Thursday, January 24, 2008

Hak Muslim: Suami musykil pengesahan lafaz cerai

ADAKAH jatuh talak jika saya dalam keadaan marah dan kesal dengan sikap isteri, memberitahu kakak saya berserta niat yang saya ingin bercerai dengan, "Saya rasa sudah tidak ada apa-apa dengan dia." Apabila semua sudah tenang, saya dan isteri berbaik semula dan hidup bersama seperti biasa, tetapi isteri tidak tahu-menahu mengenai hal itu.

Adakah jatuh talak jika ketika bergaduh saya ucapkan, "Setakat ini sajalah antara kita berdua." Tetapi yang isteri saya fahami, setakat ini sajalah pergaduhan kami dan bukanlah setakat ini perkahwinan kami? Apabila semuanya tenang, saya dan isteri berbaik semula.

Adakah dianggap sebagai rujuk yang sah jika suami isteri mengadakan hubungan kelamin selepas berlakunya perkara di atas?

Suami musykil,
Kuala Lumpur

Persoalan saudara adalah merujuk kepada pengesahan lafaz cerai yang dilafazkan suami terhadap isteri di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Adalah dinasihatkan supaya saudara mendaftarkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah berdekatan tempat tinggal untuk membuat pengesahan berkaitan lafaz cerai itu.

Ia sejajar Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 antara lain memperuntukkan, "Seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz talak itu, melaporkannya ke mahkamah."

Dari segi undang-undang, sesuatu lafaz talak atau cerai hendaklah dilakukan dengan memohon kebenaran daripada mahkamah dan apabila ia dibenarkan, lafaz cerai itu hendaklah dilafazkan di hadapan Hakim Syarie. Oleh itu, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa menentukan sama ada sesuatu lafaz talak itu sudah sabit sah ataupun tidak.

Apabila saudara menyatakan. "saya rasa sudah tidak ada apa-apa dengan dia" dan "setakat ini sajalah antara kita berdua", ia merujuk kepada lafaz kinayah atau lafaz secara sindiran di mana kata-kata itu tidak jelas dari segi niat saudara ketika melafazkannya.

Isteri tahu atau tidak bukan isu penting dalam persoalan ini sebaliknya pengakuan saudara sendiri sama ada pernah melafazkan kata-kata itu atau tidak dan sama ada saudara mempunyai niat menceraikan isteri ketika melafazkan kata-kata itu.

Jika saudara mengaku mempunyai niat menceraikan isteri, maka mahkamah akan mengambil kira pengakuan itu sebagai sesuatu yang mengikat saudara dalam mensabitkan pengesahan talak berkenaan.

Pengakuan dan keterangan saudara di hadapan mahkamah juga perlu untuk memastikan jumlah talak sama ada saudara sudah mengucapkannya pada satu masa ataupun pada waktu berbeza. Dalam Islam jumlah talak hanya ada tiga saja dan jika kedua-dua lafaz talak itu disabitkan sah oleh mahkamah, maka mahkamah akan menentukan jumlah talak dan berapakah jumlah talak yang masih ada bagi membolehkan rujuk semula.

Berkaitan persoalan rujuk, jika mahkamah sudah mensabitkan lafaz talak yang saudara sebutkan sebelum itu sebagai sah, isu pertama adalah sama ada rujuk yang berlaku ketika dalam tempoh edah atau selepas tamat tempoh edah isteri.

Suami hanya boleh merujuk kembali isteri diceraikan ketika dalam tempoh edah isteri, selama tiga kali suci daripada haid diambil kira dari masa berlakunya perceraian. Jika isteri hamil, tempoh edahnya adalah sehingga beliau melahirkan kandungannya.

Isu kedua ialah sama ada hubungan kelamin boleh dianggap sebagai suatu rujuk yang sah? Ia perlu diputuskan dengan ijtihad hakim sendiri sama ada rujuk itu sah dari segi perbuatan kerana ulama berselisih pendapat mengenai hal ini.

Pendapat pertama menyatakan rujuk hendaklah dilafazkan dan perlu wujudnya unsur ijab dan kabul seperti kata suami kepada isterinya, "abang rujuk kamu" dan isteri menyatakan persetujuan seperti, "saya setuju".

Pendapat kedua pula menyatakan tidak perlu persetujuan isteri untuk rujuk semula kerana hak rujuk adalah hak mutlak suami. Pendapat ketiga menyatakan, boleh rujuk semula melalui perbuatan iaitu dengan mengadakan hubungan kelamin ketika dalam tempoh edah.

Oleh itu, terpulang kepada ijtihad hakim memutuskan sama ada rujuk itu sah atau tidak berdasarkan pengakuan dan keterangan kedua-dua pihak berkaitan dengan hubungan kelamin.

Demi kebaikan saudara pada masa depan, saudara perlu mendaftarkan permohonan pengesahan perceraian ke Mahkamah Syariah kerana hanya hakim Mahkamah Syariah yang layak memutuskan sama ada perceraian dan rujuk sudah berlaku serta jumlah talak.

Ini bagi memudahkan proses selepas pengesahan iaitu untuk pendaftaran perceraian bagi mendapatkan sijil cerai atau pendaftaran rujuk bagi mendapatkan sijil rujuk. Ia juga demi memudahkan proses tuntutan selepas perceraian oleh pihak seperti harta sepencarian, nafkah edah, mutaah, pensabitan nasab anak jika selepas talak dilafazkan wujudnya hubungan kelamin yang menyebabkan isteri hamil dan melahirkan anak atau tuntutan faraid jika salah satu pihak meninggal dunia selepas kejadian itu.

Semoga saudara membuat pengakuan yang sebenarnya berkaitan lafaz talak itu ketika di mahkamah demi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil di sisi hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: