Oleh Abdurrahman Haqqi
Kewajipan umat Islam perlu dilaksana secara amali, bukan sekadar ucapan di bibir
JARANG kita menjumpai satu-satu perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai tujuh makna dalam kamus. Setakat ini, hanya beberapa perkataan saja yang mempunyai lebih tujuh makna termasuk perkataan 'cukup', 'kuasa' dan 'saudara'. Hal ini berlaku dalam masyarakat kerana kesignifikanan perkataan berkenaan seperti penggunaan yang luas dan pengertiannya. Itulah kelebihan perkataan cukup, kuasa dan saudara yang ada dua signifikan ini.
Saudara dalam Kamus Dewan mempunyai erti, 1. orang yang sama ayah dan ibunya (ibu atau ayahnya saja yang sama), abang (kakak) atau adik; 2. orang yang ada hubungan kekeluargaan, sanak saudara; 3. orang yang sama darjat (sekutu, segolongan dan lain-lain); 4. kawan, sahabat, teman; 5. bahasa halus kata ganti kedua (seperti awak, kamu, anda) yang digunakan terutama pada lelaki; 6. tembuni, uri (yang keluar mengiringi bayi yang lahir; dan 7. kiasan sesuatu yang hampir sama (keadaan, sifat dan lain-lain. Sedangkan persaudaraan didefinisikan sebagai perihal bersaudara, perhubungan seperti bersaudara, pertalian yang rapat sekali (seolah-olah bersaudara).
Dalam bahasa al-Quran, persaudaraan disebut secara khasnya dengan dua perkataan utama iaitu ikhwah dan ikhwan di mana kedua-duanya adalah kata jamak daripada akh. Kata ikhwah disebutkan di empat tempat, manakala ikhwan disebut sebanyak 22 kali.
Apa yang membezakan kedua-dua perkataan itu? Al-Quran menggunakan kata ikhwah untuk merujuk makna persaudaraan yang ada hubungan darah seperti erti 1 dan 2 dalam kamus di atas sedangkan ikhwan lebih umum yakni seperti erti 3 dan 4.
Dalam Surah An-Nisaa' ayat 11 disebutkan maksudnya "... Kalau pula si mati mempunyai beberapa saudara (adik-beradik)..." Dan pada ayat 176-nya disebutkan maksudnya "... Dan sekiranya mereka (saudara itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Kedua-dua ayat ini menggunakan kata ikhwah bagi merujuk hukum waris untuk yang mempunyai hubungan darah.
Dalam Surah Yusuf ayat 58 disebutkan maksudnya "Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya." Ayat ini adalah satu rentetan kisah Nabi Yusuf AS dan saudara-saudaranya di mana ketika terjadi krisis makanan, ayah mereka Nabi Ya'qub AS menghantar saudara-saudara Nabi Yusuf ini ke Mesir dari Palestin untuk mencari bekalan makanan.
Dan dalam Surah al-Hujarat ayat 10 disebutkan maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." Ayat ini mengajarkan kepada kita agar orang beriman yang bertelagah mestilah didamaikan kerana sebenarnya mereka umpama saudara yang sepatutnya saling berkasih sayang dan saling mencintai. Dengan perkataan lain, al-Quran menggunakan kiasan dalam hubungan orang Islam sebagai bersaudara agar hati mereka tersentuh untuk selalu mengutamakan kehidupan yang damai di antara mereka.
Di sinilah rahsianya mengapa dalam ayat ini tidak digunakan kata ikhwan ketika merujuk erti bersaudara padahal sebenarnya orang beriman itu tidak semuanya mempunyai hubungan darah yang dekat sebagaimana pengertian 1 dan 2 pada Kamus Dewan. Ia ditegaskan ayat 103 Surah Ali Imran yang maksudnya: "...lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara..."
Berkenaan dengan kata ikhwan yang disebut sebanyak 22 kali oleh al-Quran, ia dirujuk kepada makna persaudaraan umum yang tidak ada hubungan darah sama ada negatif mahupun positif. Contoh positif adalah ayat yang bermaksud: "Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara kamu (yang seagama)." (Surah al-Baqarah: 220) dan contoh negatif adalah ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra: 27)
Dengan jumlah 22 kali disebut dalam al-Quran, ikhwan mempunyai makna tersendiri yang menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan dalam kehidupan bermasyarakat. Almarhum Fathi Yakan dalam bukunya Maza Ya'ni Intami'i Ila al-Islam (Apa Ertinya Saya Seorang Muslim) menulis: "Persaudaraan di dalam Islam adalah jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia adalah ikatan rabbani ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah yang mengikat hati-hati mereka dan ia adalah jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah SWT. Persaudaraan adalah ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW maksudnya: "Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.
Umat Islam sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ia seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.
Bagi memastikan hak dan kewajipan persaudaraan ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan ummah, Islam menjelaskan cara bagaimana hak dan kewajipan itu dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata. Fathi menyenaraikan enam perkara dalam hal ini iaitu:
Persaudaraan mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bermaksud: "Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".
Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab yang mengatakan: "Engkau mestilah mencari saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan pada waktu senang dan bekalan pada waktu kesusahan".
Dari sudut kejiwaan, persaudaraan adalah satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan itu sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan Baginda menunjukkan isyarat dengan jari Baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
Persaudaraan juga adalah kerjasama dalam bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang melapangkan seorang Muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang Muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".
Persaudaraan adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan yang ringkas. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Hak seseorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam; (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu; (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya; (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit; (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).
Persaudaraan juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai) Rasulullah SAW juga bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim)
Persaudaraan menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi) Baginda juga bersabda bermaksud: "Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim)
Perpaduan yang memperkasa umat akan dapat direalisasikan dengan melaksanakan ajaran Junjungan SAW berkaitan dengan persaudaraan agar tidak saling memutuskan hubungan silaturahim, saling belakang-membelakangi, saling benci-membenci dan saling hasad dengki. Bahkan yang agak susah juga dilaksanakan ramai umat kerana kelunturan iman iaitu agar tidak memulaukan saudaranya melebihi tiga hari yang hukumnya haram dan dengan sendirinya akan menjejaskan perpaduan dan keperkasaan umat. Wallahu a'lam.
Sunday, June 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment