Oleh Abdurrahman Haqqi
Rezeki ikut syariat mampu tingkat ketakwaan, jana keuntungan dunia dan akhirat
ANDA menghidap penyakit kencing manis kerana anda tidak menjaga pemakanan apabila acap kali makan dan minum benda manis atau yang mengandungi gula kesukaan anda. Oleh itu, tidak hairanlah apabila diabetes mellitius menjadi 'tetamu tetap' pada tubuh anda sepanjang hayat.
Begitu juga anda adalah antara penggemar makanan segera ala-Amerika. Yang menyedihkan anda tidak mengawal cara pemakanan anda. Apakah akan terjadi kepada anda? Yang pasti ialah obesiti, sekali gus menyukarkan anda untuk melangsingkan semula badan anda sehingga anda sering dihantui serangan jantung.
Anda menyukai makanan segar, minum susu dan mengawal pemakanan anda setiap hari. Apa yang akan terjadi? Yang pasti tubuh anda akan menjadi sihat dan selalu bertenaga yang mungkin dikecapi sepanjang hayat.
Tiga contoh di atas adalah contoh mudah mengenai pengaruh makanan terhadap tubuh manusia yang boleh memudaratkan tubuh atau memberikan manfaat di dunia.
Bagaimana jika anda memakan atau meminum makanan dan minuman haram? Apa yang akan terjadi? Selain seksa dunia dan doa tidak dimakbulkan, seksa neraka jahanam akan menunggu anda kelak seperti disabdakan Rasulullah maksudnya: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya." (Hadis riwayat al-Tirmizi) Wal'iyazu billah.
Makanan sangat mempengaruhi pertumbuhan tubuh manusia sama ada dari segi fizikal, mental mahupun rohani. Hakikat ajaran ini boleh kita perhatikan kebenarannya kepada diri manusia sejagat yang berbilang bangsa dan puak. Bangsa yang memakan beras akan berbeza dengan bangsa yang memakan gandum. Puak yang memakan sagu akan berbeza dengan puak yang suka memakan ubi kayu. Bangsa dan puak yang memakan makanan halal akan berbeza dengan bangsa dan puak yang memakan makanan haram. Perbezaan ini sangat ketara secara fizikal, mental mahupun rohani.
Makanan halal yang dimaksudkan di atas bukan saja dari segi jenisnya seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan malah juga dari segi nilai dan normanya seperti yang diperoleh daripada perbuatan yang dilarang agama seperti mencuri, rasuah dan menipu.
Antara sebab kelemahan umat Islam hari ini sehingga mereka digambarkan oleh Junjungan sebagai bak buih air laut (Lihat: hadis riwayat Abu Daud) yang tidak ada gunanya bagi kekuatan ummah kerana mereka dipengaruhi oleh tabiat pemakanan mereka yang menyebabkan lemahnya tubuh mereka secara fizikal, mental dan rohani. Dengan itu, mereka malas untuk beribadat, tidak ghairah mempertahankan Islam dan berasa inferior (lemah) berdepan dengan musuh mereka. Padahal sebenarnya merekalah yang mempunyai kekuatan sebenar seperti firman Allah maksudnya: "Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Munafiqun: 8)
Keadaan seperti inilah yang sedang dipermainkan oleh musuh Islam agar umat Islam tidak akan pernah bangkit daripada penyakit 'wahn' mereka sehingga mereka tidak ambil kisah apakah makanan mereka itu halal atau tidak? Atau adakah makanan mereka diperoleh daripada sumber yang halal atau tidak? Yang penting bagi mereka adalah keselesaan hidup walaupun dengan cara mengorbankan ajaran agama mereka.
Menyedari hakikat ini, orang yang sedar dan waras di kalangan umat Islam sedang membuat penerokaan baru yang sesuai dengan keadaan semasa demi mengembalikan keperkasaan umat Islam. Satu daripada penerokaan yang boleh menasihati umat Islam secara fizikal, mental dan rohani adalah perhatian kepada produk makanan halal.
Apa itu makanan halal? Walaupun pengertian halal adalah sederhana menurut hukum syarak iaitu suatu perbuatan atau benda yang dibenarkan menurut Islam tetapi secara perundangan ia akan mempunyai beberapa penafsiran. Sebagai contoh, dalam Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan Halal) 1975 perkataan 'Halal', 'makanan orang Islam' atau makanan 'ditanggung Halal' didefinisikan sebagai:
(a) Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak;
(b) Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak,
(c) Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada benda najis mengikut hukum syarak; dan
(d) Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak perenggan (a), (b) dan (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
Memakan makanan halal adalah nilai dan norma global yang disepakati oleh masyarakat antarabangsa walaupun ada perbezaan pandangan dalam menentukan halalnya. Ini dapat dibuktikan dengan firman Allah yang maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah: 168) Dalam ayat ini, seruan sangat jelas ditujukan kepada sekalian manusia agar mereka memakan makanan halal lagi baik. Mereka mesti bersatu padu memerangi musuh bersama, iaitu syaitan.
Selain ayat 168 Surah al-Baqarah, ada tiga ayat lain yang menyebut makanan 'halalan tayyiban', halal lagi baik. Apa yang menarik perhatian penulis daripada ayat berkenaan adalah hubungan makanan halal lagi baik dengan takwa dan bersyukur ketika dikaitkan dengan orang beriman, manakala ketika dikaitkan dengan umat manusia seperti ayat di atas ia dihubungkan dengan permusuhan antara manusia dan syaitan.
Mari kita perhatikan ketiga-tiga ayat 'halalan tayyiban' yang berkaitan dengan orang yang beriman. Pertama firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman." (Surah al-Maidah: 87-88)
Kedua, firman-Nya bermaksud: "Maka makanlah daripada apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Anfal: 69)
Ketiga, dalam al-Quran disebutkan maksudnya: "Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah daripada tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim. Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah al-Nahl: 112-114)
Ketiga-tiga ayat di atas mengisyaratkan kepada kita bahawa ketakwaan dan kesyukuran akan diwujudkan apabila seseorang yang beriman itu memakan makanan halal lagi baik. Oleh kerana seruan bertakwa dan bersyukur ditujukan kepada orang beriman yang mengambil makanan halal lagi baik. Subhanallah!
Dalam pemprosesan makanan, kita tidak dapat lari daripada menggunakan bahan tambah dalam makanan dan kebanyakan daripadanya adalah diimport. Bahan tambah ini diperbuat daripada pelbagai sumber sama ada haiwan atau tumbuhan. Jika daripada tumbuhan, status halal jarang diragui tetapi bagaimana kalau ia datang daripada haiwan? Jika haiwan itu daripada kumpulan yang diharamkan, sekali lagi statusnya jelas. Untuk bahan tambah yang datangnya daripada sumber haiwan mungkin menimbulkan keraguan kepada masyarakat Islam kerana status halal makanan itu bergantung kepada cara penyembelihan yang dilakukan.
Ada beberapa ramuan makanan yang digunakan dalam pemprosesan makanan termasuk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bahan makanan yang diproses/bahan tambah makanan seperti lemak/minyak, bahan pengawet, penstabil dan pemekat serta renet/renin (kimosin). (Lihat Sharifudin Md Shaarani dalam buku Halal dan Haram dalam Makanan).
Pasaran antarabangsa makanan halal bernilai AS$100 bilion tahun ini dan nilai ini dijangka meningkat setiap tahun. Malaysia adalah sebuah negara pengeluar makanan halal yang terpenting di dunia. Peluang pemasaran makanan halal sangat luas sama ada dalam atau luar negara. Jika pengeluar makanan di negara ini memahami fakta ini, pastinya keuntungan dalam genggaman mereka. Contohnya, suatu syarikat pengeluar makanan utama, semua produk (atau kebanyakan produk) mereka mempunyai jaminan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Strategi pemasaran ini sangat menguntungkan mereka kerana pastinya masyarakat Islam di negara ini akan membeli tanpa was-was. Di samping itu, masyarakat bukan Islam turut akan membeli produknya kerana barangnya dipercayai berkualiti, berbanding pesaingnya yang mengeluarkan barang makanan yang sama tetapi tidak mempunyai tanda halal Jakim, sudah pasti ada pengguna Islam yang tidak membeli kerana was-was akan status halal makanan itu.
Di Malawi, Afrika, (dan mudah-mudahan semua negara dunia) penduduk bukan Islam di sana lebih memilih makanan berlogo halal kerana mereka tidak syak lagi mengenai piawaian dalam kebersihan dan kesihatannya.
Menyedari realiti ini, pada majlis perasmian Forum Halal Sedunia (WHF) 2008 12 Mei lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beberapa insentif menarik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat halal dunia termasuk pengecualian cukai ke atas pendapatan berkanun jualan eksport; pengecualian duti import bahan mentah serta potongan berganda ke atas belanja yang ditanggung oleh sesebuah syarikat bagi mendapatkan standard kualiti antarabangsa. Selain itu, kerajaan juga turut menawarkan insentif untuk pusat industri halal dan pengusaha logistik, bertujuan untuk memastikan rantaian industri itu berada pada tahap optimum.
Akhirnya, di samping mendapatkan keuntungan duniawi dengan produk makanan halal ini, kita juga boleh memperkasa umat Islam kerana mereka semua dalam keadaan suci bersih fizikal, mental dan rohaninya sebagai sifat sebenar orang bertakwa dan bersyukur di mana Allah pasti bersama mereka dalam keadaan apa jua pun. Wallahu a'lam.
Sunday, May 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment