Oleh M Jasni Majed
SUDAH terbukti bahawa dalam bidang perniagaan, keuntungannya sangat tinggi. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda sembilan daripada 10 rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Justeru, tidak hairanlah ramai antara kita tidak kira bangsa menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Jika dulu bidang ini dimonopoli oleh orang Cina, tetapi sekarang sudah ramai orang Melayu dan India menceburi bidang perniagaan. Demi menjayakan bidang perniagaan yang bakal diceburi, pelbagai inisiatif dan kursus ditawarkan termasuk menyediakan skim pinjaman.
Bagaimanapun, dunia perniagaan itu banyak rintangannya. Risikonya amat tinggi dan bagi mereka yang betul-betul berminat, jujur, dan memiliki ciri peniaga sebenar mampu meneruskan bidang ini.
Kemelut dalam bidang ini ialah saingan dan sikap peniaga itu yang mahu mencari untung lebih. Apabila adanya sikap mahu mencari untung lebih, mulalah peniaga melanggar etika perniagaan.
Peniaga yang mahu mencari untung lebih selalunya tidak jujur dalam perniagaan. Ada peniaga yang menjual sesuatu barang kurang berkualiti tetapi mengenakan harga tidak sepadan dengan apa yang diberikan kepada pengguna.
Tidak hairanlah ada pengguna yang termakan atau minum barang melebihi tarikh luput hingga menyebabkan keracunan. Ada juga peniaga tidak bertanggungjawab menyorok barangan tertentu selepas mendengar ura-ura harga barang itu dinaikkan dengan harapan mendapat keuntungan lebih tinggi. Dalam Islam, perbuatan menyorok barang keperluan ini dinamakan ihtikar.
Senario ini bukan baru tetapi apabila setiap kali musim perayaan, setiap kali kaki tangan kerajaan atau swasta dinaikkan gaji dan diberi bonus, setiap kali menjelangnya pembentangan belanjawan, ada sesetengah barang tiba-tiba saja menjadi kurang di pasaran.
Peniaga jujur adalah peniaga yang tidak menipu pelanggan, memudahkan pelanggannya mendapatkan barangan diperlukan tidak kira masa. Peniaga jujur juga ialah peniaga yang cuba sedaya upaya memuaskan hati pelanggannya, seperti menyediakan keperluan bersesuaian dengan harga dikenakan.
Peniaga jujur juga akan berusaha memuaskan hati kedua-dua belah pihak iaitu peniaga dan pembeli dengan harapan tidak akan ada sebarang rungutan selepas jual beli. Apa yang penting ialah wang ringgit dikeluarkan pengguna selepas berpenat lelah mencarinya tidak dirasakan mengalir dengan mudah hasil daripada pembelian tidak memuaskan.
Peniaga jujur akan bertahan lebih lama. Peniaga seperti ini tidak akan kehilangan pelanggan, malah bilangan pelanggan akan bertambah dari semasa ke semasa.
Menurut satu riwayat, apabila menceritakan mengenai Nabi Muhammad SAW, dijelaskan bahawa orang yang tidak mendedahkan kecacatan barang jualannya adalah menipu dan orang itu tidak termasuk dalam golongannya.
Ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang menipu dalam bidang perniagaan bukanlah orang yang disayangi Baginda Rasulullah SAW.
Bidang perniagaan yang semakin mencabar mestilah diiringi dengan sikap jujur bukannya menekan pengguna kerana keuntungan bersih dalam perniagaan biarlah lebih 'bersih' dan bebas daripada aspek penipuan atau penyelewengan.
Setiap peniaga mestilah mempunyai sifat takut. Dengan adanya rasa takut, peniaga tidak akan melanggar etika perniagaan dan dapat berurusan dengan pengguna tanpa rasa curiga atau was-was.
Peniaga akan tahu dengan mengamalkan sikap bersih dalam urusan menjual sesuatu barang atau perkhidmatan, pelanggan tidak akan merungut sebaliknya berasa puas hati.
Saturday, May 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment