Monday, June 2, 2008

Tajdid Iman: Didikan iman pengaruhi keperibadian pewaris

Bersama Dr Juanda Jaya

KEHADIRAN beberapa orang cahaya mata di tengah sebuah keluarga yang beriman, kehidupan keluarga itu tiba-tiba berubah. Bagaikan malam disimbah cahaya bulan, berbintang pula menambah cantik lukisan alam yang memukau perasaan.

Ayah umpama malam, ibu pula purnamanya dan berbintangnya ialah anak. Anak hanya tahu erti bahagia dan gembira, senyum dan tawa. Begitulah hakikat makhluk Tuhan yang dicipta dan tidak menanggung dosa ini.

Anak yang suci dan bersih, belum memahami makna kejamnya dunia. Mereka berada di sisi ibu bapa, menjadi punca turunnya rahmat Allah dalam sebuah rumah, melimpah rezeki dan keberkatan.

Seperti mana sabda Baginda Rasulullah kepada sahabat yang tidak pernah mencium sepuluh anaknya yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak dirahmati (Allah)."

Disebabkan anak, Allah terus menerus mencurahkan pahala dan melipatgandakan ganjaran, kerana mereka juga banyak dosa yang diampunkan Allah.

Atas nama cinta yang tulus kepada mereka, ibu bapa menjadi begitu kuat melawan keperitan hidup kerana wajah ibu bapa menjadi matang dan belajar bertanggungjawab menjadi manusia dewasa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Satu dinar yang kamu belanjakan kerana memerdekakan seorang hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu." - (Hadis riwayat Muslim)

Barang siapa yang sabar menjaga anak mereka dalam kemiskinan sesungguhnya Rasulullah berjanji akan mendekatkan kedudukan mereka di syurga bersama Baginda, sesuai dengan sabdanya yang bermaksud: "Seorang perempuan yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya tetapi dia bersabar menanggung anaknya, maka aku akan bersama dia di dalam syurga dalam keadaan seperti ini." - (Hadis riwayat Abu Daud)

Oh anak, jika mereka hadir membawa seribu satu berkat, boleh jadi mereka juga membawa fitnah yang paling berbahaya ke atas diri ibu bapa. Untuk itu, al-Quran menyatakan yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." - (Surah al-Tahrim ayat: 6)

Ujian berkeluarga bukan hanya ditanggung oleh suami seorang diri, malah isteri bersama-sama memikul beban sama demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Mereka saling berkongsi tanggungjawab mendidik anak supaya menjadi insan beriman.

Di tangan ibu dan bapalah masa depan mereka terbina, jiwa mereka dicorakkan. Yahudi, Majusi atau Nasrani atau mungkin Islam yang menjadi pilihan. Gaya Barat atau Timur, kapitalis atau sosialis, sekularis atau Islam tulen, semuanya akibat didikan kedua ibu bapa. Ramai yang beranggapan bahawa anak kita sudah dirosakkan oleh persekitaran yang mempengaruhinya.

Bukan kerana tangan ibu bapa, bahkan ibu bapa memberi didikan sempurna di rumah tetapi di luar rumah dia terpaksa berdepan dengan hawa nafsunya sendiri untuk memilih, manakah yang buruk dan baik?

Persoalan ini tidak berbangkit dan memberi pembelaan kepada ibu bapa yang berasa tidak bersalah, masalahnya selagi mana ibu bapa masih hidup mereka wajib mempengaruhi anak ke jalan Allah dan menjaga pergaulan anak mereka.

Jika iman kukuh dan sebati dalam jiwa raganya hasil didikan ibu bapa, terlepas ke mana saja dia pergi, Insya-Allah didikan iman itu masih mempengaruhi keperibadiannya, sedikit atau banyak itu bergantung kepada pilihannya sendiri.

Ramai orang tua yang hanya mengingat keburukan anaknya tetapi lupa dosa mereka kepada anak. Bukankah mereka berdosa kepada anak jika memberi nafkah daripada sumber haram, walaupun kemewahan boleh diberi tetapi ia hanya untuk kehidupan yang singkat, di akhirat nanti kedua ibu bapa seolah-olah memberi makan bara api kepada anaknya.

Sesungguhnya jika kejahatan yang dilakukan itu diniatkan kerana anak, ia tetap haram di sisi Allah Taala. Rupanya anak boleh menyebabkan seorang hamba bermaksiat kepada Allah. Hal ini jelas diterangkan dalam surah al-Taghabun, ayat 14 yang bermaksud: "Wahai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu.

Musuh bermaksud menjadi punca kamu mengikut kehendak mereka, yang mahukan kamu melakukan pekerjaan haram.

Musim cuti sekolah ini, anak mempunyai bermacam-macam perancangan. Hendak pergi ke luar negara, umrah atau menghabiskan masa di rumah saja. Ibu bapa perlu bersedia dari segi kewangan, masa dan emosi. Jika semuanya sudah sedia dicurahkan, ada satu lagi yang tidak kurang pentingnya iaitu soalan yang mesti ibu bapa jawab: "Pengisian apakah yang paling baik untuk meningkatkan iman anak?

Selagi Allah memberi masa yang panjang untuk bermesra dengan anak selagi itulah iman harus ditanam. Kadang-kala yang diingat hanya mahu menyeronokkan hati mereka saja. Maka melimpahlah kasih sayang itu dalam bentuk hadiah yang mahal, percutian melalaikan dan kenikmatan berlebihan mengejar kepuasan hati.

Bukan bermakna tidak boleh menyediakan kemudahan kelas terbaik kepada mereka, apa salahnya jika mampu selagi mana tidak menjejaskan perhatian kepada anak yatim dan fakir miskin di sekeliling kita.

Seelok-eloknya anak diajar prihatin, disuruh melihat anak yang kurang bernasib baik, keluarga miskin dan pesakit kanak-kanak yang terlantar di hospital. Supaya mereka memiliki jiwa pengasih kepada sesama dan tahu menilai erti hidup agar jangan disia-sia.

Kita mahu mendengar anak kita berkata: "Terima kasih ayah atas segala pemberian yang tak sanggup kami membalasnya." Dan kita tidak mahu mendengar makian dan rungutan daripada mulut yang tidak pernah diajar cara beradab: "Aku mahu yang terbaik, ayah mesti sediakan dan usahakan juga."

Mereka meminta apa yang tidak mampu kita miliki kerana terbiasa hidup senang. Padahal masih ramai insan lain menderita. Marilah bukakan mata hati anak kita untuk melihat kehidupan ini dengan pandangan iman bukan mata syahwat saja.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: