Oleh Aminudin Mansor
MASALAH dadah masih menjadi musuh utama negara terutama kepada remaja yang menjadi aset modal insan. Dadah juga musuh utama setiap ahli masyarakat yang inginkan keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia.
Dadah adalah bahan psikoaktif yang mempunyai kesan ketara pada sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkah laku dan sebagainya. (Pasukan Petugas Khas Antidadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, 1993)
Kamus Dewan mendefinisikan dadah sebagai bahan ubat-ubatan seperti heroin, marijuana dan sebagainya boleh merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakan berlanjutan (merosakkan, membawa maut dan lain-lain).
Pada masa kini pelbagai jenis dadah yang boleh membunuh antaranya candu (candu mentah), morfin (dadah alkolid yang diperoleh daripada candu merah), heroin, ganja (marijuana), ecstacy, syabu (ice), amfetamin, dan ketamine.
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, jelaslah bahawa dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah meliputi semua kegiatan berkaitan dengannya seperti yang diriwayatkan Tarmizi dan Ibn Majah.
Rasulullah SAW pernah bersabda dan melaknat khamar (dadah). Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat 10 golongan berkaitan khamar. Pertama pembuatnya, kedua pengedarnya, ketiga peminumnya, keempat pembawanya, kelima pengirimnya, keenam penuangnya, ketujuh penjualnya, kelapan pemakan wang hasilnya, kesembilan pembelinya dan kesepuluh pemesannya.”
Larangan pengharaman dadah adalah jelas haram berdasarkan dalil yang diqiaskan kepada arak. Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman itu berdasarkan kepada keterangan nas (al-Quran dan al-Hadis) kerana ia masuk dalam pengertian umum benda memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu ‘memabukkan’ atau kerana terdapat keburukan terhadap individu dan masyarakat.
Dadah boleh menghancurkan rumah tangga, keluarga menjadi porak-peranda, penagih boleh menimbulkan pelbagai kesulitan seperti mencuri, meragut, merompak, membunuh dan merogol kerana kesan akibat penagihan dadah.
Jiwa atau nyawa adalah amanah Allah kepada manusia. Begitu juga akal, keistimewaan ini membezakan cara kehidupan manusia daripada kehidupan makhluk lain.
Di kalangan remaja, banyak faktor bagaimana penagihan dadah itu bermula antaranya pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahu dan ingin mencuba, mencari ketenteraman jiwa yang salah, mencari keseronokan sementara, tidak mengetahui akan bahaya dadah dan kebosanan.
Hal itu boleh dielakkan dengan yakin pada diri, percaya dengan kebolehan, memilih rakan baik akhlaknya, fikirkan risiko akan ditanggung akibat dadah, mendalami ilmu keagamaan, bersukan, mengamalkan cara hidup sihat, meluaskan pengetahuan mengenai gejala dan bahaya penagihan dadah.
Banyak tanda kesan penagihan dadah iaitu jika seseorang pelajar, kehadiran ke sekolah merosot, mutu kerja lemah, tiada disiplin dan prestasi menurun. Selain itu, perubahan sikap dan kelakuan, hilang selera makan, kurang berat badan, mata merah berair dan kuyu.
Penagih dadah juga mempunyai parut atau bekas suntikan di lengan, mengasingkan diri daripada rakan sekolah, rakan sebaya dan keluarga. Mereka juga suka meminjam wang atau mencuri barang untuk membeli dadah.
Sahabat Rasulullah SAW, Mu’az bin Jabal pernah menyatakan, “Tidak ada seorang hamba yang menghadap Allah pada hari kiamat yang tidak akan menggerakkan tapak kakinya sehingga ia ditanya mengenai empat perkara; pertama bagaimana tubuhnya digunakan. Kedua, bagaimana ia menghabiskan umurnya. Ketiga, bagaimana ia mengamalkan ilmunya. Keempat, bagaimana ia mendapat dan membelanjakan hartanya?”
Justeru, kerajaan meluluskan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998), iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan bagi membanteras dadah.
Kesimpulannya, kasih sayang mengikat erat hubungan ibu bapa dan anak. Bimbingan berterusan dan masa yang digunakan bersama keluarga adalah lebih bermakna daripada apa yang anda jangkakan. Semua itu adalah teladan baik untuk mengelakkan daripada anda terjebak dengan bahaya dadah yang boleh memusnahkan kehidupan di dunia dan akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment