Oleh Noor Shakirah Mat Akhir
TEKANAN di tempat kerja boleh menjejaskan prestasi dan tingkah laku individu, bukan saja terhadap pekerjaan, malah seluruh kehidupannya. Oleh itu, pengurusan prestasi diri amat diperlukan dalam menangani pelbagai keadaan dihadapi dalam pekerjaan supaya individu itu terus mantap dan tingkah lakunya juga seimbang.
Penghayatan kepada etika dan akhlak dalam pekerjaan mampu menseimbangkan prestasi seterusnya memastikan tingkah laku seseorang itu berada pada tahap yang baik dan tidak terjejas.
Individu yang tersasar daripada etika sebenar ialah mereka yang sering fokus pada manusia dan benda, bukan prinsip serta nilai itu sendiri. Oleh itu, dalam konteks pekerjaan, penekanan latihan perlu diletakkan kepada nilai dan prinsip, tidak hanya terhadap pekerjaan.
Melihat kembali konsep nilai akan membawa kepada kawalan dan keyakinan serta menguatkan daya tahan menghadapi godaan atau kecenderungan untuk melakukan kesalahan.
Ketentuan moral yang baik memerlukan ilmu daripada pelbagai aspek dan banyak perkara berkaitan termasuk kemahiran untuk mengenal pasti keadaan dan ciri moral yang berkaitan, maklumat mengenai manusia dan dunia serta senario sosial masyarakat.
Perkembangan seseorang bermula dari zaman kanak-kanak ketika mereka di bawah jagaan ibu bapa sehingga ke fasa mereka berkemampuan mengharungi hidup secara berdikari. Setiap kanak-kanak perlu memahami keperluan sendiri dan tidak boleh dipaksa mengikuti keperluan orang lain.
Sebagai faktor penggalak kepada perkembangan sihat kanak-kanak, peraturan dan disiplin perlu diadakan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak.
Mereka juga perlu diasuh daripada awal supaya mengamalkan proses penilaian (muhasabah) diri supaya sentiasa prihatin dan menyedari kesalahan serta kekurangan masing-masing seterusnya memperbaikinya.
Dalam konteks pekerjaan pula, usaha penghayatan etika atau akhlak mulia boleh bermula dengan melatih kalangan yang mempunyai kesedaran mengenai nilai murni.
Proses latihan itu perlu disusuli dengan usaha pengawasan dan pemberian insentif kepada yang melaksanakannya dengan baik. Atau kaedah lain ialah melaksanakan tempoh percubaan dan pekerja yang berjaya melepasi tempoh latihan, maka dia akan diterima sebagai pekerja tetap.
Faktor yang menyumbang kepada kejayaan untuk mempraktikkan etika seterusnya menjiwainya, ialah kefahaman dan keprihatinan terhadap cabaran mungkin dihadapi oleh ahli organisasi dan kepakaran membudayakan etika serta pengetahuan perundangan berkaitan.
Namun, dari perspektif Islam, selain pengawasan, faktor kawalan dan imbuhan kepada yang menghayati etika, konsep ihsan adalah pengawal serta pendorong utama dalam apa juga kepatuhan dengan ajaran agama.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ihsan ialah anda mengabdikan kepada Allah, (beribadat kepada-Nya) seolah-olah anda melihat-Nya, seandainya anda tidak melihat-Nya, maka (ingatlah) bahawa Dia tetap melihat anda." (Hadis riwayat Muslim)
Ihsan bukan saja memberi kesan kepada kesempurnaan ibadat seseorang, malah sifat ihsan ini memberi kesan kepada pelbagai kegiatan harian seorang muhsin dalam keikhlasannya bekerja, ketekunan dan ketelitian. Ini bertepatan dengan maksud ihsan yang berkisar kepada makna keindahan, kebaikan, kebajikan, ketelitian dan kecemerlangan.
Iman dan ihsan akan memotivasikan seseorang itu terus melakukan amal soleh yang akan memperbaiki hati dan akhlak mereka.
Akidah dan keimanan ialah suatu tembok yang keadaan yang menguji seseorang itu dapat diterima sebagai cabaran.
Seseorang Muslim hendaklah berusaha untuk kehidupannya di dunia dengan menginsafi bahawa kehidupan akhirat adalah lebih utama dan tinggi kedudukannya. Maka, seseorang yang sedar hakikat dirinya akan lebih produktif kerana keimanannya itu memberi ketenangan jiwa serta harapan. Dia hidup dan bekerja dalam batas ditentukan Allah dengan penuh beretika.
Pekerjaan tidak sepatutnya dianggap beban. Kesedaran bahawa pekerjaan sebagai ibadat akan menambah nilai kepada pekerjaan itu dan menjadikan seseorang lebih menghayati etika dalam melaksanakan pekerjaannya.
Pekerjaan diterima sebagai tanggungjawab akan disusuli dengan keazaman untuk melaksanakannya sebaik mungkin. Dalam menjalankan tugas, kecekapan dan profesionalisme menjadi kayu pengukur.
Antara nilai utama perlu dihayati dan diamalkan ialah bertanggungjawab, tekun, sabar dan mementingkan kualiti.
Saturday, June 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment