REZEKI HALAL: Rakyat Malaysia perlu tingkatkan usaha dan kemahiran untuk keluar daripada kemelut ekonomi. - Gambar hiasan
Masyarakat kena janji laksana kemurnian dalam membuat sesuatu pertimbangan
SERANGAN panik suasana ekonomi sekarang membingungkan dan sukar dijangka. Kemunasabahan membuat pilihan adalah perkara penting dalam kehidupan manusia bermuamalah.
Memilih dan mengambil tindakan memerlukan kadar pertimbangan tinggi, terutama perkara membabitkan perkara besar melanda negara dalam persoalan kenaikan harga.
Dengan memahami kedudukan harga pasaran minyak dunia, memang tidak dapat dinafikan kenaikan terpaksa ditelan walaupun pahit.
Persoalannya, di mana hala tuju kita dalam mengatasi permasalahan ini?
Kejutan kenaikan harga memberi kesan menyakitkan kepada masyarakat dan negara.
Nilai ringgit diapungkan dan nilai tunai semakin menyusut. Kebijaksanaan dalam berbelanja menjadi keperluan bukan lagi kelebihan.
Wang dibelanjakan sama ada untuk labur atau lebur, amat penting ditentukan sebelum perbelanjaan dibuat. Kemerosotan nilai tunai dan tabungan secara tidak langsung menjejaskan kuasa beli dan taraf hidup rakyat.
Akibat terjejasnya kemampuan dan sikap berhati-hati berbelanja menyebabkan ekonomi mengalami kelembapan dan boleh membawa kepada kesan kemerosotan sekiranya tidak ditangani dengan bijak.
Walaupun pengeluar minyak, Malaysia tidak boleh mengawal harga minyak kerana terdedah kepada urusan jualan pada pasaran minyak antarabangsa dan kaedah agihan kepenggunaan hasil minyak diamalkan.
Sejak beberapa tahun lalu, harga minyak mengalami kenaikan 400 peratus. Kenaikan yang pada asasnya boleh dijangkakan dan kedudukan negara sebagai pengimport barang dalam dolar Amerika tidak wajar mengambil risiko mengapungkan ringgit.
Kepekaan kepada keupayaan ringgit dan pengajaran kemerosotan ekonomi pada 1997 perlu dipertimbangkan.
Kita akan mengalami masalah dalam urusan import-eksport akibat tindakan ini, berbanding membuat tambatan ringgit sebelumnya. Tambahan pula, dengan pendapatan perkapita Malaysia yang lebih rendah berbanding Eropah dan Amerika Syarikat, tempiasan kenaikan harga minyak secara mendadak dengan kadar tertinggi kepada ekonomi dalaman negara semakin memburukkan keadaan.
Secara kasar kita lihat, kenaikan harga minyak yang berlaku secara mendadak dengan kadar begitu tinggi umpama bendungan yang pecah secara mengejut dan memberi limpahan dua kesan langsung, iaitu suasana ekonomi menjadi panik dan manusia bertindak secara mengejut serta memberi kesan langsung lebih buruk berbanding sekiranya kenaikan itu dikawal dan berperingkat.
Kuasa beli pengguna dengan pendapatan sedia ada akan merosot. Kenaikan menyeluruh harga barang mengakibatkan inflasi melanda negara.
Pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Projek pembangunan sedia ada perlu dinilai semula dan kos sedia ada akan meningkat.
Penyedia perkhidmatan dan barang akan menaikkan harga bagi mengimbangi kenaikan harga bahan.
Harga bahan mentah perusahaan pemakanan yang dihadapi pengusaha, perusahaan pembangunan seperti besi dan simen yang mengalami ketidaktentuan kebelakangan ini juga akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara.
Kos langsung dan tidak langsung akibat daripada kenaikan ini akhirnya dipindahkan kepada pengguna kerana kepenggunaan yang diamalkan dalam masyarakat sudah sebegitu sejak dari dulu lagi. Kemampuan mempertahankan taraf hidup sedia ada menjadi persoalan.
Kesan iktisadi, kemasyarakatan dan siasah akhirnya mengubah negara kepada bentuk baru. Walaupun beberapa langkah diambil oleh pihak berkuasa, tindakan ini tidak mampu menghilangkan terus kesan kenaikan ini.
Lebih banyak perkara luar biasa perlu difikirkan untuk menghadapi masalah ini pada semua peringkat, bukan sekadar perlu bijak berbelanja tetapi meningkatkan keupayaan teknologi sedia ada.
Lenggok lama budaya kerja dan pentadbiran perniagaan tidak lagi berkesan. Fahaman makan gaji bagi sesetengah sektor perlu terarah kepada faham keusahawanan.
Seseorang pekerja perlu memikirkan mereka adalah penyedia perkhidmatan kepada majikan dengan mempertaruhkan seluruh kemampuan diri untuk memberi perkhidmatan terbaik.
Dengan cara ini, kemampuan pengeluaran terkumpul setiap perseorangan dalam sesebuah badan akan lebih menjuruskan kepada penyediaan perkhidmatan atau barangan dengan lebih berkesan.
Peluang pekerjaan kepada siswazah atau tenaga kerja baru mungkin menjadi perbincangan dalam masa terdekat kerana tindakan mengawal perbelanjaan dengan mengehadkan pengambilan pekerja.
Cetusan baru perlu difikirkan bagi menampung lambakan dan bendungan kemasukan.
Perusahaan pembangunan teknologi perlu diberi tumpuan terutama teknologi yang membabitkan penggunaan bahan api.
Sumber tenaga gantian perlu difikirkan pada peringkat penggunaan, bukan sekadar teori.
Sekiranya kita mampu mengeluarkan jentera yang menggunakan bahan gantian, usaha bukan saja perlu membuktikan ia boleh diguna pakai tetapi membawa faedah kepada masyarakat.
Oleh itu, sekiranya ada saintis yang mempunyai kemampuan dan berdaya maju, unsur seperti perbezaan fahaman perlu diketepikan demi kemaslahatan bersama.
Bagi pengguna pula, penjenisan perbelanjaan cenderung lebur seperti perbelanjaan berdasarkan kemahuan semasa semata-mata hendaklah dikurangkan, manakala tumpuan perbelanjaan berbentuk labur seiring dengan keperluan perlu dititikberatkan.
Oleh kerana kemahiran pengurusan kewangan dan faham keusahawanan dalam setiap bidang menjadi keperluan, badan berkenaan perlu menganjurkan usaha peningkatan kemahiran secara dalaman atau mengunakan kepakaran luar.
Perkara ini penting terutama bagi memastikan semangat warga kerja dapat dikekalkan atau dipertingkatkan.
Bukan mustahil kesan tekanan kewangan boleh menjejaskan semangat kerja dan kesihatan.
Penyakit seperti gangguan mental akibat tekanan ekonomi seperti berlaku dalam masyarakat Jepun dan Amerika Syarikat diharap tidak melanda negara.
Hala tuju negara perlu dilihat dari sudut pandangan kemaslahatan syariah dengan mengembalikan norma sejagat sebagai aturan nilai baru berbanding kebergantungan mutlak kepada nilai kebendaan.
Masyarakat dan kerajaan perlu berjanji kepada diri sendiri akan mengangkat nilai murni sebagai landasan dalam membuat pertimbangan ekonomi mengatasi nilai lain sebagai luar biasa dalam usaha memulihkan keadaan semasa.
Kealpaan daripada berubah secara mendadak yang didesak keadaan dihadapi bakal memburukkan lagi suasana sedia ada.
No comments:
Post a Comment