Friday, June 13, 2008

Amalan berjimat asas kebahagiaan keluarga, kukuh ekonomi negara

Oleh Mohd Shukri Hanapi

KESAN kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian ketika ini, boleh dikatakan hampir seluruh masyarakat mula merancang serta memikirkan cara berjimat cermat melalui perbelanjaan berhemah.

Amalan berjimat cermat sepatutnya tidak hanya diamalkan ketika berlaku kenaikan harga minyak atau barang saja, tetapi seharusnya diamalkan sepanjang masa dalam kehidupan seharian.

Islam menganjurkan umatnya supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan. Ia menjadi asas kesejahteraan hidup dan kekukuhan ekonomi negara. Oleh itu, Islam mengharapkan setiap penganutnya supaya berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaan.

Islam sama sekali melarang umatnya membazir kerana ia adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Sesungguhnya syaitan amat suka kepada orang yang boros dan membazir.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah (daripada kalangan) saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya (Allah)." (Surah al-Israk, ayat 27)

Sayyid al-Qutb dalam Kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas mentafsirkan pembaziran itu dengan berbelanja pada tempat tidak wajar atau secara yang tidak diharuskan oleh Allah.

Ia bermakna walaupun sedikit harta dibelanjakan, jika bukan pada tempatnya yang wajar, maka ia tetap dikira sebagai membazir. Sebenarnya, banyak atau sedikit itu bukan menjadi ukuran kepada perkiraan membazir atau tidak membazir dalam sesuatu perbelanjaan, tetapi keutamaan yang diambil kira ialah tempat dan di mana ia dibelanjakan.

Oleh demikian, amalan berjimat cermat yang dianjurkan Islam kepada umatnya itu semata-mata untuk mengawal perbelanjaan supaya tidak digunakan pada perkara tidak diizinkan syarak. Jika soal pembaziran tidak ditegah Islam, nescaya pembaziran akan terus berlaku dan langkah ke arah berjimat cermat yang diharapkan itu tidak akan memberikan sebarang erti lagi.

Budaya berbelanja secara berlebih-lebihan semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat hari ini. Ia bukan saja berlegar di sekitar kehidupan golongan berpendapatan tinggi, tetapi juga golongan berpendapatan sederhana dan rendah sehingga sanggup berbelanja secara berlebihan di luar kemampuan mereka semata-mata untuk hidup mewah.

Ukuran perbelanjaan dalam Islam ialah kesederhanaan kerana kesederhanaan itulah panduan yang membataskan antara keperluan hakiki, pembaziran dan antara kemurahan hati serta kebakhilan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah perbelanjaan (yang sebetulnya) itu di tengah antara yang demikian (membazir dan kedekut)." (Surah al-Furqan, ayat 67)

Sesungguhnya pembaziran itu bukanlah semata-mata dalam soal penggunaan wang dan harta benda saja. Menggunakan masa dan menghabiskan umur kita dalam perkara sia-sia juga dianggap membazir. Begitu juga dalam soal menggunakan bahan dan alat tenaga yang perlu diambil perhatian.

Marilah sama-sama kita merancang dan berazam untuk berjimat cermat semoga Allah memberkati kehidupan kita. Harta kita miliki sebenarnya hak Allah yang dipinjamkan. Kita hanya 'pengurus' yang pastinya akan ditanya dari mana harta peroleh dan ke manakah dibelanjakan harta itu.

Janganlah kita menganggap harta dimiliki itu sebagai milik mutlak dan membelanjakan sesuka hati, apatah lagi membelanjakan harta dalam perkara maksiat serta kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampaui batas." (Surah al-Israk, ayat 26)

INTI PATI

Amalan berjimat

Islam menganjurkan umatnya supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan. Ia menjadi asas kesejahteraan hidup dan kekukuhan ekonomi negara. Oleh itu, Islam mengharapkan setiap penganutnya supaya berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaan.

Islam melarang umatnya membazir kerana perbuatan keji daripada amalan syaitan. Sesungguhnya syaitan amat suka kepada orang yang membazir.

Harta kita hak Allah yang dipinjamkan. Kita hanya 'pengurus' yang akan ditanya dari mana harta peroleh dan ke manakah dibelanjakan harta itu.

No comments: