BAHASA Melayu dari sudut sejarah dan aplikasinya memperlihatkan dinamika luar biasa daripada penggunaan harian dan kesuburannya sebagai bahasa ilmu. Sejak zaman Melayu Melaka ia menjadi bahasa lingua-franca dan bahasa yang mendukung perkembangan ilmu, agama, perniagaan juga perhubungan.
Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi negara dengan tidak menghalang keperluan bahasa ibunda setiap kaum dituturkan dan tidak pula menyekat penggunaan bahasa Inggeris dan Arab dipelajari serta dikuasai sebagai sumber ilmu dan agama.
Sebagai negara yang sifatnya berbilang kaum, sudah tentu wujud satu keperluan kepentingan bahasa bersifat kebangsaan dan memiliki faktor menyatu yang tinggi. Bahasa Melayu dikanunkan dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara dengan tidak menolak penggunaan bahasa asing yang memberi manfaat ilmu dan pemahaman budaya.
Bahasa Melayu juga dikanunkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Asas perlembagaan dan dasar Bahasa Melayu penting bagi mencorakkan jenis manusia yang diperlukan dalam proses pembangunan negara.
Walaupun jenis masyarakat Malaysia adalah majmuk, tetapi asas komunikasi yang utama, asas penerokaan sumber ilmu dan pendidikan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk semua.
Sikap terhadap kepentingan Bahasa Melayu adalah sesuatu yang asas dalam proses integrasi antara kaum dan membina kesan psikologi pentingnya faktor jatidiri dipertahankan sebagai gambaran jiwa merdeka.
Oleh itu, perancangan pengembangan dan penyuburan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mengukuhkan penggunaannya dalam pentadbiran, pengurusan dan media adalah suatu kewajaran.
Tidak harus timbul rasa rendah diri sehingga ada orang Melayu sendiri merasakan diri tidak kelihatan moden dan kontemporari serta kerdil apabila menggunakan bahasa Melayu.
Kadang-kadang mereka berasa kekok menggunakan bahasa Melayu pada majlis atau tempat tertentu. Ada ketika bahasa Melayu dan bahasa Inggeris digunakan serentak dan menimbulkan kecelaruan pula.
Jika ada orang Melayu tidak yakin dengan penggunaan bahasa Melayu dan dalam masa sama ramai generasi muda bukan Melayu fasih berbahasa Melayu dalam tulisan dan percakapan, ia melahirkan contoh tidak sihat dan mengelirukan.
Amat penting orang Melayu terutama di kalangan pemimpin dan cerdik pandai mempunyai keberanian untuk bercakap dan membuat kajian akademik dalam Bahasa Melayu.
Tidak timbul krisis psikologi bahawa berbahasa Melayu disifatkan sebagai kekampungan. Malah, salah sama sekali dengan bercakap menggunakan bahasa Inggeris memberikan simbol moden, maju dan kontemporari.
Tetapi keupayaan mengungkap ilmu dan pemikiran yang bernas dalam bahasa Melayu adalah gambaran kekuatan bahasa itu sendiri. Ia juga menggambarkan kekuatan psikologi sesuatu bangsa.
Orang Jepun dan Cina umpamanya amat berbangga dengan bahasa ibunda serta kemajuan dalam bidang sains dan teknologi mengalami perkembangan yang pesat. Ia tidak bermakna suatu kesalahan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa ilmu yang lain. Lebih banyak bahasa dikuasai adalah lebih baik. Tetapi sikap terhadap bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara harus dijadikan asas.
Dalam tradisi Islam sikap taksub mengenai sesuatu bahasa tidak timbul. Sebagai orang Islam umpamanya, keperluan menguasai bahasa Arab adalah relevan dengan al-Quran sebagai sumber ilmu dan petunjuk.
Banyak kitab besar Islam di tulis dalam bahasa Arab. Dalam konteks masyarakat Malaysia, penguasaan bahasa Melayu adalah penting. Globalisasi yang sedang mengembangkan pengaruhnya pada hari ini menuntut penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.
Oleh itu, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa asas yang perlu dikuasai dengan baik oleh setiap warga Malaysia adalah penting untuk keperluan integrasi kaum dan menguasai bahasa lain dengan baik hatta bahasa sukuan pun membantu pemahaman budaya antara satu dengan lain.
Oleh itu, kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyatukan masyarakat majmuk seharusnya tidak diungkit kembali. Nilai integrasi menerusi bahasa penting supaya proses bina bangsa terbangun dengan asas jatidiri yang teguh dan kukuh.
Tanpa bahasa rasmi yang dihormati menjadikan akhirnya bahasa lain sebagai bahasa dominan dan ia tidak mencerminkan jiwa sesuatu bangsa. Dalam konteks bangsa Malaysia, bahasa Melayu mempunyai faktor menyatu yang tinggi dan perlu diperkasakan.
Tuesday, June 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment