Oleh Jami’ah Shukri
Pengurusan lebih terancang jaga kepentingan harta umat Islam
JOHOR Corporation (JCorp), yang memiliki nilai modal pasaran berjumlah lebih RM10 bilion, menjadi pelopor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terunggul di negara ini dan dunia dalam mewujudkan sistem perniagaan berkonsepkan wakaf bagi mengelak ketirisan hak milik Melayu dan Islam serta membantu golongan miskin.
JCorp yang kini mempunyai lebih 250 syarikat dengan sembilan tersenarai di Bursa Malaysia dan London mengembangkan aktivitinya menerusi wakaf harta, wakaf kebajikan, saham tidak tersenarai dan wakaf korporat.
Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata pihaknya mewakafkan saham miliknya di dalam tiga anak syarikatnya yang tersenarai dengan nilai aset bersih berjumlah RM200 juta untuk mengembangkan perniagaan lain.
Saham itu adalah di dalam Kulim (Malaysia) Bhd, KPJ Healthcare Bhd, dan Johor Land Bhd sebagai kaedah terbaik dalam mengurus harta supaya isu ketirisan tidak berlaku terutama apabila pemilik syarikat meninggal dunia, pewaris bertelagah sesama sendiri untuk menguruskan harta dengan sempurna dan lebih parah lagi apabila mereka menjualkan kepada pihak lain.
“Oleh itu, kita berharap menerusi wakaf korporat, contohnya ia dapat mengurangkan ketirisan itu.” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, aktiviti berkaitan wakaf itu sudah dimulakan sejak 1990-an dengan memberi penumpuan kepada wakaf harta iaitu dengan pembinaan masjid, ladang, surau, rumah anak yatim, sekolah agama. Wakaf harta itu adalah berkaitan dengan hal kematian.
Bagaimanapun, wakaf korporat yang diwujudkan sejak 2006 lalu adalah sebagai aktiviti mengembangkan perniagaan dan sekali gus dapat mengatasi masalah ketirisan.
“Kebanyakan sistem perniagaan mengutamakan individu memegang hak milik, kita mahu mencari alternatif supaya dapat diseimbangkan sistem itu. Sekiranya individu yang memegang hak milik, berlaku ketirisan dan pada akhir yang kaya bertambah kaya dan miskin terus keciciran.
“Oleh itu, menerusi cara itu kita dapat terapkan konsep Jihad Ekonomi yang mana JCorp bertanggungjawab untuk menyeimbangkan supaya urusan di kalangan badan sedia ada itu dapat menjaga kepentingan orang lain,” katanya.
“Apabila diwakafkan, perlu niatkan untuk tujuan apa. Bagi JCorp, sudah jelas, bahawa kita akan tentukan apabila ada untung atau dividen. Sebanyak 70 peratus diagihkan untuk pelaburan semula tertakluk kepada perjanjian pengurusan dengan mengambil kira hujah wakaf,” katanya.
Selain itu, 25 peratus bagi tujuan fisabilillah dengan disalurkan untuk tujuan amal kebajikan (bina masjid, sekolah agama, rumah anak Yatim dan membantu orang miskin), manakala lima peratus lagi disalurkan kepada Majlis Agama Islam (Johor).
Sementara itu, Muhammad Ali berkata, lebih 350,000 pesakit Islam termasuk lebih 20,000 orang bukan Islam menerima manfaat rawatan kesihatan di lapan rangkaian Klinik dan Hospital Waqaf An-Nur di seluruh negara sejak penubuhannya.
Klinik Waqaf yang dibina oleh JCorp itu adalah yang pertama diwujudkan di negara ini berkonsepkan wakaf kesihatan bagi memberi khidmat kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah tanpa mengamalkan diskriminasi agama dan bangsa.
Klinik itu dianggap sebagai satu institusi tradisional Islam dan mengintegrasikan wakaf dalam nadi kehidupan dan pembangunan masyarakat dengan dirancang pembinaannya di kawasan masjid sebagai usaha memperluaskan lagi peranan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat.
“Dengan ini juga ia akan dapat membuka mata masyarakat khususnya bukan agama Islam melihat kebesaran Islam dan menghormati agama ini. Oleh itu kita membuat klinik di masjid.
“Empat klinik di Johor, termasuk sebuah hospital Waqaf An-Nur di Pasir Gudang, satu di Seremban, dua di Selangor dan terbaru, satu di Kuching, Sarawak.
“Setakat ini, 127 pesakit sudah mendapat perkhidmatan dialisis daripada lapan Klinik An-Nur iaitu empat di Johor, dua di Selangor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Sarawak serta satu Hospital An-Nur di Pasir Gudang, Johor.
“Melalui Klinik Waqaf itu, pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan dikenakan bayaran minimum RM5 termasuk kos ubat-ubatan,” katanya.
Berdasarkan kaji selidik, mendapati 64.32 peratus pendapatan pesakit mendapat rawatan di klinik itu di bawah RM1,000.
Beliau berkata, antara program ialah mendapatkan rawatan hemodialisis dan sekiranya memerlukan rawatan susulan, pihaknya bersedia memanjangkan kepada hospital pakar.
“Kita mensasarkan untuk membina sebanyak mungkin klinik di seluruh negara berdasarkan permintaan dan lokasi yang sesuai supaya lebih ramai masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa mendapat manfaat. Bagaimanapun, setakat ini sudah menerima beberapa permohonan daripada beberapa negeri termasuk Sabah berkaitannya,” katanya.
Mohamad Ali berkata, wakaf kebajikan menjadi perintis kepada usaha mewujudkan lebih banyak lagi wakaf lain terutama wakaf korporat. Ini sekali gus dapat memperbanyakkan usaha penambahan aset hak milik Melayu selain dapat merapatkan hubungan dengan Majlis Agama Islam serta memberi pendedahan kepada mereka bagaimana cara mengendalikan perniagaan atau syarikat dengan bersistematik.
Saturday, May 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment