Monday, January 28, 2008

Tajdid Iman: Usah tertipu bisikan syaitan, syahwat

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

Orang beriman perlu takut, bimbang jika terpedaya dengan amalan sendiri

TIDAK dapat dibayangkan betapa sedihnya jika cinta ditolak, ketaatan dipersoalkan, kesetiaan diragui. Seseorang akan merana dan mungkin boleh menjadi gila apabila kekasih hati tidak menerima ketulusan cintanya.

Bagaimana pula keadaan seorang yang menghadap Allah SWT dengan keyakinan bahawa Allah menerima cinta dan ketaatannya, tetapi rupanya ia ditolak? Dia membawa banyak amalan yang berat timbangannya di akhirat dan ketika tiba masa perhitungan, semua kebaikan itu lenyap tidak berbekas sedikit pun.

Lalu hamba itu menangis sambil menyesali diri: "Wahai Tuhanku, beginikah balasan mempermain-mainkan cinta-Mu. Di mana pahala sembahyangku, puasa dan hajiku, sedekah dan zakatku? Semuanya sirna belaka, adakah aku tertipu oleh amalanku sendiri?"

Perkara yang semestinya ditakuti dan dibimbangi orang beriman ialah jika Allah tidak menerima amal kebaikannya. Hal itu pernah dicetuskan Saidatina Aisyah ketika bertanya mengenai ayat yang bermaksud: "Dan mereka yang mengerjakan perbuatan dengan hati yang takut." (Surah Al-Mukminun, ayat 60).

Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah mereka yang suka minum khamar atau mencuri?" Sabda Baginda SAW: "Bukan itu wahai puteri Al-Shiddiq, melainkan mereka adalah orang-orang yang berpuasa, solat dan menunaikan zakat tetapi mereka merasa takut jika amal mereka tidak diterima." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Ada beberapa sebab manusia tertipu oleh amalannya sendiri, antaranya:

l Senang melupakan dosa yang dilakukan dan suka menyebut amal kebaikan. Kita susah sungguh untuk mengakui jika kita berdosa kepada Allah, apatah lagi kepada sesama manusia, ayah dan ibu, suami atau isteri, anak dan sesiapa yang berada di sekeliling kita. Biasanya ada banyak alasan untuk menutupi dosa supaya terlihat seolah-olah perbuatan itu bukan suatu dosa.

Ada yang beranggapan wajar dia beralasan bahawa dia tidak ada masa untuk menyembah Allah kerana kekayaannya dan tanggungjawabnya terhadap pekerjaan yang diamanahkan. Tetapi mengapa Nabi Sulaiman yang amat jauh lebih kaya dan tinggi pangkatnya hingga menjadi Pengurus dan Pentadbir seluruh bangsa manusia, jin dan haiwan boleh mendekatkan diri kepada Allah dan ada masa untuk ibadat?

Yang lebih teruk lagi ialah orang sengaja melakukan kejahatan dengan alasan, tak apalah, bukankah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Apakah dia pasti bahawa dirinya layak dikasihani oleh Allah?

Bukankah Allah juga Maha Adil lagi Maha Perkasa membalas segala perbuatan hamba-Nya secara yang setimpal? Jawapan yang senang bagi insan yang bodoh dan tertipu oleh kehendak tipu hawa nafsunya sendiri.

Biasanya, orang yang tidak dapat menghidu kebusukan dosa dan keburukan hatinya tidak merasai kesakitan menelan jarum kejahatan. Ini berpunca daripada diri yang terlalu yakin dengan kehebatan ibadat yang dilakukan.

Dengan beralasan, tak apa, malam tadi sebelas rakaat sembahyang sunat sudah dibuat, maka pagi ini berubah menjadi samseng jalan raya kerana bangun kesiangan dan terlambat pergi ke pejabat. Sepanjang jalan dia disumpah dan dimaki orang ramai kerana sikap membuta tuli ketika memandu.

Padahal Rasulullah SAW sudah berwasiat supaya kita menjaga hak orang lain di jalan raya. Sabda baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berjalan di masjid atau pasar, sedang dia membawa anak panah, hendaklah dia memegang hujung anak panah itu, supaya ia tidak mengganggu seorang Muslim lain kerananya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cubalah hidu dosa yang kecil jika kita sudah menjaga diri daripada dosa besar. Bukankah yang besar bermula daripada yang kecil? Saat mengumpat seseorang, kita tidak perasan bahawa umpatan itu boleh menyebabkan kezaliman yang besar atau mungkin penganiayaan terhadap imej diri bahkan jiwa orang diumpat. Telah banyak pertumpahan darah berlaku berpunca daripada umpatan dan fitnah lidah yang dilakukan segelintir manusia di tepi jalan atau di kedai kopi, hinggalah kini merebak di alam siber.

Meremehkan dosa kecil ini juga boleh merosakkan kebahagiaan sebuah keluarga hingga masyarakat dan negara boleh punah kerananya. Disebabkan suami yang kasar dan kedekut, isteri pula kurang bersyukur dan akhirnya memberontak, mengakibatkan perkembangan emosi anak terganggu, dan natijahnya keluarga berpecah belah. Anak terabai dan rosak oleh pergaulan di luar rumah.

Perumpamaan dosa kecil itu bagaikan kayu api yang bertimbun, akhirnya ia membakar diri. Seorang alim pernah berkata: "Sesungguhnya dosa-dosaku meninggalkan bekas negatif kepada binatang tungganganku dan ahli keluargaku."

l Yang paling menakutkan bagi orang mukmin selain dosanya ialah berbangga dengan amal kebaikan hingga menimbulkan perasaan riak. Sungguh ramai tertipu kerana penyakit riak yang menyusup masuk ke dalam hati.

Tanda riak menurut al-Imam al-Nawawi ialah kamu melakukan amal soleh kerana manusia dan tanda ujub ialah kamu meninggalkan amal kerana manusia, sedangkan ikhlas itu ialah jangan kamu melakukan kedua-duanya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa manusia yang akan dihumbankan ke dalam neraka adalah tiga jenis yang melakukan amal soleh iaitu: "Seorang alim, seorang yang suka bersedekah dan orang yang mati syahid ketika berperang." – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Punca amal mereka ditolak dan mereka masuk neraka ialah kerana angkara penyakit riak yang menghapuskan segala kebaikan dalam kitab catatan amalan mereka. Disebabkan ada maksud lain selain keredaan Allah, apa yang diusahakan untuk ibadat akan berakhir dengan penolakan.

Kemudian, sebab tertipu manusia ialah memandang kepada orang yang di atas dalam hal dunia dan memandang kepada orang yang di bawah dalam hal akhirat. Menjadi suatu keseronokan bagi dirinya apabila boleh mengatasi orang lain dalam hal keduniaan tetapi untuk akhirat dia pula berbangga dengan amalan yang sedikit kerana duduk bersama orang lebih teruk imannya berbanding dirinya.

Amalannya bergantung kepada keadaan sekeliling. Jika teman duduknya penipu yang tamakkan harta orang dia pula terikut-ikut mahu cepat kaya dengan jalan yang haram. Dalam hal akhirat pula banyak alasan diberi untuk menjimatkan amal. Tengok kawan tak solat rasa bangga sebab diri sudah melakukan solat, tetapi lupa sudahkah dia mencapai tingkat khusyuk yang sempurna? Dia sama sekali tidak mempertingkatkan ilmu solatnya kerana berasa diri lebih baik daripada kawannya itu.

Dalam hal dunia, kita boleh menemukan beberapa sifat orang kaya. Ada yang dalam kategori orang kaya baru, mungkin belum mampu bersabar menerima ujian hartanya sehingga ada sisa ujub dan takbur yang melekat pada peribadinya. Entahlah sampai bila orang ini boleh dimasukkan dalam kumpulan orang kaya lama yang lebih matang dan boleh mengawal nafsunya untuk bermegah.

Hakikatnya tidak salah apabila semangat untuk menjadi kaya raya itu berkobar-kobar dalam hati, bukankah Othman bin 'Affan menyerahkan beratus unta dengan muatannya sekali yang berupa makanan asasi kepada rakyat miskin ketika berlaku musim kemarau di Madinah. Dunia itu syurga bagi orang mukmin jika diperoleh dengan iman dan dibelanjakan dengan takwa.

Kaya atau miskin, yang paling mustahak adalah jangan pernah tertipu oleh syahwat dan syaitan kerana kesilapan lalu adalah pengajaran berharga untuk tidak diulangi kembali. Tetaplah teguh dan istiqamah pada jalan-Nya serta sentiasa waspada terhadap amal soleh yang dikerjakan.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: