Friday, June 13, 2008

Bicara Kalbu: Hati kena tenang hadapi isu harga minyak

MINYAK naik harga, semua orang mengeluh. Saya yang berpendapatan kecil rasa terhimpit dan tertekan kerana hujung bulan ini gaji saya tidak cukup untuk membayar bil dan menampung keperluan keluarga. Isteri sentiasa merungut, anak pula masih belum memahami. Harga baru minyak yang menjadi hadiah sambutan hari bapa tahun ini sungguh 'mencabar' naluri kebapaan saya. Mohon berikan saya motivasi untuk terus melangkah dengan semangat waja meneruskan hidup.

BUKAN BAPA MITHALI,

Taman Perkasa, Cheras.

APA yang saudara rasakan dikongsi oleh hampir semua rakyat Malaysia, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Dengan minyak naik diikuti barang keperluan, jiwa kita mungkin tertekan. Kita akan memikirkan bagaimana susahnya menampung kehidupan.

Ada dua perkara di situ. Pertama ialah hati yang susah dan kedua, usaha tambahan yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan seperti melakukan kerja sambilan.

Justeru, kita memerlukan hati yang tenang untuk menghadapi kesusahan ini. Tanpa jiwa yang tenang, hati akan resah hingga boleh membuatkan seseorang menjadi pemarah dan anak serta isteri menjadi mangsa.

Begitu juga dengan prestasi di tempat kerja, bakal menurun disebabkan hati yang tidak tenang memikirkan masalah dihadapi.

Bagaimanapun, keadaan ini perlu diterima secara positif kerana Allah sebenarnya sudah memberi cara untuk mendapatkan ketenangan jiwa dalam firman-Nya yang bermaksud: "Apabila kamu susah, maka bersabarlah dan bersembahyanglah."

Bersabar adalah satu kaedah untuk mengawal hati yang resah, tidak tenang atau kelam kabut. Kita boleh bercakap dengan diri diselang seli bacaan zikir menyebut nama Allah untuk mengurangkan keresahan dirasai.

Apabila kita sendiri yang memujuk diri, Insya-Allah hati yang berkocak akan rasa tenang sedikit demi sedikit.

Steven Covey dalam bukunya 7 Sikap Orang Efektif menulis, "Ada perkara yang boleh kita kawal, dan ada perkara yang tidak boleh kita kawal."

Sebagai orang Islam kita memahami banyak perkara yang tidak boleh kawal. Apabila kita tidak boleh kawal, kita banyak berserah dan bertawakal kepada Allah. Untuk berserah dan bertawakal, kita perlu berdoa kepada Allah.

Ada hadis mengatakan, apabila kita bersembahyang dengan baik dan sempurna, maka doa akan dimakbulkan. Sebaiknya kita membanyakkan sembahyang dan berdoa untuk memohon Allah memberi ketenangan hati menghadapi dugaan.

Selain itu, dicadangkan saudara supaya bersedekah. Bunyinya memang pelik kerana dalam keadaan menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba kita diminta bersedekah. Sebenarnya, bersedekah tidak perlu menunggu banyak tetapi apabila ada kesempatan, hendaklah kita bersedekah.

Kemudian pohon pada Allah diberikan rezeki secukupnya.

Selain itu, satu cara untuk merasakan kehebatan Allah ialah dengan memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita. Dalam perkara sedekah ini, mungkin kita pernah mengalami keadaan di mana rezeki datang selepas kita bersedekah.

Mungkin ada yang lokek dan kedekut untuk bersedekah. Cuba imbas kembali bahawa ada kalanya kita mendapat kebaikan daripada sedekah itu. Kebaikan itu datang secara langsung atau tidak langsung kepada kita.

Untuk kita yang beriman kepada Allah, kita tidak patut takut bersedekah walaupun dalam keadaan harga minyak naik. Allah sudah berjanji, orang bersedekah itu tidak akan miskin. Janji Allah adalah benar dan sentiasa benar. Percayalah.

Apabila Allah berjanji kita tidak akan miskin dengan bersedekah, bermakna Allah berjanji bahawa rezeki kita akan cukup. Mungkin kita tidak akan kaya, tetapi percayalah, rezeki kita akan dicukupkan Allah.

Maka teruskanlah bersedekah. Buatlah selalu walau sedikit. Apabila ada peluang untuk bersedekah, buatlah. Bukankah hadis mengatakan jika kita membuang duri dari atas jalan, itu juga satu sedekah. Oleh itu jangan tunggu lagi, bersedekahlah!

Jawapan disediakan penasihat kewangan bebas dan penulis buku Rancang Hidup Rancang Wang, Haron Mohd Yusof. Semua persoalan dan jawapan boleh dilayari www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: