Friday, January 11, 2008

Bicara Kalbu: Dibenci jiran, rakan sekerja kerana kesilapan lalu

Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim.
www.bicarakalbu.blogspot.com

SAYA pernah melakukan kesilapan di tempat kerja sehingga kebanyakan rakan sekerja mula memandang benci, walaupun saya sudah mengakui kesilapan itu dan memohon maaf terhadap individu berkenaan. Saya juga sudah bertaubat.

Namun, rakan di tempat kerja dan jiran tetap menunjukkan sikap membenci, malah setiap mereka yang mendekati saya seolah-olah dihasut supaya jangan berbaik dengan saya. Akhirnya saya kehilangan kawan.

Peristiwa itu berlaku tujuh tahun lalu dan selama tempoh itu saya dipulau dan dipandang sepi, tetapi saya menguatkan semangat untuk tabah menghadapinya. Namun, apa yang membimbangkan, masalah itu memberi kesan kepada masa depan kerjaya saya kerana saya seolah-olah dihalang memajukan diri dan memegang jawatan tinggi.

Kadangkala saya terfikir untuk bertukar kerja, tetapi masih terikat dengan kontrak. Saya bercadang mengumpulkan wang untuk memulakan perniagaan satu hari nanti. Saya harap puan dapat memberikan pandangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.

Ruzi,
Selangor.

Saya terharu dan bersimpati dengan apa yang dilalui saudari. Tindakan saudari bertaubat dan meminta maaf adalah satu usaha yang murni. Apa yang berlaku selama tujuh tahun menunjukkan saudari seorang yang tabah dan berhati mulia.

Apa yang boleh saya cadangkan adalah supaya saudari sentiasa bersangka baik sesama manusia, berfikiran positif dan berusaha menukar masalah kepada peluang dengan menangani masalah secara bijaksana.

Gunakan pendekatan beramal dengan amal soleh dan mencegah kejahatan dengan kebaikan seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya dibanding orang-orang yang berseru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Tidak sama amal kebajikan dengan keburukan. Tolaklah (keburukan itu) dengan perbuatan yang lebih baik (bijaksana). (Jika kamu lakukan demikian), maka orang yang bermusuhan dengan kamu akan menjadi akrab.” (Surah Al-Fussilat, ayat 33-34)

Kehilangan kawan adalah sesuatu yang pahit. Cuba cari ramai kenalan baru yang dapat menerima saudari dengan lebih baik dan bersikap terbuka. Saudari boleh menyertai persatuan kebajikan atau menghadiri majlis ilmu di masa lapang. Menyertai aktiviti yang sihat begini bukan saja membuka ruang untuk mendapat kenalan malah akan meningkatkan keyakinan diri.

Mengenai cadangan untuk berpindah tempat kerja atau berniaga, pada pendapat saya adalah satu cita-cita yang boleh menjadi alternatif yang baik. Apa pun seeloknya saudari menunggu sehingga tamat kontrak kerana bimbang implikasi undang-undang yang mungkin akan merumitkan masalah.

Jika saudari minat berniaga, saya mencadangkan saudari supaya menyertai persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti perniagaan. Ini membolehkan saudari meneroka potensi diri dan peluang perniagaan yang ada serta melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan.

Sebagai seorang usahawan, secara peribadi saya berpendapat berniaga adalah satu kerjaya yang mencabar tetapi menyeronokkan, memberi kepuasan dan membuka banyak ruang untuk kita berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Apa pun, saudari perlu membuat perancangan dan persediaan rapi terutama daripada segi masa, kewangan dan kekuatan diri. Membuat perubahan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Berhijrah dengan niat yang suci akan membawa keberkatan dan kerahmatan Allah.

Saya yakin saudari akan dapat menangani masalah ini dengan penuh kesabaran. Moga saudari Ruzi berjaya dalam kerjaya, keluarga dan sentiasa tenang menghadapi hari mendatang.

Jawapan disediakan usahawan Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad dengan kerjasama Wanita Jim. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: