MALAYSIA perlu membina amalan jihad ekonomi sebagai misi perjuangan, gagasan utama bagi memperkasa serta memperkayakan aset dan kuasa masyarakat Islam dengan sekurang-kurangnya mencapai sasaran 65 peratus.
Jihad perniagaan dapat membendung dan menyusun semula sistem ekonomi kapitalisme yang liar supaya lebih adil dan saksama sehingga melahirkan ciri sistem ekonomi halal berlandaskan Islam.
Konsep jihad perniagaan berupaya menggembleng kekuatan ekonomi, mengembang dan memacu pertumbuhan pesat ekonomi negara.
Sehubungan itu, Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Mohammad Ali Hashim, berkata ahli perniagaan Islam di negara ini, sepatutnya menyokong jihad perniagaan dengan menyumbangkan bahagian dividen keuntungannya bagi menjana nilai dan kekayaan untuk membina kedaulatan ekonomi.
Katanya, jihad perniagaan itu bertujuan menguasai pasaran di tangan bangsa Melayu dan umat Islam dan sekali gus menterjemahkan kuasa serta kedaulatan ekonomi itu dalam bentuk strategi penyusunan semula hak milik perniagaan dan korporat bagi menegakkan keadilan.
“Dalam memburu kejayaan dan kekayaan mereka dituntut mengejar keberkatan serta keredaan dijana berlandaskan prinsip semua harta kekayaan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan untuk umat Islam lain terutama golongan miskin.
“Kekuatan umat Islam terletak kepada pegangan hidup yang tidak keterlaluan dengan mementingkan dunia dan materialistik,” katanya.
Mohammad Ali berkata, ahli perniagaan Islam perlu langkah pembaharuan bagi mendaulatkan ekonomi menerusi institusi wakaf seperti dilaksanakan JCorp, yang mewujudkan institusi Wakaf Korporat bagi menjadikan pemegang amanah dan pemilik kekal utama termasuk yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Katanya, JCorp adalah satu-satunya syarikat yang mengorak langkah mewakafkan sebahagian sahamnya bernilai RM200 juta untuk melabur dalam pelbagai jenis projek.
Menerusi institusi wakaf korporat wajib menjayakan program tanggungjawab sosial korporat berlandaskan Islam.
“Oleh itu, JCorp antara lain turut mendokong beberapa institusi Islam termasuk masjid dan rumah anak yatim, selain menjayakan rangkaian sembilan klinik dan hospital Waqaf An-Nur di seluruh negara bagi memberi khidmat rawatan kesihatan kepada warga Malaysia yang miskin termasuk bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjayakan konsep wakaf korporat, hak milik perniagaan perlu terlebih dulu disandarkan kepada pegangan berorganisasi, terutama organisasi syarikat korporat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, berlandaskan organisasi itu ia akan lebih mudah dan dapat mengembangkannya sebagai wakaf.
Agenda jihad perniagaan itu menjadi satu pembaharuan terhadap institusi yang dijangka mampu dijadikan benteng utama terhadap kekuatan ekonomi umat Islam selain mencapai keseimbangan kuasa.
“Institut wakaf korporat harus diperluaskan sehingga berjaya menerajui beberapa perniagaan lain dan sekali gus mampu menjadi pegangan hak milik untuk dikongsi secara turun-temurun serta menambah nilai harta kekayaan itu untuk tempoh jangka panjang demi bangsa dan agama,” katanya.
Jihad perniagaan, tambahnya lagi, lebih mudah dan dapat bertahan. Matlamat itu hanya boleh dicapai menerusi pengendalian dan pengurusan yang diterajui wakaf korporat.
Beliau berkata, di Malaysia ada 40 orang terkaya memiliki nilai aset dan harta hampir satu pertiga jumlah nilai harga milik seluruh rakyat Malaysia.
Sistem itu jelas melampau ‘berat sebelah’ dan tidak adil kerana yang kaya akan terus bertambah kaya dan miskin ketinggalan serta terpinggir.
Sekiranya ini dibiarkan berterusan boleh mengundang konflik lebih besar, khasnya dalam konteks tekanan hidup yang semakin mencabar berikutan peningkatan harga barang dan sara hidup.
Tidak mustahil, JCorp sudah mewakafkan sahamnya dalam syarikat Kulim (M) Bhd, KPJ Healthcare Bhd, Johor Land Bhd, Tiram Travel dan Capaian Aspirasi Sdn Bhd bernilai RM90.27 juta ke dalam Kumpulan Waqaf An-Nur Bhd.
Muhammad Ali berkata, konsep wakaf korporat ini, yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dimulakan di Johor terlebih dulu sebelum diperluaskan ke negeri lain yang sekali gus menjadi pemangkin kepada pewujudan sistem ‘Kapitalisme Amanah’.
Saturday, May 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment