Tuesday, January 22, 2008

Ufuk Minda: Pedoman dari langit mampu mengangkasa minda

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PERKHABARAN dari langit bermaksud sebagai petunjuk kepada manusia dan mereka yang muttaqin (bertakwa). Ia tidak saja terkandung hikmah, tetapi mukjizat memandu manusia ke jalan yang benar. Fokus perkhabaran dari langit adalah untuk manusia di bumi.

Mengangkasakan minda bermaksud menjadikan sumber perkhabaran dari langit sebagai relevan bagi manusia di bumi. Langit, arash, bintang adalah rujukan manusia memahami hakikat kehidupan di bumi.

Adanya kuasa dari langit menyebabkan wujudnya kehidupan di bumi. Adanya hikmah dari langit menjadi suluh dan penunjuk jalan bagi manusia di bumi. Adanya rahmat dan nikmat yang dilimpahkan dari langit menyebabkan kehidupan terus berlaku di bumi.

Menerima perkhabaran dari langit dalam keyakinan dan keimanan yang tinggi menjadikan manusia mempunyai ilmu dan hikmah serta menjadi kunci untuk membuka pintu keyakinan terhadap kebesaran Allah.

Daripadanya manusia terus meyakini bahawa tanpa perkhabaran dari langit manusia akan hilang pedoman memahami yang benar dengan salah, yang baik dengan buruk dan yang makruf dengan mungkar.

Mengangkasakan minda bermakna mendidik pemikiran menerima hakikat alam tinggi. Memahami alam tinggi menjadikan manusia memahami Pencipta. Bumi adalah suatu juzuk daripada rangkaian alam yang antara satu dengan lainnya saling berhubung dan bergantungan.

Kajian saintifik tidak boleh dipisahkan dengan hakikat alam tinggi. Wujud benda dalam alam ini tidak berlaku secara kebetulan. Wujud benda dalam alam ini terutama bumi dan segala isinya mempunyai maksud dan sebab.

Apabila bumi dihuni manusia, kehadiran manusia juga mempunyai maksud dan sebab. Oleh itu menjadikan pedoman alam tinggi bersumber perkhabaran dari langit menjadikan manusia lebih memahami akan hakikat kehidupan dan kewujudan.

Kewujudan manusia mengikut perkhabaran alam tinggi adalah untuk maksud ibadulullah dan ibadur rahman. Manusia juga dilantik oleh Allah sebagai khalifah memberikan pimpinan dan daya pengurusan terhadap bumi dengan rahmat dan nikmat yang dikurniakan.

Sifat taat, akur, tunduk dan patuh sebagai hamba Allah diterjemahkan dalam daya kepemimpinan yang baik terhadap manusia, sistem dan bumi menjadikan risalah alam tinggi sumber amalan. Di sinilah letaknya pembumian amal berlaku berasaskan pedoman alam tinggi.

Allah menciptakan manusia dengan amanah akal dan hati. Daripada akal manusia berfikir dan daripada hati manusia menimbang. Keupayaan berfikir dan menimbang yang dipedoman oleh perkhabaran dari langit mendekatkan manusia dan Penciptanya.

Jika manusia tidak mengangkasakan mindanya dalam merujuk perkhabaran dari langit yang menyebabkan banyak kepincangan wujud dan akhirnya sistem menjadi rosak kerana sumber alam tinggi tidak dijadikan rujukan terbaik.

Pencipta aturkan alam tinggi dengan daya kawalan yang tertib dan teratur. Bintang dan cakerawala berjalan mengikut sunnatullah, tidak pernah ingkar dan melampaui batas. Tetapi, manusia di bumi sering ingkar dan melampaui batas, menyebabkan sistem menjadi rosak dan kehidupan di bumi tidak berdasarkan perkhabaran dari langit.

Membumikan amalan tanpa ikatan dengan sumber alam tinggi menyebabkan wujudnya jurang dan kelonggaran dalam prinsip, etika dan nilai. Yang tamak terus mengumpul harta dan kekayaan secara rakus kerana ikatan alam tingginya tidak ada.

Yang memikirkan bumi ini segala-gala menjadi lupa kerana pedoman alam tinggi tidak dijadikan pedoman. Yang melakukan kezaliman dan salah guna kuasa akan terus berasakan bahawa pedoman alam tinggi hanya sesuatu yang boleh menggugat kedudukannya.

Lalu amalan di bumi tidak dipandu oleh perkhabaran dari langit. Manusia berpendapat berpegang kepada amalan yang bersandarkan perkhabaran dari langit boleh membawa kepada kemunduran dan kejumudan.

Akhirnya manusia memilih jalan memugar kebendaan semahu-mahunya, merangsang nafsu-nafsi sebanyaknya dan sumber alam tinggi dianggap sebagai sesuatu yang tidak relevan.

Ulama dan ilmuwan Islam pada masa lalu mengangkasakan mindanya dengan merujuk sumber alam tinggi. Daripada sumber alam tinggi menjadikannya peneroka kepada ilmu yang benar dan menemui hikmah darinya. Tradisi itu berjaya menghasilkan tamadun besar dan menyebabkan Barat mempelajarinya untuk bangun dan maju.

Oleh itu, amat penting minda generasi muda dibentuk dan dipupuk dengan pemikiran alam tinggi supaya jenis ilmu dikembangkan, corak pendidikan yang berjalan, jenis nilai dikemukakan dan jalan penerokaan yang dilalui membimbing mereka menjadi manusia mengutamakan perkhabaran dari langit.

Pada masa sama, menggunakan akal sebagai alat untuk mengetahui benda dan hakikat benda, fenomena dan hakikat fenomena, kejadian dan hakikat kejadian. Tanpa pedoman dari langit, minda manusia tidak boleh diangkasakan dan tanpa mengangkasakan minda, manusia akan terputus dengan maksud bumi dihamparkan dan manusia diciptakan. Inilah asas utama menjadikan manusia merujuk alam tinggi dan memberi makna maksud kehambaan dan kekhalifahan.

No comments: