Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Ibu bapa tak fahami fitrah kemanusiaan digalak kembali ke pangkal jalan
KEBELAKANGAN ini, kita didedahkan dengan kes penjualan bayi yang didalangi sindiket tertentu membabitkan banyak pihak termasuk klinik perubatan, semata-mata mengejar pendapatan lumayan.
Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan fikiran untuk melakukan sesuatu. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan membawa pulangan material yang boleh membantu mereka meneruskan kehidupan.
Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 yang bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa."
Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan mengharapkan kurniaan itu. Justeru, pasangan ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran." (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy)
Jelas daripada mafhum ayat dan hadis di atas, Allah begitu menitikberatkan mengenai penjagaan anak oleh pasangan ibu bapa kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti sekiranya mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga anak yang diamanahkan Allah itu.
Kini, segelintir pasangan suami isteri bukan saja gagal melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diwajibkan agama, bahkan mereka sanggup menjual anak sendiri atas sebab kewangan dan kepentingan diri sendiri.
Apakah akan terjadi terhadap kesihatan, keselamatan dan paling mustahak masa depan bayi yang ditimpa nasib malang ini?
Mereka memperlakukan anak seperti barangan elektrik, perabot atau makanan yang boleh dijual beli dan dieksport semata-mata kerana wang. Barangkali ibu bapa menjual bayi yang mereka kandung selama sembilan bulan sepuluh hari ini sudah hilang naluri keibuan dan kemanusiaan.
Mereka sanggup menjadi kilang untuk menghasilkan anak dan kemudiannya menjadikan anak sendiri sebagai mata pencarian dan pendapatan.
Barangkali si ibu yang diizinkan Allah untuk dapat hamil dengan sempurna ini terlupa kepada nasib ramai lagi wanita yang berkahwin di seluruh dunia tetapi tidak mampu melahirkan anak atas sebab mandul atau kesihatan diri yang tidak mengizinkan.
Berbelas-belas tahun kahwin tetapi masih juga tidak dikurniakan zuriat sebagai penyambung keturunan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." - (Riwayat Bukhari).
Kita yakin, semua rakyat Malaysia berasa cukup sedih dengan kes menjual dan penyeludupan bayi ini. Jika dulu kita hanya digembar-gemburkan dengan penyeludupan beras, rokok, bunga api dan mercun, senjata dan sebagainya, tetapi kini manusia semakin luntur rasa kemanusiaan apabila menjadikan bayi yang tidak mengerti apa-apa sebagai barang untuk diseludup ke merata tempat.
Kejayaan polis dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dalam menangani sindiket penjualan bayi ini amatlah dibanggakan. Moga-moga ia dapat terus dibendung daripada membelenggu situasi hidup manusia sejagat.
Kita meminta semua pasangan suami isteri yang ditakdirkan Allah dapat bergelar ayah dan ibu kepada zuriat yang dilahirkan supaya terhindar daripada melakukan perbuatan terkutuk ini. Sekalipun terdesak dengan tekanan kewangan, amat tidak wajar menjadikan bayi yang dikandung sebagai bahan jualan bagi mengatasi bebanan kewangan kerana Allah menyediakan pelbagai kemudahan pancaindera dan tempat untuk melakukan usaha mendapatkan rezeki.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 36 bermaksud: "Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka."
Dua golongan wanita dan pasangan suami isteri yang selalu dikaitkan dengan isu penjualan bayi yang diseludupkan ini ialah mereka yang tertekan dengan desakan kewangan dan wanita yang melahirkan bayi di luar nikah.
Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Apa guna Allah mengurniakan zuriat jika ia dengan tujuan menjualkan bayi itu kepada orang lain atau sudah terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal zuriat sendiri.
Cuba bayangkan, apakah yang akan terjadi kepada bayi yang dijual dan seludup ini? Agak menghairankan juga kerana sebelum pasangan lelaki dan perempuan diijabkabulkan, mereka mengikuti kursus perkahwinan, yang disediakan pelbagai modul tertentu berkaitan hidup berumahtangga termasuk tanggungjawab suami dan isteri terhadap anak yang bakal dikurniakan Tuhan.
Nampaknya ia sekadar tercatat di buku dan modul, ramai yang hanya mendengar tetapi tidak tahu untuk menghayatinya.
Monday, June 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment