LUAH PERASAAN: Islam mengajar ummah sabar hadapi bencana yang menimpa diri, keluarga, harta atau kedudukan.
Sabar, jujur dalam urusan seharian akhlak Muslim dipelopori Rasulullah
KESABARAN merujuk kepada kemampuan untuk menanggung kesukaran tanpa gelisah dan menunggu hasilnya, biar berapa lambat sekalipun di samping sanggup menghadapi bebanan biar betapa berat dengan hati tenang dan pemikiran jitu.
Ini adalah berasaskan prinsip dalam al-Quran yang menekankan manusia pasti diuji sehingga mereka mengaturkan persediaan untuk menghadapi bencana yang akan menimpa supaya tidak kehilangan punca apabila bencana menimpa secara mendadak.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pengetahuan kami ternyata adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar. Kami dapat mengesahkan berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad, ayat 3)
Konsep sabar diasaskan kepada dua hakikat penting iaitu pertama, tabiat kehidupan di dunia ini, Allah tidak menjadikan dunia sebagai tempat balasan dan persemadian. Dunia dijadikan tempat ujian dan percubaan.
Kedua, ia dikaitkan dengan hakikat 'iman' iaitu ikatan antara manusia dengan Allah. Manusia harus tunduk kepada ujian Allah untuk membuktikan mana yang tulen dan palsu.
Firman Allah yang bermaksud: "Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru pada serba-serbinya; Allah akan memperlihatkan kepada kamu tanda kekuasaannya; maka janganlah kamu meminta disegerakan kedatangannya." (Surah al-Anbiya', ayat 37)
Sifat sabar adalah ciri keagungan dan lambang kesempurnaan serta petanda penguasaan diri terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Dalam tamadun Barat pun, sifat ini diterima dengan baik.
Seorang tokoh terkenal Amerika Syarikat pernah berkata: "Jangan memohon untuk meringankan bebanmu tetapi mohonlah supaya ditegapkan badanmu." Pokoknya, sabar akan memupuk sikap keagungan dan percaya kepada diri sendiri.
Sabar boleh dibahagikan kepada tiga kelas. Pertama, sabar atas ketaatan. Ini adalah berasaskan kewajipan untuk melakukan sesuatu secara berterusan atau istiqamah. Contohnya, sabar dalam melaksanakan ibadah dan tuntutan agama.
Kedua, sabar daripada maksiat yang menjadi unsur penentangan terhadap godaan tersebar terhadap manusia yang menggerakkan mereka melakukan dosa dilarang.
Sabar adalah cetusan daripada keyakinan yang kuat dan tumpuan tegas terhadap apa yang diredai Allah SWT. Ini adalah semangat yang melindungi diri daripada melakukan perkara keji serta keburukan.
Ketiga, kesabaran menghadapi bencana yang menimpa seorang Muslim sama ada diri, keluarga, harta atau kedudukannya.
Konsep kesabaran bertambah kompleks apabila ia dipikul kumpulan kepemimpinan mewakili sekelompok pengikut, lebih-lebih lagi pemimpin yang mewakili kumpulan lebih besar, meliputi pelbagai bangsa, agama dan budaya.
Pemimpin akan sentiasa diuji dengan pelbagai isu dan akan dirakamkan dalam sejarah kepemimpinannya, sama ada dia lulus atau gagal menangani pelbagai perkara yang mewarnai eranya.
Pokoknya, pemimpin sejati bukan sekadar popular pada eranya sebaliknya dikenang sepanjang masa.
Begitu juga dalam perniagaan, sikap sabar menghadapi kerenah pelanggan dan pekerja adalah sifat terpuji kerana ia menjadi asas kepada kejayaan perniagaan jangka panjang.
Kesabaran menghadapi dugaan ekonomi dan perniagaan yang meleset dan kesabaran menghadapi peraturan, tekanan serta pesaing di pasaran juga penting untuk memastikan perniagaan terus hidup pada jangka masa panjang.
Kesabaran juga akan memberikan kesan besar kepada pertimbangan terhadap kesaksamaan dan keadilan. Bersikap adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ketentuan akidah, syariah dan akhlak serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Adil meliputi keadilan kepada orang lain dan diri sendiri. Banyak contoh bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan sikap adilnya.
Dalam sebuah hadis, dikatakan: "Kaum Bani Israel sudah menemui kehancuran disebabkan mereka mengadakan undang-undang (hukuman) ke atas orang miskin dan memaafkan orang kaya."
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, berdiri tegaklah untuk Allah sebagai saksi kepada keadilan dan jangan biarkan permusuhan orang lain menghasut kamu supaya bertindak berlawanan daripada keadilan, sentiasa berlaku adil kerana ia sangat dekat dengan ketaatan. Bertanggungjawablah terhadap tugas kamu kepada Allah."
Dalam al-Quran juga seruan begini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa atau kaum kerabatmu sama ada mereka kaya atau miskin." (Surah an-Nisa', ayat 135)
Bagaimanakah sifat adil diamalkan dalam perniagaan? Adil penting dalam urusan jual beli. Timbangan yang tepat adalah satu aspek keadilan yang penting.
Memberikan maklumat sepenuhnya kepada pelanggan bagi membolehkan mereka membuat keputusan rasional adalah satu lagi sikap keadilan dalam perniagaan.
Bersikap adil ketika tawar-menawar bagi mengelakkan elemen eksploitasi disebabkan tekanan atau maklumat tidak sempurna dimiliki rakan kongsi adalah perlu.
Pengiklanan dan promosi serta bentuk pembungkusan yang boleh mengaburi mata bertentangan sikap keadilan dalam perniagaan.
Syarat perniagaan dan urusan jual beli yang memberikan faedah kepada kedua belah pihak secara seimbang juga satu contoh amalan perniagaan adil.
Perkongsian keuntungan dengan pekerja atau pemodal berasaskan pada kadar sesuai adalah satu lagi sikap adil yang perlu diamalkan.
Ada banyak lagi elemen peribadi Muslim boleh diambil sebagai akhlak yang menjadi asas etika kehidupan sejagat. Ini termasuk baik hati, rahmat dan kasih sayang, kemaafan, murah hati, layanan baik, pengorbanan, rendah hati, kesopanan, tabah, tekun, gagah, dedikasi, bertanggungjawab, berdisiplin, bekerjasama, ketepatan masa, berjimat cermat dan bersyukur.
Jika diperhatikan, sifat dan sikap berkenaan hampir semua boleh dikaitkan atau berpunca daripada prinsip akhlak Islam yang dipelopori Rasulullah SAW. Ia adalah ciri pecahan kepada prinsip asas akhlak Islam.
Prinsip kehidupan seorang Muslim berteraskan kepada konsep mengamalkan Islam sebagai cara hidup.
Ia berteraskan kepada nilai hidup setiap individu Muslim di alam semesta yang menekankan konsep pengabdian kepada Allah.
Cabaran yang yang tidak boleh diketepikan juga ialah mengukuhkan nilai murni individu supaya sentiasa menonjolkan kepentingan masyarakat umum dalam keputusan yang dibuat. Ini memerlukan nilai diasaskan pada akhlak berasaskan ajaran Islam yang murni.
Prinsip mengutamakan kepentingan ummah dengan matlamat mendapat keredaan Allah berbanding diri sendiri dan segelintir kecil kumpulan akan menjadi tonggak utama penyelesaian isu dalam apa bidang sekalipun.
No comments:
Post a Comment