Oleh Masmawi Abdullah
ALANGKAH terharunya menyaksikan nasib malang mangsa kekejaman darah daging sendiri yang sanggup membuang bayi baru dilahirkan. Apalah salahnya bayi berkenaan sehingga dibuang ke dalam tong sampah, di pinggir jalan dan tandas.
Apakah kelahiran tanpa diharap itu menjadi kesalahan yang tidak boleh dimaafkan sehingga bayi menerima hukuman sebegitu kejam.
Apakah hati mereka yang berkenaan tidak pernah terlintas bahawa bayi itu tidak pernah mengharapkan ia dilahirkan.
Hakikatnya kelahiran itu natijah daripada dosa mereka sendiri dan sepatutnya selepas kerap kali jenayah berulang serta pihak bersalah dikenakan tindakan, perkara seperti ini tidak sepatutnya berulang.
Mungkinkah hukuman sedia ada belum memadai atau tidak cukup menakutkan mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu?
Apa yang pasti, punca awal berlakunya pembuangan bayi adalah daripada perbuatan perzinaan kerana penzina malu apabila perbuatan terkutuk mereka terdedah kepada umum dengan lahirnya bayi itu.
Langkah terakhir ialah membuang bayi yang lahir selepas usaha sebelumnya gagal.
Pasangan berzina tidak akan berjumpa doktor atau bomoh untuk menjaga anak dikandung sebaliknya berusaha mendapatkan bantuan pihak berkenaan menggugurkan kandungan bagi mengelak orang lain mengetahui perbuatan maksiat mereka.
Ketika pasangan yang sudah lama berkahwin mengharapkan kehadiran cahaya mata bagi mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang mereka, pasangan yang berzina tanpa rasa berdosa membuang bayi mereka tanpa rasa belas kasihan hingga ada yang menemui maut.
Allah berfirman yang bermaksud: "Harta benda dan anak pihak itu adalah perhiasan hidup di dunia." (Surah al-Kahfi, ayat 46)
Melihat kepada perkembangan semasa yang membimbangkan seperti pergaulan bebas yang menjurus berlakunya hubungan antara lelaki dan wanita di luar ikatan perkahwinan terutama di kalangan remaja, usaha berkesan perlu dilakukan.
Selain didikan agama, pemantauan ibu bapa serta masyarakat, pendedahan mengenai kesan buruk daripada perlakuan zina seperti kelahiran bayi luar nikah dan jenayah jika dibuang ditekankan serta sentiasa diingatkan.
Pada masa sama, perkara yang dianggap remeh tidak boleh dilupakan kerana sekecil-kecil usaha boleh memberi kesan besar jika dilakukan dengan komited dan pengharapan ia akan memberi kebaikan kepada semua.
Begitu juga pandangan ulama seperti tercatat dalam kitab 'Hidayatus salikin' mengenai empat cara yang boleh dilakukan bagi mengelak perbuatan zina iaitu:
Memelihara mata daripada melihat perempuan `hilat'. Maksudnya jangan melihat perempuan yang diharamkan melihatnya.
Memelihara hati daripada memikirkan perempuan `hilat'. Maksudnya jangan khayal kepada perempuan yang diharamkan melihatnya.
Memelihara mulut daripada memakan yang syubhat dan
Memelihara perut daripada sangat kenyang, kerana keempat-empat perkara itu merangsang syahwat.
Walaupun tindakan itu menjurus kepada golongan lelaki tetapi wanita juga bertanggungjawab menjaga diri mereka supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjurus berlakunya maksiat seperti zina.
Bagaimanakah mata dan hati lelaki dan perempuan dapat dikawal daripada saling melihat dan memikirkan keindahan masing-masing jika mereka sering bertemu serta sentiasa bergaul bebas seperti dapat dilihat dalam masyarakat hari ini.
Justeru, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada pergaulan anak mereka selain cuba menyelami kehidupan remaja untuk mengetahui cara terbaik memenuhi kehendak mereka dan pada masa sama menanamkan iman di jiwa anak muda.
Mungkin juga sudah tiba masanya ibu bapa lebih bersikap terbuka membincangkan masalah berkaitan seks terutama dalam menyedarkan anak mereka bahaya atau kesan tidak baik jika terbabit dalam perlakuan di luar ikatan perkahwinan.
Bagi anak yang dilihat sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, hendaklah ibu bapa memudahkan urusan itu bagi mengelak perkara tidak diingini selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Berkahwinlah kamu nescaya kamu mendapat anak-anak. Maka bahawasanya aku bermegah-megah dengan kamu akan segala umat pada hari kiamat."
Saturday, June 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment