TANDA KASIH: Meraikan ibu bapa bukti anak menghargai jasa dan pengorbanan orang tua mereka. - Gambar hiasan
Anak taat, salih gambaran kejayaan ibu bapa melahirkan keluarga cemerlang
BERADAB sopan kepada ibu bapa adalah wajib pada hukum agama dan budaya. Ini adalah rukun dan tiang seri masyarakat yang penting serta menjadi ibu segala adab kesopanan.
Ini semua dijelaskan dalam maksud hadis Rasulullah SAW yang menyebut, 'syurga anak di bawah tapak kaki ibunya' dan dalam riwayat lain, 'dirimu sendiri serta hartamu semuanya itu adalah untuk ayahmu'.
Oleh itu, betapa luas sekalipun pergaulan seseorang itu, betapa masyhur namanya, kaya-raya hidupnya, orang itu belum tentu dinamakan seorang yang beradab sopan jika dia belum menunjukkan rasa hormat, mengasihi, memuliakan, serta berbakti kepada ibu bapanya.
Pergaulan dengan ibu bapa juga mempunyai adab tertentu yang mesti kita patuhi. Adab sopan dengan ibu bapa ketika muda antaranya adalah;
Anak mestilah mendengar nasihat ibu bapa ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Sebagai anak juga kita tidak boleh bercakap kasar dan meninggikan suara kepada kedua ibu bapa.
Sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu bapa. Menjaga kebajikannya seperti makan minum dan kesihatan ibu bapa.
Anak tidak seharusnya menyanggah atau menentang ibu bapa. Layani dan hormatlah ibu bapa dengan bahasa yang baik dan bersopan santun. Ini untuk mengelakkan diri daripada menyakiti hati ibu bapa.
Hanya satu perkara yang boleh ditentang ialah jika ibu atau bapa itu menentang ajaran agama Allah. Tetapi ini jarang-jarang berlaku.
Jangan sekali-kali bersikap keras, kurang ajar, marah kepada ibu bapa. Gunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan kedua-dua ibu bapa.
Jangan retakkan perhubungan mesra dan kasih sayang dengan kedua-dua ibu bapa.
Jika ibu bapa sudah tua dan uzur jagalah kebajikan dan kesihatannya.
Anak tidak patut menghantar ibu atau bapa mereka yang uzur ke rumah orang tua. Ini bagi mengelakkan perasaan dan jiwa ibu bapa yang sudah tua rasa tersisih atau dipinggirkan.
Menjaga dan melayani ibu bapa yang sudah tua dan uzur dengan sabar serta tabah. Gembirakan ibu bapa dan berikan kebahagiaan dijaga dengan baik oleh anak sendiri.
Firman Allah mengenai tanggungjawab dan kewajipan anak terhadap ibu bapa yang bermaksud:
"Dan Kami (Allah) mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya); dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman, ayat 14)
Daripada firman itu Allah memperincikan beberapa yang wajib disedari iaitu anak diwajibkan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan manusia wajib bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya.
Jika ibu bapa sudah meninggal dunia, beberapa perkara kebaikan dan adab baik untuk ibu bapa antaranya ialah:
Berdoa dan beristighfar memohon Allah kurniakan keampunan supaya dimasukkan mereka ke dalam golongan orang yang soleh.
Menyempurnakan perjanjian, jika ibu bapa mengikut sebarang perjanjian dengan orang lain.
Memuliakan sahabat handai si mati. Anak hendaklah menghormati dan memuliakan sahabat handai si mati seperti yang dilakukan oleh ibu bapa ketika hayat mereka.
Menyambung silaturahim kepada orang lain yang tidak sempat disambung oleh si mati sebelum meninggal dunia.
Hanya orang yang mempunyai anak akan tahu betapa cinta ibu dan bapa kepada anaknya. Mereka tidak mengharapkan balasan daripada anaknya. Balasan untuk ibu bapa daripada anak ialah sentiasa melakukan amal ibadat dan bersopan santun dalam kehidupan seharian.
Hadis Rasulullah SAW ada menyebut: "Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya."
Banyak kata-kata mengenai anak dan ibu bapa antaranya; "Anak yang baik bukan lahir daripada ibu bapa yang tidak mengenal orang tuanya. Anak adalah gambaran ibu bapanya. Orang tualah yang membentuk hitam atau putih peribadi seseorang anak itu, seperti sehelai kain putih".
Adab sopan kepada ibu bapa ini hendaklah dilakukan ketika ibu bapa masih hidup supaya ibu bapa dapat merasakan balasannya. Hal ini akan membentuk modal insan yang dapat menjadikan masyarakat yang kuat dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment