Wednesday, January 23, 2008

Iqra: Panduan atasi tekanan, urus diri secara bijak

Judul: Petua Menangani Stres
Penulis: Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Muhammad Zakaria
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM19.90

TEKANAN atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, bersangka buruk dan berdendam.

Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menangani tekanan dengan bijak. Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tertekan dengan bijak.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan kita kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri. Mereka yang berjaya menangani tekanan, akan berjaya menguruskan diri.

Hakikatnya, ujian tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.

Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.

Buku Petua Menangani Stres hasil karya pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah bersama Muhammad Zakaria menyediakan metodologi menangani tekanan supaya dapat menjalani hidup yang lebih tenang.

Mula sekali, pembaca diajak mengenali apa yang dimaksudkan dengan tekanan iaitu reaksi mental dan fizikal terhadap semua permasalahan yang dihadapi dalam hidup serta mencari bagaimana punca tekanan itu.

Antara punca tekanan ialah sifat semula jadi, terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi, bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.

Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot, kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.

Bab empat buku kecil setebal 92 halaman itu mendedahkan 15 petua berkesan menangani tekanan bersama dalil al-Quran dan hadis Nabi SAW yang ditampilkan dalam bentuk nota ringkas, gambar hiasan serta sketsa lakaran kartun menarik.

Malah, bahagian belakang buku dengan wajah Fadzilah tersenyum dalam posisi duduk yang santai turut menyediakan panduan menggunakan buku Petua Menangani Stres bagi memudahkan pembaca memahami seterusnya memanfaatkan ilmu yang disampaikan.

Berdoa adalah satu daripada cara mengurang dan mengelakkan tekanan. Buku ini turut menyediakan doa melindungi daripada tekanan termasuk doa ketika berasa takut, doa memohon diselamatkan daripada bala dan doa ketika marah.

Tekanan mungkin tidak dapat dihilangkan sepenuhnya, tetapi hidup akan lebih mudah jika kita mempunyai kemahiran serta kekuatan untuk menghadapi tekanan. Ilmu mengenainya sudah ada di depan mata, baca dan manfaatkan demi hidup yang sejahtera.

Islam sudah menjelaskan kepentingan ilmu dalam menjalani kehidupan seharian dan pastinya tidak rugi untuk menimba ilmu mengenai tekanan bukan saja untuk diri sendiri, malah kepada anak, keluarga, saudara, jiran serta semua yang ada di sekeliling.

No comments: