Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
MASYARAKAT Islam yang cemerlang ialah yang mengamalkan cara dan amalan hidup mereka selari pengertian akidah sebenar di mana segala urusannya berlandaskan pengabdian diri kepada Allah bukan unsur yang lain.
Pentingnya umat Islam menekankan nilai ini dalam kehidupan dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan demikian saja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." - (Surah Al-An'am, ayat 162-163)
Perlunya seseorang Muslim menjadikan nilai pengabdian kepada Allah sebagai unsur utama dalam kehidupan mereka kerana Islam ialah agama berteraskan akidah atau keyakinan luhur kepada Allah yang Maha Esa, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan kepercayaan kepada qada' dan qadar ditentukan Allah.
Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan insan untuk menunaikan segala kewajipan sudah ditetapkan oleh Allah, sekali gus menjauhkan segala larangan serta tegahan-Nya.
Keperluan ini dirasakan dalam kehidupan hari ini yang penuh mencabar dan didatangi pelbagai ancaman untuk dijadikan sebagai benteng diri, keluarga serta masyarakat supaya maruah dan nilai diri Muslim tidak tergadai.
Sebagai hamba Allah kita seharusnya tidak melupakan tanggungjawab mengukuhkan akidah termasuk mendidik anak mengenal Allah serta menitikberatkan ilmu lain untuk menjadi masyarakat mampu berdaya saing dengan masyarakat dunia hari ini.
Sesungguhnya kita mampu bersaing dengan bangsa lain kerana Islam adalah agama yang tidak menolak kemajuan, malah menggalakkan umatnya mengejar kecemerlangan. Namun, tiada gunanya jika kita cemerlang dalam kehidupan di dunia tetapi tidak mempunyai keimanan terhadap Allah hingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara dilarang Allah.
Jika diimbas kembali sejarah dakwah Rasulullah SAW semasa beliau di Makkah, perkara pertama dilakukan Baginda kepada sahabatnya sebelum diajarkan syariat Allah ialah mendidik perkara bersangkutan akidah dan keimanan.
Perkara itu berterusan sehinggalah akidah sahabat mantap dan kukuh serta mudah menerima apa saja perkara ditetapkan Allah dan Rasul-Nya. Di sini jelas menunjukkan usaha untuk kualiti ummah dan masyarakat khususnya perlu diberi perhatian kerana apabila sudah mantapnya akidah maka mantap keimanan seseorang.
Jika masyarakat tidak menitikberatkan usaha itu, ia akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah kepada kelekaan serta mengabaikan segala larangan Allah.
Bagi menanamkan akidah yang kukuh dalam diri, seseorang itu perlu berusaha mempelajari perkara ketauhidan dan keimanan bermula daripada mengenal Allah sehinggalah kepada kepercayaan terhadap hari akhirat serta qada' dan qadar.
Aspek pengukuhan diterjemahkan melalui amalan dengan melakukan perkara wajib diperintah Allah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan. Pada masa sama, menghindarkan diri melakukan perkara dilarang seperti berzina, minum arak, berjudi dan derhaka kepada ibu bapa.
Justeru, walau sibuk bagaimanapun, amalan yang memantapkan keimanan kepada Allah jangan sekali dilupakan kerana matlamat akhir kehidupan di dunia ialah mendapatkan keredaan Allah untuk hidup yang kekal abadi.
Tambahan, dengan pelbagai anasir yang boleh menggugat keimanan umat Islam terhadap Allah, usaha mengukuhkan jati diri Islam perlu dilipat ganda kerana tanpa benteng yang kukuh, sukar untuk menangkis serangan berniat memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran.
Keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesediaan umat Islam meningkatkan keimanan di samping sentiasa berusaha mencari keselesaan yang akan membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Masyarakat hidup dalam suasana harmoni mampu melahirkan generasi cemerlang yang mantap iman di dada serta sentiasa bersedia menghadapi ujian kerana keyakinan kepada Allah dalam semua perkara memudahkan perjalanan hidup manusia di dunia ini.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Thursday, June 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment