Oleh Abdurrahman Haqqi
Manusia makhluk lemah tetapi mampu hadapi dugaan dengan bertawakal
TAYYIBAH bererti 'baik' disebut sembilan kali dalam al-Quran. Pengertian baik ini dipadankan dengan beberapa hal dalam sembilan ayat berkenaan.
Sebagai contoh, ia dipadankan dengan keturunan, zurriyyah, dalam ayat 38 Surah Ali ‘Imran; ia juga dipadankan dengan tempat tinggal, masakin dalam ayat 72 Surah al-Taubah; dan kemudian ia juga dipadankan dengan sebuah negeri, baldah dalam ayat 15 Surah Saba.
Tayyibah yang bererti baik itu juga dipadankan dengan kehidupan. Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl: 97)
‘Hayatan tayyibah’ dalam ayat ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai ‘kehidupan yang baik’. Ia, seperti ditulis Dr Aid al-Qarni dalam La Tahzan bermaksud ‘ketenangan jiwa orang beriman kerana dijanjikan baik oleh Tuhan mereka, keteguhan hati mereka dalam mencintai Zat yang menciptakan mereka, kesucian nurani mereka daripada unsur penyimpangan iman, ketenangan mereka dalam menghadapi setiap kenyataan hidup, kerelaan hati mereka dalam menerima dan menjalani ketentuan Allah, dan keikhlasan mereka dalam menerima takdir. Dan semua itu kerana mereka yakin dan tulus menerima Allah adalah Tuhan mereka, Islam agama mereka, dan Muhammad adalah Nabi dan Rasul yang diutus Allah untuk mereka.” (hal. 29)
Walaupun ada yang mengehadkan pengertian ‘kehidupan yang baik’ dalam ayat ini pada kehidupan di syurga saja seperti ditulis al-Imam al-Alusi dalam tafsirnya, tetapi secara am, ulama berpendapat pengertiannya tidak terhad pada kehidupan syurga, tetapi mencakupi kehidupan duniawi. Tafsir pimpinan Ar-Rahman mengulas ayat ini dengan katanya: “Lelaki atau perempuan yang mengerjakan amal yang salih, sedang dia tetap beriman hingga akhir hayatnya, maka Allah akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik di dunia dengan menikmati sepenuh-penuh kebahagiaan meskipun dia hidup miskin; dan di akhirat pula dia akan beroleh sebaik-baik balasan, manakala orang kafir atau orang yang tenggelam dalam maksiat akan dihidupkan di dunia dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya, walaupun mereka kaya raya; dan di akhirat pula akan beroleh seburuk-buruk balasan dengan sebab kekufurannya atau maksiat dilakukannya.
Umur dunia ini sangat pendek dan kenikmatannya pun sangat miskin. Akhirat lebih baik dan kekal. Sehingga, sesiapa di dunia mendapat musibah, dia akan mendapat kesenangan di akhirat kelak; dan sesiapa yang hidup sengsara di dunia, dia akan hidup bahagia di akhirat. Mereka ini adalah termasuk dalam maksud ayat: “Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana kalian bersabar mentaati Allah dan menerima dugaan-Nya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan.” (Surah al-Ra’d: 24)
Lain halnya dengan mereka yang memang lebih mencintai dunia, hanya menginginkan kenikmatan dunia dan lebih senang pada keindahan dunia.
Hati mereka akan selalu gundah gulana; cemas tidak mendapatkan kenikmatan dunia dan takut tidak nyaman hidupnya di dunia. Mereka ini hanya menginginkan kenikmatan dunia, sehingga mereka selalu memandang musibah sebagai petaka besar.
Mereka termasuk golongan yang disebutkan al-Quran maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha: 124)
Implikasi daripada pengertian hayatan tayyibah di atas boleh kita perhatikan dalam kenyataan kehidupan manusia.
Keadaan dunia ini penuh kenikmatan, banyak pilihan, penuh rupa dan banyak warna. Semua ini bercampur baur dengan kecemasan dan kesulitan hidup. Kita adalah sebahagian daripada dunia yang berada dalam kesukaran.
Al-Qarni berkata: “Anda tidak akan pernah menjumpai seorang ayah, isteri, kawan, sahabat, tempat tinggal atau pekerjaan yang padanya tidak ada sesuatu yang menyusahkan. Justeru pada setiap hal, ada sesuatu yang buruk dan tidak anda sukai. Maka, padamkan panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan dinginnya kebaikan yang ada padanya. Itu kalau anda mahu selamat dengan adil dan bijaksana kerana setiap luka ada harganya.
Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemu dua perkara saling berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dua kubu yang saling bertelagah dan dua pendapat saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebaikan dan kebahagiaan itu di syurga. Yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka.
Sebuah hadis maksudnya: “Dunia ini dilaknati. Semua yang ada di dalamnya dilaknati kecuali zikir (ingat) kepada Allah, perbuatan yang disukai Allah, dan sesuatu yang dapat mendekatkan diri hamba kepada-Nya, serta orang yang berilmu dan orang yang mempelajari ilmu yang bermanfaat.”
Jalanilah hidup ini sesuai dengan kenyataan, jangan terleka dalam khayalan dan jangan menerawang ke alam imaginasi. Hadapi kehidupan ini apa adanya; kawal jiwa anda untuk dapat menerima dan menikmatinya! Bagaimanapun, tidak mungkin semua teman tulus kepada anda dan semua perkara sempurna. Sebab, ketulusan dan kesempurnaan itu ciri dan sifat kehidupan dunia.
Bahkan, isteri anda pun tidak pernah sempurna di mata anda. Maka, kata hadis maksudnya: “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci wanita mukminah (yang menjadi isterinya), kerana jika dia tidak menyukai satu perangai isterinya, tentu dia akan menyukai perangainya yang lain.”
Oleh itu, bila kita merapatkan barisan, menyatukan langkah, saling memaafkan dan berdamai kembali, mengambil hal yang mudah kita lakukan, meninggalkan hal yang menyulitkan, menutup mata daripada beberapa hal untuk masa tertentu, meluruskan langkah dan membuang pelbagai hal yang mengganggu.” (hal. 35)
Ketika membincangkan masalah perang untuk menentang penceroboh sedangkan berperang tidak disukai manusia dan al-Quran mengajarkan maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216)
Sebagai implikasi daripada ingin mendapatkan hayatan tayyibah di dunia dan akhirat, maka kita sewajarnya menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakal kepada-Nya, percaya terhadap janji-Nya, reda dengan apa dilakukan-Nya, berbaik sangka kepada-Nya dan menunggu dengan sabar pertolongan daripada-Nya. Sifat ini sebahagian daripada keimanan paling besar dan sifat mukmin paling mulia.
Ketika seorang hamba berasa tenang bahawa apa yang akan terjadi baik baginya dan dia menggantungkan setiap permasalahannya kepada Tuhan, maka dia akan memperoleh pengawasan, perlindungan, kecukupan, kekuatan serta pertolongan daripada Allah SWT.
Menyerahkan segala sesuatu kepada Allah mempunyai dua cara pendekatan yang satu sama lainnya tidak boleh dipisahkan iaitu dengan ucapan dan perbuatan. Ucapan digambarkan dengan zikir lisan ‘hasbunallahu wa ni’mal wakil’ (Cukuplah Allah untuk menolong kami, dan Dia sebaik-baik Pengurus yang terserah kepada-Nya segala urusan kami). Dan perbuatan dibuktikan dengan apa jua tingkah laku yang menunjukkan kepada penyerahan sepenuhnya kepada urusan Allah.
Ketika Nabi Ibrahim AS dilempar ke dalam api, Baginda mengucapkan ‘Hasbunallahu wa ni’mal wakil,’ maka Allah menjadikan api yang panas itu dingin seketika dan Nabi Ibrahim AS selamat.
Demikian dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya tatkala mereka mendapat ancaman orang kafir dan penyembah berhala.
Mereka juga mengucapkan ‘Hasbunallahu wa ni’mal wakil’. Allah berfirman maksudnya: “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang (pembawa berita) kepada mereka: ”Bahawa kaum (kafir musyrik) mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: ”Hasbunallahu wa ni’mal wakil”. Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.” (Surah Ali ’Imran: 173-174)
Manusia tidak mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri. Manusia diciptakan sebagai makhluk lemah. (Surah al-Nisa: 28) Mereka hanya akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakal kepada Tuhan, percaya sepenuhnya kepada Pelindung dan menyerahkan semua perkara kepada-Nya, maka dia akan memperoleh kekuatan. Firman Allah maksudnya: “Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah: 23)
Sunday, June 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment