Saturday, January 12, 2008

Azri Zahier azam pertingkat kemahiran

PERSIAPAN rapi dan usaha berlipat ganda dilakukan sebaik diumumkan sebagai peserta yang layak ke peringkat akhir Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) membuahkan hasil kepada pasukan debat Universiti Malaya (UM).

Bertindak sebagai pembangkang untuk tajuk Malaysia Memerlukan Mufti Negara, pasukan debat UM mengalahkan pasukan debat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan mengulangi kejayaan dicapai pasukan debat universiti tertua negara itu pada pertandingan 2005.

Ketua pasukan debat UM, Mohamed Zul Fadhli Kahiruddin, berkata pasukannya berpuas hati dengan kemenangan diraih atas usaha gigih mereka membuat penyelidikan, mengumpul bahan, selain latihan memantapkan persembahan.

Walaupun mengakui menerima tentangan hebat daripada pasukan lawan yang mempunyai kelebihan kerana latar belakang pendidikan mereka yang berteraskan Islam, beliau bersyukur kerana pasukannya berjaya meyakinkan juri supaya memihak kepada mereka.

“Ia debat kefahaman Islam dan dari segi ilmu serta kefasihan, kami melihat kelebihan kepada USIM. Tetapi itu tidak mematahkan semangat kami yang membuat persediaan sejak pasukan UM berjaya mara ke peringkat akhir.

“Kami bersyukur dan gembira kerana usaha keras berbaloi dengan kemenangan ini. Terima kasih kami kepada semua yang banyak memberi sokongan serta bantuan antaranya pensyarah Akademi Pengajian Islam UM dan penyelidik fakta, Wan Norzahidah Wan Ahmad,” katanya.

Beliau yang mewakili pasukan debat UM buat kali kedua selepas meraih kemenangan pada 2005 berkata, kerjasama berpasukan serta keserasian antara ahli pasukan meyakinkan mereka untuk memberi yang terbaik seterusnya mencipta kejayaan.

Selain Mohamed Zul Fadhli, pasukan debat UM dianggotai Azri Zahier Azmi, Wan Nur Izzati Wan Hanapi dan Khairul Asyraf Ahmad.

Sementara itu, ketua pasukan debat Usim, Mohd Hariri Mohamad Daud berkata, pasukannya tetap berbangga kerana berjaya mara ke peringkat akhir dan menjadi naib johan dalam percubaan kali pertama mereka mewakili universiti pada pertandingan itu.

Katanya, walaupun menaruh harapan untuk menjadi johan, mereka akur dengan kelebihan pasukan debat UM yang sudah biasa bertanding pada peringkat akhir dan berjaya memberi persembahan meyakinkan pada pertandingan kali ini.

“Disebabkan ini pengalaman pertama saya serta rakan, Mohd Zaini Othman, Ummu Umairah Azahari dan Mohd Razlan Ahmad, ada kala kami agak gugup di pentas. Bagaimanapun, kami sangat berpuas hati kerana sudah melakukan yang terbaik.

“Kami akan perbaiki kelemahan terutama daripada sudut keyakinan serta kelancaran apabila berhujah pada pertandingan lain pada masa depan. Sebagai tapak permulaan, ini pengalaman berharga bagi kami meningkatkan kemahiran dalam bidang pidato,” katanya.

Pada pertandingan diadakan di Dewan Besar Ikim itu, peserta debat dari UM, Azri Zahier Azmi yang mendapat markah keseluruhan 78.5 peratus diumumkan sebagai pendebat terbaik mengalahkan lima pendebat lain.

Beliau yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah memberitahu, beliau tidak menjangkakan namanya akan diumumkan apabila tersasul ketika berhujah dan menyangka ketua sepasukan, Mohamed Zul Fadhli yang bakal dipilih sebagai pendebat terbaik.

Bagaimanapun katanya, mungkin tindakan pantas secara berdiplomasi dengan memohon maaf yang diambil menutup kesilapan dilakukan membuatkan ketiga-tiga hakim mengabaikan fakta itu lalu rezeki berpihak kepadanya.

“Memang saya tidak mengharapkan diumum sebagai pendebat terbaik kerana ini kali pertama saya masuk pertandingan. Tambahan pula, saya ada buat kesilapan. Tetapi saya bersyukur dan ini menguatkan azam saya menguasai kemahiran berdebat,” katanya.

Beliau yang kini membuat persiapan mewakili UM pada pertandingan Debat Perdana pada bulan depan, berterima kasih kepada rakan sepasukan serta pensyarah yang banyak membantu serta memberi dorongan.

Pada pertandingan peringkat akhir, penentuan tempat ketiga serta keempat menemukan pasukan debat Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang mendebatkan tajuk Kesepakatan Adalah Kekuatan Bagi Negara Islam Bukan Kekayaan.

Pasukan UTM yang dianggotai Mohd Sharifuddin Nazri, Sakinah Al-Mubarakah Mohamad, Mohd Amran Mohd Yusof dan Nabilah Kasim berjaya mengalahkan pasukan debat UIAM yang dianggotai Jefri Khairil Zabri, Nor Azizah Yusof, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Hafizah Abd Latif.

Pertandingan Debat Kefahaman Islam antara IPT anjuran Ikim yang bermula pada 2003 adalah cetusan idea Pengerusi Ikim, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid. Sejak itu, pertandingan yang mendapat tajaan Yayasan Al-Bukhary menjadi acara tahunan Ikim.

Tujuan penganjuran pertandingan debat itu adalah untuk memberi ruang pelajar IPT berdebat berkenaan isu berkaitan dengan tamadun Islam menggunakan ayat al-Quran dan sunnah, selain menggalakkan mereka melakukan penyelidikan lebih mendalam untuk meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

No comments: