SERUAN azan yang berkumandang menyeru serta mengingatkan umat Islam menunaikan kewajipan solat bukan sekadar kata-kata pujian kepada Allah dan tuntutan terhadap umat Islam melakukan apa yang disyariatkan.
Sebenarnya azan mempunyai rahsia tersendiri dan keagungan azan dibahaskan dalam buku Keagungan Azan hasil terjemahan Arifin Ladari yang membicarakan hukum azan dan iqamah serta fadilat seruan yang diperdengar apabila tiba waktu solat.
Walaupun ada perselisihan mengenai waktu disyariatkan azan kerana ada pendapat menyatakan azan disyariatkan seiring kefarduan solat, pada malam Isra' dan ketika Muslimin datang ke Madinah, yang penting ialah kaifiatnya iaitu memudahkan umat Islam mengetahui masuk waktu solat fardu.
Sementara itu, banyak fadilat dan pahala yang menjelaskan keagungan azan daripada penemuan hadis sahih antaranya pahala yang disediakan kepada muazzin, Allah mewajibkan syurga kepada orang yang azan selama 12 tahun dan kehebatannya mengusir syaitan.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila diserukan azan untuk solat, syaitan akan lari bertempiaran sambil terkentut-kentut sehingga tidak mendengar suara azan, selepas azan selesai ia kembali lagi, sehingga apabila diiqamahkan solat ia akan lari bertempiaran lagi, sehingga apabila selesai iqamah ia kembali lagi."
Begitu juga hakikat diampunkan dosa dan dimasukkan syurga kepada sesiapa yang melaungkan azan serta iqamah di tempat jauh. Malah, diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Imam memberi jaminan dan muazzin diberi kepercayaan. Ya Allah berilah petunjuk kepada imam dan ampunilah muazzin."
Buku Keagungan Azan turut menjelaskan makna kalimah azan, syarat azan serta hukum melagukan azan. Turut dibahaskan, adakah wanita disyariatkan azan dan iqamah selain apa yang perlu diucapkan ketika mendengar azan.
Dikisahkan juga dalam buku ini mengenai muazzin Nabi SAW terdiri daripada Bilal bin Rabah yang memulakan seruan azan, Amru bin Ummi Maktum al-Qurasyi yang buta, Sa'ad al-Qaraz Maula'ammar bin Yasir dan Abu Mahdzurah atau namanya Aus bin Mu'ir al-Jumhi.
Bab tiga buku ini, Fatwa Azan dan Iqamah menampilkan soal jawab berkaitan azan menurut fatwa Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Al-Albani, Al-Lajnah Ad-Daimah dan Ibnu Jabrin.
Kesalahan dan bidaah azan juga dimuatkan seperti kesalahan muazzin pada kalimah azan daripada sebutan huruf, memanjangkan huruf tertentu serta menambah lafaz saidina ketika menyebut syahadat azan.
Malah, disebabkan kejahilan dan kekurangan ilmu, ada muazzin meninggalkan sunat azan seperti meletakkan jari pada telinga dan ada yang mempercepatkan lafaz azan hingga menyulitkan pendengar mengikuti dan menjawab atau mengulanginya.
Justeru, memiliki buku Keagungan Azan dapat menambah ilmu mengenai keagungan azan. Walaupun muazzin dilihat mereka yang sewajarnya menjadikan buku ini sebagai rujukan, setiap umat Islam digalakkan menambah ilmu pengetahuan termasuk hal berkaitan azan dan iqamah.
Judul: Keagungan Azan
Penulis: Dr Sayyid Husain Al-Affani
Penterjemah: Arifin Ladari
Penerbit: Jasmin Enterprise
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM16.50
Wednesday, June 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment