan ukhuwah dan persaudaraan. Apabila bercakap dengan orang, kena hormati mereka. Perlu ingat, kita jadi pemimpin tidak lama, nanti kita akan jadi rakyat biasa juga," katanya.

Katanya, hidup pemimpin bukan sentiasa indah kerana di sebalik orang yang menyokong, pasti akan ada pihak yang cuba menjatuhkan mereka. Oleh itu, perkara itu perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak serta berkesan.

Sebagai pelajar pula, mereka juga berdepan dengan cabaran menseimbangkan antara pencapaian akademik dengan tugas serta aktiviti kokurikulum.

Bagaimanapun, bagi Mohd Hariri, beliau bersyukur kerana masih mampu mengekalkan tahap pencapaian akademik dan pada masa sama, meneruskan minat dalam bidang debat dan memastikan waktu bersama keluarga tetap ada.

Menjawab persoalan mengenai isu pelajar universiti yang dikatakan banyak terbabit dengan gejala negatif serta masalah sosial, beliau berkata, sebenarnya pelajar yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi memang berminat untuk belajar dan berjaya.

Namun katanya, apabila tiba di menara gading, pelajar akan berdepan dengan pelbagai unsur serta pengaruh hingga ada antara mereka yang terjebak, tergelincir dan hilang hala tuju. Ini menyebabkan timbul isu mengaitkan pelajar IPT dengan gejala negatif.

Katanya, ketekunan kepemimpinan negara menekankan sistem pendidikan yang mampu membina modal insan dilihat bakal melahirkan pelajar bukan saja memiliki minda kelas pertama, tetapi juga sahsiah yang cemerlang.

"Pada Jun tahun lalu saya terpilih mengikuti lawatan Kementerian Pengajian Tinggi ke Eropah dan kami melawat universiti di Belanda, Perancis dan United Kingdom. Apa yang saya lihat Malaysia mempunyai kualiti pelajar IPT yang tersendiri.

"Di sana tumpuan adalah kepada minda dan pelajaran saja, tetapi kita tumpu kepada pembangunan modal insan. Kita ingin melahirkan siswa yang cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai sahsiah terpuji," katanya.

Menyentuh mengenai agama yang kononnya akan menghalang kepada kemajuan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Perak, Jasin, Melaka itu berkata, pelajar bidang agama adalah graduan yang berkebolehan.

Mohd Hariri berkata, pelajar sekolah agama yang sudah mempunyai asas ilmu agama akan mengambil pelbagai jurusan apabila mereka melanjutkan pengajian pada peringkat tertinggi seperti bidang ekonomi, undang-undang, perubatan dan lain-lain disiplin ilmu.

Katanya, ini memberi kelebihan kepada graduan berkenaan kerana segala ilmu dipelajari nanti dapat dimanfaatkan mengikut landasan Islam memandangkan mereka mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama.

"Agama tidak pernah menjadi penghalang kerana Islam sendiri menggalakkan umatnya mencari dan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Bagi yang mempunyai kemahiran dalam bidang agama dan ilmu kontemporari, mereka mempunyai banyak kelebihan.

"Jika jadi doktor pun, mereka masih boleh jadi ustaz. Bukankah ini kelebihan. Ini semua sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan modal insan bagi membangun ketamadunan Islam," katanya. PROFIL

Nama: Mohd Hariri Mohamad Daud

Tarikh lahir: 30 Oktober 1984.

Tempat lahir: Pasir Mas, Kelantan.

Pendidikan: Diploma Usuluddin (Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (Kusza) Terengganu) Tahun Tiga jurusan Pendidikan Dakwah dan Pengurusan Islam (Universiti Sains Islam Malaysia).

No comments: